Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Anak Kembar: Apa Puncanya Dan Bagaimana Untuk Meningkatkan Peluang Untuk Mendapatkan Anak Kembar

Mempunyai anak kembar sudah tentu menjadi impian sesetengah pasangan ibu bapa, tapi ada juga yang berasa ia membawa tanggungjawab yang terlalu besar.

Bagi pasangan yang mengidamkan anak kembar, sebenarnya tidak mustahil untuk mencuba, walaupun diri sendiri bukan dilahirkan dengan kembar atau datang dari keluarga yang mempunyai sejarah anak kembar seperti yang dianggap masyarakat.

Ramai pakar sakit puan yang percaya bahawa sebagai manusia, kita mungkin mempunyai lebih banyak kehamilan kembar dari yang kita ketahui atau rekodkan.

Kemajuan teknologi juga mendapati banyak wanita yang mungkin membawa lebih dari satu embrio selepas pensenyawaan tetapi hanya satu yang bertahan dan hidup.

Highlighted

Sumber: Getty Images

Jadi Mommy dan Daddy rasa teruja nak mendapat anak kembar?

Sebelum berfikir tentang idea-idea nama anak kembar dan melayari kedai online untuk baju-baju bayi yang matching, penting untuk ibu bapa mengetahui dan memahami bagaimana anak kembar terjadi dan faktor-faktor yang terlibat.

Terdapat beberapa keadaan, situasi, atau cara dapatkan anak kembar, sama ada secara semula jadi atau melalui rawatan kesuburan.

Jenis-Jenis Kembar

Menurut kajian, dianggarkan bahawa satu dalam 250 kehamilan menghasilkan pasangan kembar secara semula jadi. Secara umumnya, ada dua jenis kembar yang kita ketahui, iaitu kembar seiras dan kembar tak seiras.

Kembar Seiras

Kembar seiras terjadi apabila satu telur disenyawakan oleh satu sperma sahaja. Akan tetapi, terjadi satu peringkat di mana telur yang disenyawakan terbahagi kepada dua.

Kembar seiras akan menghasilkan kembar yang sama jantina, sama ada perempuan dengan perempuan, atau lelaki dengan lelaki. Ini kerana mereka berkongsi DNA yang sama.

Sumber: Getty Images

Kembar Tak Seiras

Kembar tak seiras pula terjadi apabila dua telur ibu disenyawakan oleh dua benih sperma bapa secara berasingan. Kedua-dua telur yang disenyawakan tadi akan berkembang di dalam rahim ibu bersama-sama.

Kembar tak seiras boleh terdiri daripada dua lelaki, dua perempuan, atau satu lelaki dan satu perempuan kerana mereka tidak berkongsi DNA yang sama seperti kembar seiras.

Setiap janin itu juga mempunyai uri tersendiri, membuatkan kembar jenis ini lebih selamat dan risikonya tidak setinggi membawa kandungan kembar seiras.

Sumber: Getty Images

Faktor-Faktor Yang Meningkatkan Peluang Mendapat Anak Kembar Secara Semula Jadi

Umur

Kebarangkalian untuk mendapat kembar adalah lebih tinggi jika usia ibu atau wanita yang ingin mengandung adalah dalam 30-an ke 40-an.

Ini adalah kerana perubahan hormon ketika wanita yang lebih lanjut usia hadapi ketika hampir menopaus dapat mendorong ovari untuk melepaskan lebih daripada satu telur semasa ovulasi.

Jadi jika Mommy berada dalam lingkungan usia tersebut, boleh pertimbangkan kebarangkalian ini untuk mendapat anak kembar.

Kalau ada yang tidak mahukan anak kembar, berjaga-jaga lah untuk mengelakkan kehamilan di lingkungan usia ini dan rancang kehamilan dengan sewajarnya.

Sumber: Getty Images

Genetik

Mommy juga mungkin pernah dengar yang kebarangkalian untuk mendapat anak kembar lebih tinggi jika anda sendiri adalah salah satu dari pasangan kembar.

Kenyataan ini adalah benar untuk kembar tidak seiras kerana mungkin hormon atau hiperovulasi yang memainkan peranan jika anda sendiri atau ibu dan nenek anda mengalami situasi ini kerana hiperovulasi dapat diturunkan dalam DNA.

Sebab kembar seiras berlaku pula sehingga hari ini tiada puncanya jadi sesiapa pun boleh mendapat peluang untuk mendapat kembar seiras jika ada rezeki.

Berat Badan

Ada juga yang menyatakan bahawa berat badan memainkan peranan untuk meningkatkan peluang mendapat anak kembar.

Ini merangkumi wanita yang mempunyai berat badan berlebihan, obesiti, atau indeks jisim badan anda atau body mass index (BMI) adalah tinggi dari normal.

Beberapa kajian telah dilakukan ke atas beribu wanita yang menunjukkan kebarangkalian untuk mendapat anak kembar adalah lebih tinggi jika BMI ibu mengandung tersebut adalah lebih daripada 25.

Walau bagaimanapun, adalah dinasihatkan supaya Mommy tidak menaikkan berat badan sewenang-wenangnya kerana nanti ada pula komplikasi lain yang boleh timbul jika mengandung dan Mommy akan digolongkan dalam kehamilan berisiko tinggi!

Diet

Satu kajian mendapati wanita yang kurang makan daging dan produk tenusu mempunyai kebarangkalian mendapat anak kembar sangat rendah.

Ini mungkin kerana wanita yang mengambil produk tenusu dan memakan daging dengan kuantiti yang banyak mendapat lebih banyak faktor pertumbuhan insulin dari pemakanan tersebut.

Lembu mengeluarkan sejenis hormon dalam susu mereka, dan apabila dimakan atau minum boleh mempengaruhi pembiakan manusia.

Ada juga yang menyatakan bahawa memakan keladi dan ubi keledek dapat meningkatkan peluang mendapat anak kembar.

Keladi dipercayai mengandungi hormon phytoestrogen yang dapat merangsang ovulasi, juster mengeluarkan beberapa telur ketika ovulasi.

Sumber: Getty Images

Cara-Cara Untuk Mendapatkan Anak Kembar

Kalau Mommy fasih dengan lingo pembiakan atau reproduction, Mommy mungkin tahu beberapa cara untuk mendapatkan anak kembar secara rawatan kesuburan.

Antaranya, termasuklah artificial reproductive technology (ART), in vitro fertilization (IVF), dan intrauterine insemination (IUI).

IVF

Mommy mesti selalu dengar orang menggunakan istilah ‘IVF’ kan?

IVF bukan perkara baru dan memang sudah ramai pasangan yang telah mengambil peluang merealisasikan impian untuk mendapatkan anak dengan kaedah ini, bukan untuk mendapat kembar sahaja.

Faktor utama yang meningkatkan peluang untuk mendapatkan anak kembar dengan tekonologi ini ialah bilangan embrio yang dipilih oleh pasangan bakal ibu bapa untuk dipindahkan ke uterus.

Kebiasaannya, pasangan yang hanya mencuba untuk dapatkan anak tunggal akan memindahkan satu embrio sahaja, tapi jika dua atau tiga embrio dimasukkan, peluang untuk embrio-embrio tersebut bertahan dan hidup adalah tinggi dan ini akan menghasilkan anak kembar, kadang-kadang ada juga yang kembar tiga!

IUI

Teknologi pembiakan IUI pula tidak semestinya meningkatkan peluang mendapatkan anak kembar itu sendiri.

Akan tetapi, ubat-ubatan yang dikaitkan dengan prosedur itu yang mungkin dapat meningkatkan peluang untuk mendapatkan anak kembar.

Ubat-ubatan seperti Clomid dan Femara yang sering digunakan dalam prosedur IUI adalah ubat yang merangsang ovulasi dan ini akan menyebabkan ovari menghasilkan banyak telur yang dilepaskan pada masa yang sama.

Sumber: Getty Images

Cara Dapatkan Anak Kembar Secara Semula Jadi

Cara-cara semula jadi yang boleh dipertimbangkan adalah berkaitan dengan faktor-faktor yang meningkatkan peluang untuk mendapatkan anak kembar seperti yang dijelaskan di atas tadi.

Yang paling selamat untuk dicuba mungkin faktor diet atau pemakanan, di mana Mommy boleh meningkatkan pengambilan daging dan tenusu, serta sayuran akar ubi keledek dan keladi.

Faktor-faktor yang lain seperti berat badan yang tinggi dan usia yang lebih lanjut kemungkinan besar boleh mendatangkan kehamilan berisiko tinggi, jadi lebih elok untuk dielakkan, melainkan Mommy sendiri sudah berumur lebih dari 30 tahun atau mempunyai BMI yang tinggi.

Apa yang penting ialah penjagaan kesihatan yang optimum, supaya apabila Mommy atau bakal Mommy mengandung kelak, tidak akan ada komplikasi yang berlaku yang akan meletakkan kehamilan Mommy dalam risiko yang tinggi.

Ternyata mendapat anak kembar nampak seronok dan comel, tapi sama ada kita mendapat anak tunggal, kembar dua, atau kembar tiga, tentu sekali itu adalah takdir Tuhan yang terbaik untuk diri kita.