Bila badan dah masuk angin, mulalah rasa tak selesa. Buat itu buat ini tak kena je. Kadang-kadang tu, kalau teruk, boleh sampai muntah-muntah dan sakit perut dibuatnya. Lebih-lebih lagi kalau ada penyakit gastrik, memang tak boleh nak cakap deritanya macam mana kan?
Macam Mana Nak Tahu Badan Dah Masuk Angin?
Ada beberapa tanda yang anda boleh perhatikan bila angin dah mula masuk dalam badan:
1. Sendawa
Kalau tiba-tiba sendawa tu, mungkin badan anda dah masuk angin. Kekerapannya pula lebih dari biasa.
2. Perut rasa tak selesa
Perut pun rasa sebu, rasa tak selesa je. Duduk ke baring ke, rasa tak kena bila perut penuh angin ni. Di kawasan ulu hati pun rasa terik. Kalau sesetengah orang, sentuh je pun terasa sakitnya.
3. Kembung perut
Ramai juga yang akan alami kembung perut atau dipanggil juga sebagai bloated. Rasa penuh, terik je perut. Ia tak sama dengan sakit perut disebabkan faktor yang lain.
Rasa perut berangin ni tidaklah memulas tetapi lebih kepada rasa senak, sebu dan agak mencucuk untuk sesetengah orang.
4. Kentut
Tak kurang juga, ada juga yang bila badan dah penuh angin, asyik kentut je. Kalau tak kentut, sendawa. Boleh selang-seli juga. Memang tak selesa duduk dengan orang ramai.
5. Pening kepala
Pernah dengar tak orang cakap angin dah naik ke kepala? Haa… ada juga yang pening kepala tau bila badan berangin ni.
7 Cara Yang Berkesan Dan Mudah Untuk Buang Angin Dalam Badan
Rasa lesu je bila badan berangin kan? Nak buat kerja pun tak semangat. Jom cuba beberapa cara untuk keluarkan angin dari badan ini:
1. Minum air halia
Ini memang kaedah turun-temurun lah dari orang tua-tua kita. Buat air halia dengan menggunakan air panas yang ditambah hirisan halia, dan minum suam-suam.
Biasanya perut akan perlahan-lahan rasa selesa selepas tu.
2. Makan ubat
Kalau nak hilangkan angin dengan ubat-ubatan moden pun boleh ya. Sebagai contoh:
- Suplemen laktosa untuk masalah angin yang berpunca dari ketidakhadaman laktosa
- Simethicone untuk menguraikan gelembung gas dan sendawa yang berlebihan
- Activated charcoal
3. Minum teh pudina
Daun pudina mengandungi menthol yang boleh memberi kelegaan untuk sakit berpunca dari gas yang berlebihan. Cuma pastikan teh anda betul-betul masak juga ya. Teh yang kurang masak boleh menyebabkan kembung perut tau.
4. Urut badan
Selain itu, urutan badan pun sangat berkesan untuk mengeluarkan angin dalam badan. Ditambah pula dengan penggunaan minyak herba dan panas berangin, angin tanpa segan silunya keluar.
Kalau kena kaedah urutannya, memang sekejap je boleh keluar angin.
5. Sauna
Duduk dalam sauna yang panas, tambah-tambah jika sauna herba, boleh membantu keluarkan angin dari dalam badan juga.
Set kan masa yang sesuai dalam 10 hingga 15 minit dan rehatkan badan anda. Biasanya akan terasa nak sendawa dan kentut selepas tu.
6. Makan bawang putih
Bawang putih ni memang merupakan makanan untuk wanita berpantang. Yelah.. untuk keluarkan angin dalam badan dan mengelakkan angin mudah masuk kan.
Tapi bukan masa berpantang je. Bila-bila je badan berangin, amalkanlah makan beberapa ulas bawang putih yang dibakar. Sedap pun sedap. Rasanya seakan-akan ubi gitu.
7. Buat senaman yoga
Bila kita bersenam, perasan tak kadang-kadang akan sendawa dan terasa nak kentut? Haa.. bila badan membuat beberapa pergerakan secara berterusan seperti senaman yoga, angin boleh keluar tau!
Punca Dan Cara Buang Angin Dalam Badan
Sebelum terkena, lebih baik lah kita mencegah kan? Jom cuba beberapa tips untuk mengelakkan angin masuk badan ini:
1. Kurangkan menelan udara
Ada banyak perbuatan dan habit kita yang boleh membuatkan kita tertelan udara dengan lebih banyak. Sebagai contohnya:
- Mengunyah gula-gula getah
- Mengunyah makanan dengan laju
- Bercakap-cakap ketika makan (kerap buka tutup mulut)
- Kedudukan gigi palsu kurang sesuai
2. Pilih makanan dengan betul
Lain orang lain sistem badannya. Anda mesti mengenali badan anda sendiri dahulu. Contohnya, untuk sesetengah orang, mereka okay je makan buah nangka dan labu. Tapi kalau anda makan sebiji buah nangka pun badan boleh berangin seharian.
Jadi elakkan makanan-makanan yang boleh trigger angin untuk masuk dalam badan ya?
3. Kurangkan produk tenusu
Badan pun boleh berangin bila laktosa dalam produk tenusu tak dicernakan dengan elok. Jadi kurangkanlah makanan tenusu dan kalau nak ambil pun, jangan ambil dalam kuantiti yang banyak untuk satu masa ya.
4. Berhenti merokok
Angin pun boleh masuk banyak bila anda menghisap rokok tau. Cubalah perlahan-lahan untuk berhenti merokok. Mungkin masalah angin dalam badan anda akan mereda nanti.
Masalah angin ni memang normal je yang ramai orang alami. Tapi jika boleh dielakkan, cubalah beberapa tips yang kami kongsikan di atas ya?
Semoga anda dikurniakan kesihatan yang baik!