Luka episiotomi atau luka jahitan bersalin bagi ibu-ibu yang bersalin secara normal tidak seharusnya diambil remeh dan tidak dipedulikan. Ia memerlukan penjagaan yang rapi agar luka tersebut cepat sembuh dan tidak mengalami sebarang jangkitan.
Jadi, bagaimana cara penjagaan jahitan bersalin yang betul, yang harus diikuti?
Ketahui lebih lanjut tentang episiotomi dan rawatan jahitan bersalin di sini!
Apakah episiotomi?
“Episiotomy“ atau episiotomi adalah prosedur yang melibatkan pembedahan kecil (incision) di perineum wanita saat proses bersalin yang normal.
Perineum merupakan otot yang terletak di antara vagina dan anus. Doktor akan membuat pembedahan atau pemotongan kecil pada kawasan ini untuk memperluas bukaan vagina untuk memudahkan proses bersalin.
Episiotomi juga boleh bertujuan untuk mengelakkan berlakunya koyakan di bahagian perineum yang lebih teruk semasa proses bersalin normal.
Selesai sahaja episiotomi tersebut, bahagian tersebut akan dijahit dan jahitan bersalin inilah yang memerlukan penjagaan dan rawatan rapi sepanjang proses berpantang.
Mengapa episiotomi diperlukan?
Secara umumnya, episiotomi sering dilakukan sebagai sebahagian daripada proses kelahiran normal. Seperti yang dinyatakan di atas, prosedur ini adalah untuk mengelakkan daripada bahagian intim wanita terkoyak dengan lebih teruk semasa bersalin.
Luka jahitan bersalin dari episiotomi dikatakan lebih mudah untuk sembuh berbanding dengan koyakan yang terjadi dengan sendirinya.
Namun begitu, perkara ini masih belum dapat dibuktikan. Oleh hal yang demikian, proses episiotomi tidak lagi menjadi satu prosedur wajib yang akan dilakukan semasa para ibu bersalin normal.
Doktor hanya akan melakukannya jika perlu.
Siapa yang memerlukan episiotomi?
Doktor mungkin akan mengesyorkan episiotomi pada pesakit dengan kondisi berikut:
- Adanya risiko koyakan besar dan dalam semasa proses bersalin
- Kedudukan bayi yang tidak normal, contohnya bayi songsang
- Saiz bayi yang lebih besar dari normal
- Kelahiran pramatang
Episiotomi juga akan dilakukan oleh doktor semasa proses bersalin seperti:
- Berlakunya distosia bahu
- Kadar denyutan jantung bayi yang tidak normal
- Si ibu memerlukan alat bantuan semasa kelahiran seperti penggunaan forceps atau vakum.
Cara Penjagaan Jahitan Bersalin
1) Pastikan kawasan ‘Perineum’ bersih
Darah nifas serta air kencing boleh menyebabkan jangkitan kuman pada luka jahitan bersalin. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda memastikan bahawa kawasan ‘perineum’ sentiasa berada dalam keadaan bersih.
Bersihkan luka jahitan tersebut sama ada dengan menggunakan air suam atau ubat sapu yang telah dibekalkan oleh pihak hospital.
Elakkan daripada menyapu benda asing lain di kawasan tersebut seperti serbuk manjakani atau minyak gamat yang tidak kita ketahui tahap kebersihannya.
2) Sembelit menyebabkan luka jahitan bersalin lambat pulih
Sembelit perlu dielakkan kerana masalah sembelit akan memberikan tekanan di bahagian perineum semasa meneran untuk membuang air besar. Perkara ini akan menyebabkan luka jahitan bersalin tersebut terlerai sedikit atau mungkin terlerai terus.
Apa yang Ibu boleh lakukan adalah dengan meminum banyak air dan makan sayuran dan buahan bagi membantu melancarkan proses pembuangan.
Eh, orang kata minum air banyak boleh menyebabkan peranakak berair. Makan sayur pula ada yang boleh menyebabkan angin dalam badan.
Nanti dulu. MITOS ya semua tu. Kekurangan air dalam badan bukan sahaja akan menyebabkan sembeli, malah ia boleh menjadi punca luka bersalin lambat sembuh dan juga menyebabkan gangguan pada penghasilan susu badan kita.
3) Pakai pakaian dalam jenis kapas
Pakaian dalam juga turut memainkan peranan penting dalam penjagaan luka episiotomi ini.
Pakai seluar dalam yang diperbuat daripada kapas (cotton) kerana material ini berupaya menyerap peluh. Ianya sangat penting bagi mengelakkan kelembapan di kawasan perineum.
4) Kerap tukar pad
Adalah sangat penting untuk anda menukar pad dengan kerap serta lap kering bahagian perineum selepas ke tandas.
Ini adalah untuk mengelakkan berlakunya jangkitan pada bahagian perineum dan luka episiotomi tersebut.
5) Cuci ‘Perineum’ dengan cara yang betul
Kaedah yang betul untuk mencuci bahagian ‘perineum’ adalah dengan mencucinya dari arah hadapan ke belakang (dari kawasan ‘perineum’ ke ‘anus’ ).
Dengan mengamalkan cara mencuci sebegini, anda dapat mengelakkan flora pada ‘anus’ daripada menjangkiti luka episiotomi.
6) Elakkan mencangkung
Bagi mengelakkan regangan pada luka episiotomi, seeloknya gunakan tandas duduk dan elakkan daripada mencangkung.
7) Periksa tanda jangkitan
Jika luka anda agak lewat sembuh tetapi tidak ada sebarang tanda jangkitan seperti di bawah, anda boleh meneruskan penjagaan jahitan bersalin tersebut seperti di atas.
Tetapi, jika anda mengalami tanda-tanda seperti di bawah ini, segera ke hospital untuk mendapatkan nasihat dan rawatan pakar.
- Kemerahan.
- Bengkak pada luka episiotomi.
- Sakit yang teramat di kawasan luka terutama apabila bergesel sewaktu berjalan.
- Pengeluaran discaj berbau.
- Demam.
Tempoh dan proses mengandung dan bersalin mungkin menakutkan bagi sesetengah bakal ibu, namun, percayalah ia adalah nikmat kurniaan Yang Maha Esa.
Semua sakit akan hilang selepas melihat dan memegang cahaya mata kita.
Semoga bermanfaat buat ibu-ibu atau pasangan yang membaca!