Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cara Didik Anak Kawal Emosi Yang Ibu Bapa Perlu Cuba

Sebagai ibu bapa, seronok rasa dapat lihat perkembangan anak dari hari ke hari. Sepanjang tempoh bayi terutamanya beberapa bulan pertama, bayi kita hanya tahu menangis apabila lapar, dan ketawa apabila kita bergurau dengannya. 

Semakin menginjak usia, kemampuannya dari pelbagai sudut bertambah. Sudah pandai menggenggam barang mainan dan jari kita.

Kemudiannya berdiri, berjalan dan berlari.

Highlighted


Dari sudut percakapan pula dari hanya tahu sebut “Papa” dan “Mama” kini sudah tahu cara sebut air apabila haus dan “nak makan” ketika lapar.

Betapa hebatnya ciptaan Allah ini!

Bukan sekadar itu sahaja, mak-mak dan ayah juga akan dapati emosi anak juga turut berkembang pada masa yang sama.

Ya benar sekali, “emosi”.

Bila Sebut Tentang Emosi Kanak-Kanak, Apa Yang Anda Faham?

Usaha untuk memahami emosi orang dewasa pun bukan kerja yang mudah, inikan pula anak yang masih mentah dan kecil.

Pernah tak anda terfikir tentang keadaan emosi anak apabila anda melarangnya dari melakukan sesuatu perbuatan seperti makan hidangan malam tanpa ahli-ahli keluarga yang lain atau melarangnya keluar bermain ketika hujan lebat akibat risau dipanah petir ?

Ia berbeza mengikut peringkat umur, ada anak yang akan akur arahan dengan perasaan yang tenang dan penuh ketaatan.

Namun, sebaliknya yang terjadi pada anak yang tidak mampu menerima hakikat itu. Apa lagi, kalau tidak menangis, merengek atau mengamuk jawabnya.

Inilah yang dinamakan sebagai emosi. Sangat kompleks dan sangat rumit.

Walaupun begitu, anda tidak boleh mengambil ringan terhadapnya kerana ia akan membantu dalam membentuk peribadi anak. Siapa yang tidak mahu anak yang mempunyai peribadi yang baik bukan?

Jadi penting untuk Mommy dan Daddy belajar cara untuk didik anak kawal emosi.

Dipercayai anak-anak yang mampu memahami dan mengawal emosi mereka kurang dikaitkan dengan perbuatan-perbuatan agresif seperti mengamuk dan memberontak sebagai salah satu cara untuk menzahirkan apa yang terpendam dalam hatinya.

Bagi situasi lain pula, ada juga sebahagian kanak-kanak yang mudah dihantui dengan rasa bersalah selepas melakukan kesilapan, mengecewakan ibu bapa atau gagal dalam pelajaran.

Emosi seperti ini bagus. Memberi petanda bahawa dirinya seorang yang baik dan bertanggungjawab. Tapi perlu dikawal. Sebab perasaan seperti ini boleh menyebabkan tekanan perasaan yang berpanjangan dan depresi.

“Perasaan bersalah yang sedikit itu tetap perlu ada dalam diri setiap anak. Pastikan ia tidak melampaui batas sehingga melumpuhkan emosi anak, membawa kepada kemurungan atau mengganggu pergaulan dengan orang lain”.

Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad

Apakah Perkara Pertama Yang Ibu Bapa Perlu Lakukan ?

Sebelum kita hendak didik, perkara pertama yang kita kena buat adalah fahami dahulu perkembangan emosi anak-anak.

Solusi yang terbaik mestilah hanya akan terjadi dengan kefahaman yang betul, benar bukan?

Jadi pasti Mommy dan Daddy semua tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan emosi, terutamanya bagi anak itu sendiri.

Maksud Sebenar Emosi

Baiklah, emosi berkait rapat dengan jiwa dan perasaan dan merangkumi rasa marah, tidak puas hati, benci, takut, sayang, bahagia dan sebagainya.

Ia boleh mempengaruhi kelakuan seseorang. Budak-budak sebagai contohnya. Kalau mereka marah atau tidak puas hati boleh mengamuk, merengek, menangis malah yang lebih menakutkan lagi sampai tahap memukul.

Disinilah kepentingan dalam mendidik anak anda untuk kawal emosi. Mengajar dan membimbing mereka bagaimana untuk mengekspresikan emosi dengan cara yang berhikmah mengikut situasi dan keadaan.

Cara Didik Anak Kawal Emosi Dengan Berkesan 

1.) Menjadi Contoh Teladan

“Bapa borik, Anak rintik ” – Peribahasa Melayu

Mommy dan Daddy ulanglah peribahasa ini setiap hari sebagai peringatan kepada diri sendiri. Anak-anak yang mempunyai keperibadian yang baik adalah hasil contoh teladan ibu bapa itu sendiri.

Kalau baik kelakuan ibu-bapanya baiklah dirinya. Jadi ibu-ibu dan ayah-ayah sekalian elakkan sehabis mungkin untuk menengking atau memarah anak dengan nada yang terlalu tinggi bila mereka tersilap melakukan kesalahan.

Kena ingat bila kita mula marah atau menengking, anak itu akan memerhati dan mendengar. Situasi yang terjadi itu terpahat dalam ingatannya.

Tidak mustahil pada masa hadapan anak tersebut juga anak akan menjadi seorang yang mudah marah, meninggikan suara dan bercakap kasar.

Cuba bayangkan jika kita membiasakan diri untuk bercakap dengan nada tenang dan penuh hormat kepadanya.

Mommy boleh cuba cara ini – walaupun kita rasa marah, cuba untuk sedaya upaya menahan diri daripada meninggi suara. Tarik nafas sedalam-dalam yang mungkin, tenangkan diri dan tegur kesalahannya dengan nada yang tenang. 

Anda boleh perhatikan dua situasi yang berbeza ini:

Situasi Pertama:

Ahmad ! Berapa kali nak cakap, simpan semua mainan lepas main !

Situasi Kedua:

Ahmad ( Nada tenang )....kalau Ahmad simpan semua mainan ni, nanti petang kita main kat taman permainan.

Ya, cakap memang senang tapi hakikatnya hanya masing-masing tahu. Tambah-tambah lagi kalau rezeki dikurniakan dengan anak yang aktif.

Tidak mengapa, sama-sama kita semua belajar dan cuba untuk memperbaiki diri. Tiada sesiapa yang sempurna.

2.) Didik Segera dan Jangan Berlengah

Belajarlah untuk didik anak anda secara praktikal dalam bahasa mudahnya.

Ali tengah asyik bermain dengan sebuah kereta mainan di ruang tamu. Abu sudah memerhati dari jauh sejak beberapa detik yang lalu. Terpesona dan tertarik dengan kereta tersebut, tanpa berlengah dia pun merampas kereta tersebut dari Ali menyebabkannya menangis.

Apa yang anda akan lakukan jika anda merupakan ibu atau ayah kepada Abu ?

Membiarkannya dahulu atau terus menegurnya ?

Langkah yang berkesan adalah didikan terus berdasarkan situasi semasa. “On the spot” bak kata orang putih.

Didikan sebegini membantu anak untuk menyedari tentang kesilapan daripada kelakuannya dengan kadar segera, memahami kesannya terhadap teman sekeliling dan juga membantunya mempelajari alternatif lain selain dari perbuatan yang telah dilakukannya.

Abu...Kenapa rampas mainan orang?
Tidak kesian ke pada Ali?
Pulangkan balik mainan tu dan minta maaf...

Perhatikan tindakannya yang seterusnya dan berikan pujian jika dia mula berkelakuan baik. Didikan seperti ini mendidik anak untuk berfikiran lebih matang, mengawal emosi, praktikal dan ternyata berkesan.

Jika anda lengahkannya, pasti anak tersebut juga telah melupakan kejadian tersebut dan tidak mampu mendapat sebarang pengajaran.

3.) Banyakkan Komunikasi Dengan Anak 

Emosi itu sifatnya berbolak-balik. Boleh jadi pada suatu ketika jiwa anak anda tenang dan gembira. Ada kalanya ia dipenuhi dengan rasa sedih. Semuanya bergantung kepada aktiviti dan situasi kehidupan sehariannya.

Perbualan dan perbincangan santai boleh bermula dengan kerap bertanyakan tentang khabarnya.

Jika dia tengah bersedih, apa puncanya dan mengapa dirinya berasa sedih dengan hal sedemikian. Bagaimana untuk melupakan kesedihan atau kekecewaan itu.

Kaedah ini mengambil masa tetapi ia membantu anak secara tidak langsung untuk menerokai emosinya dan memperbaikinya pada setiap hari secara perlahan-lahan.

Mendidik anak mengawal emosi bukan perkara yang mudah. Ia memakan masa yang lama. Peranan ibu bapa dalam hal ini penting kerana didikan ini memerlukan komunikasi yang baik antara dua belah pihak.

Ingat, hasil yang paling menyenangkan hati dan membahagiakan anda adalah apabila melihat anak itu membesar sebagai seorang yang matang di awal usia disebabkan kemampuannya untuk mengawal emosi diri.

Semoga dengan tips-tips ini, anda dapat jadikannya sebagai salah satu panduan untuk didik anak menjadi insan yang mampu mengawal emosinya dengan baik.