Ibu, Bayi & Kanak Kanak

8 Cara-Cara Untuk Cepatkan Bukaan Rahim Secara Semula Jadi

Sumber: Google

Walaupun setiap kehamilan dan kelahiran adalah berbeza bagi setiap wanita, apabila sudah masuk minggu ke-40 kehamilan, tentu semua sudah tak sabar untuk menemui cahaya mata buat kali pertama.

Menjelang akhir trimester ketiga, serviks wanita akan melembut untuk memulakan proses kelahiran iaitu penipisan, peregangan, dan pembukaan serviks atau rahim.

Apabila proses kelahiran atau ‘labour‘ telah bermula, bakal ibu memang betul-betul sudah bersedia untuk menempuh rintangan tersebut, betul tak? Jadi apa yang boleh dilakukan untuk mempercepatkan proses kelahiran atau bukaan rahim?

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Sebelum itu, Mommy perlu memahami lebih lanjut tentang pembukaan rahim dan peringkat-peringkat proses kelahiran sebelum mencuba cara-cara untuk mempercepatkan pembukaan rahim.

Maksud Bukaan Rahim

Bukaan rahim atau serviks yang juga dipanggil ‘dilation‘ dalam istilah perubatan merujuk kepada penipisan serviks yang berlaku untuk membuat bukaan dari rahim ke saluran faraj sehingga bayi berjaya dikeluarkan.

Bukaan rahim atau serviks perlu dilebarkan sehingga 10 sentimeter untuk bayi dilahirkan.

Walaupun pembukaan serviks diperlukan untuk proses bersalin berlaku, ia tidak semestinya menjadi petanda bahawa kelahiran sudah bermula.

Sumber: Getty Images

Dalam beberapa kes, sesetengah ibu hamil akan melalui pembukaan rahim beberapa sentimeter beberapa minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin. Ada juga ibu hamil yang melalui pembukaan rahim dengan lebih cepat, iaitu hanya dalam beberapa jam, dan kemudian terus beralih ke tahap kelahiran aktif.

Peringkat-Peringkat Kelahiran

Pada kebiasaannya terdapat tiga peringkat persalinan semasa melahirkan bayi.

Peringkat Pertama: Ini adalah peringkat terpanjang dan terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu kelahiran awal dimana bukaan rahim adalah 3cm, kelahiran aktif dimana bukaan rahim adalah antara 3cm hingga 7cm, dan fasa peralihan dimana bukaan rahim adalah antara 7cm hingga 10cm.

Peringkat Kedua: Ini adalah peringkat dimana rahim terbuka sepenuhnya selebar 10cm sehingga bayi berjaya dilahirkan.

Peringkat Ketiga: Semasa peringkat ketiga, plasenta atau uri bayi pula dikeluarkan.

Cara Untuk Mempercepatkan Bukaan Rahim

Sekiranya tarikh jangkaan bersalin atau estimated due date (EDD) Mommy masih lagi lebih dari beberapa minggu, perkara terbaik yang Mommy boleh lakukan ialah menunggu dahulu kerana serviks Mommy akan bersedia dengan cara yang paling baik dan selesa untuk Mommy dan bayi.

Proses bukaan rahim boleh dipercepatkan dengan kaedah perubatan yang sesuai jika mempunyai alasan atau masalah perubatan seperti:

  • Mommy sudah melepasi tarikh jangkaan bersalin selama hampir dua minggu
  • air ketuban telah pecah tetapi kontraksi masih belum bermula
  • terdapat jangkitan dalam rahim
  • bayi tidak membesar dalam keadaan yang stabil
  • air ketuban bayi tidak mencukupi
  • plasenta terganggu iaitu plasenta terkeluar dari dinding rahim sebelum berlaku proses kelahiran
  • mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes atau tekanan darah tinggi yang boleh membahayakan ibu atau bayi
Sumber: Getty Images

Bagaimana pula jika Mommy mahu bukaan rahim dipercepatkan secara semula jadi kerana berasa terlalu sarat? Ada beberapa cara yang boleh dicuba dirumah untuk cepatkan bukaan rahim seperti berikut.

1. Pastikan Bayi Dalam Posisi Betul

Posisi bayi yang sudah bersedia untuk dilahirkan adalah dengan keadaan kepala berada di bawah, menghadap bahagian belakang Mommy, dan menekan serviks. Tekanan dari kepala bayi menghasilkan prostaglandin yang memberi isyarat kepada badan Mommy untuk memulakan kontraksi. Prostaglandin ini juga yang melembutkan dan membuka serviks.

2. Selarikan Kaki

Menurut kajian, ramai ibu mengandung yang sering berdiri dengan tegang dan kedudukan atau posisi kaki yang regang. Walaubagaimanapun, memastikan kaki Mommy rapat dan selari dapat memisahkan tulang sitz yang berada di bahagian bawah pelvis, justeru membuka pelvis dan mendorong bayi dalam kandungan untuk memasuki posisi yang terbaik untuk proses kelahiran.

3. Gunakan Bola Senaman

Bola senaman atau birthing ball boleh digunakan dengan melompat diatasnya (secara duduk) atau memusingkan pinggul ke kiri dan kanan sementara Mommy sedang duduk di atas bola tersebut. Ia dikatakan dapat membuka pelvis dan mempercepatkan bukaan serviks atau rahim.

Sumber: Getty Images

4. Melakukan Senaman Squats

Mommy boleh cuba melakukan beberapa senaman ringan termasuk squats atau mencangkung yang dikatakan dapat mempercepatkan bukaan serviks. Sebelum memulakan sesuatu senaman baru, pastikan Mommy mendapat kelulusan dari doktor sakit puan untuk melakukan senaman tersebut kerana sesetengah senaman mungkin tidak sesuai dengan keadaan kesihatan ibu mengandung.

5. Berjalan Kaki Dengan Kerap

Berjalan-jalan bukan sahaja dapat bantu mempercepatkan bukaan rahim, tapi ia juga bagus untuk ibu mengandung yang tak dapat buat senaman kardio seperti berlari. Semasa berjalan kaki, bayi dalam kandungan akan menekan pangkal rahim yang mungkin dapat membantu pembukaannya.

6. Melakukan Hubungan Seks

Melakukan hubungan seks dikatakan dapat mempercepatkan bukaan rahim kerana air mani mengandungi prostaglandin yang dapat melembutkan serviks, manakala orgasm atau puncak klimaks wanita dapat memulakan kontraksi. Kaedah ini hanya sesuai untuk kehamilan berisiko rendah. Ibu mengandung yang sedang melalui kehamilan risiko tinggi mungkin perlu elakkan hubungan seks di trimester ketiga.

7. Mandian Air Panas

Mandian air panas di dalam tab mandi dapat membantu Mommy berasa lebih tenang. Apabila berada dalam keadaan tenang, tubuh badan dapat mencegah ketegangan otot. Mandian air panas yang menenangkan dapat membantu proses bukaan rahim dan juga kontraksi. Selepas mandi dalam tab, mungkin encik suami dapat memberi urutan lembut pula. Sedapnya!

Sumber: Getty Images

8. Memecahkan Air Ketuban

Memecahkan air ketuban mungkin boleh jadi penyelesaian terakhir untuk mempercepatkan bukaan rahim jika Mommy betul-betul memerlukannya. Doktor pakar puan juga mungkin akan mencadangkan pemecahan air ketuban untuk sebab-sebab yang lain, jadi kaedah ini perlu dibincangkan dengan doktor Mommy untuk penyelesaian terbaik.

Walaupun bukaan rahim boleh dipercepatkan secara semula jadi atau dengan kaedah campur tangan perubatan, ia tentunya adalah satu keputusan yang perlu dibuat dengan nasihat doktor Mommy sendiri.

Perkara terbaik ialah dengan menunggu untuk setiap peringkat berlaku dengan semula jadinya. Tidak lama lagi, Mommy tentu akan dapat berjumpa dengan si comel!