Apabila sebut sahaja lalat, terus kita akan terbayang sesuatu yang kotor dan menjijikkan. Selalunya cara halau lalat yang sering kita lakukan selama ini adalah dengan mengibas tangan kita tetapi ia tidak berkesan kerana lalat tersebut akan datang dan hinggap semula ditempatnya.
Kadang kala membuat rasa geram di hati semakin bertambah, apatah lagi jika ia melata di ruang dapur terutamanya diatas meja makan.
Tambahan pula jika ada bau yang ‘menggoda’ seperti belacan, ikan kering, budu, dan banyak lagi sepertinya. Apa yang membimbangkan jika lalat yang hinggap itu sempat bertelur pada makanan yang terdedah.
Ia boleh mengakibatkan kita mengalami penyakit seperti antraks, konjunktivitis, demam tifiod, selain menyebarkan penyakit malaria dan demam kuning jika memakan makanan tersebut.
Untuk menjaga kesihatan Mommy sekeluarga daripada penyakit yang dibawa oleh lalat ini, kami kongsikan beberapa cara halau lalat yang boleh Mommy lakukan.
Panduan Cara Halau Lalat Dengan Berkesan
#1. Perangkap lalat
Perangkap lalat kini didatangkan dalam pelbagai rupa dan bentuk. Yang biasa kita lihat di kedai, ialah yang jenis gantung pada siling dan menggunakan elektrik.
Perangkap tersebut mempunyai lampu biru yang membuatkan lalat tertarik untuk pergi kepadanya, lalat yang hinggap akan mati kerana terkena kejutan elektrik.
Terdapat juga jenis yang menggunakan bekas yang menarik lalat dengan bau makanan, dan bila lalat masuk ia tidak dapat keluar lagi.
#2. Pelekat lalat
Pelekat ini menggunakan gam yang sangat kuat, apabila lalat hinggap, ia tidak boleh terbang lagi. Ada juga yang sapu sahaja gam tersebut pada kertas dan letakkan pada tempat yang lalat selalu hinggap. Selain tu, ada juga yang pelekat yang siap sedia digunakan di jual dipasaran.
Mommy hanya perlu membuka kertas pelekat yang memang sudah ada gam dan letakkan di mana yang Mommy rasa lalat selalu berterbangan.
Kos pelekat lalat ini juga sangat murah dan senang dibeli di mana-mana sahaja secara online ataupun di kedai runcit.
#3. Pemukul lalat
Biasanya pemukul lalat yang digunakan adalah yang diperbuat daripada plastik. Caranya menggunakannya dengan memukul lalat semasa ia hinggap dimana seperti lantai atau meja.
Walau bagaimanapun, sekarang sudah ada pemukul yang menggunakan cas elektrik. Bentuknya seperti raket badminton dan terdapat elektrik pada jaring-jaring apabila dihidupkan.
Mommy boleh melibas lalat semasa ia terbang. Harga perangkap lalat seperti raket badminton agak murah dan mampu milik – bermula dari RM10 dan boleh dibeli secara online, di pasar raya atau pasar malam.
#4. Limau purut & bunga cengkih
Cara menggunakan limau purut dan cengkih ini sama seperti petua untuk menghalau nyamuk dari rumah iaitu belah limau purut kepada 2 bahagian dan cucukkan bunga cengkih pada limau tersebut. Kemudian letakkan di atas meja makan atau tempat yang banyak lalat.
#5. Serai Wangi
Serangga seperti lalat memang tidak menggemari bau serai wangi. Sangat bagus jika Mommy menanam serai wangi di kawasan rumah teapi, kalau tidak dapat tanam, Mommy boleh sahaja membeli serai wangi dan buatkan air serai wangi organik.
Cara membuatnya ialah dengan mengisar kering segenggam serai wangi yang sudah dibasuh dan ditambahkan dengan secawan air.
Biarkan ia semalaman sebelum ditapis, selepas itu masukkan air tapisan ke dalam botol ‘spray’. Semburkan air serai wangi tadi pada pintu, tingkap, meja atau mana-mana tempat yang Mommy fikir perlu.
Jika Mommy tidak mempunyai masa atau mahu lebih mudah, boleh sahaja beli serai wangi yang siap guna di pasaran.
#6. Timun
Siapa sangka rupanya-rupanya lalat tidak suka dengan timun. Jika Mommy tidak mahu lalat menghampiri tong sampah di rumah, cuba letakkan beberapa hirisan timun di atas, di dalam atau keliling tong sampah.
Mommy juga boleh meletakkan beberapa hirisan timun di atas meja, tepi tingkap atau pintu bagi menghalang lalat masuk atau hinggap di meja makan.
#7. Kulit kayu manis
Caranya ialah dengan menumbuk kulit kayu manis dan gunakan ia sebagai pewangi di dalam rumah. Bau yang terhasil daripada kulit kayu manis ini akan menghalau lalat yang terdapat di dalam rumah Mommy.
#8. Daun Kari
Cara lain untuk menghalau lalat ialah dengan menggunakan daun kari. Apa yang perlu Mommy lakukan ialah dengan mengambil secekak daun kari dan rendamkan di dalam air. Biarkan di ruang yang dipenuhi lalat.
#9. Lilin
Haba yang terhasil dari lilin yang Mommy bakar dapat menghalang lalat daripada menghurung makanan yang telah dihidangkan. Petua ini sering digunakan oleh peniaga-peniaga makanan untuk menghalau lalat daripada menghurung jualan mereka.
#10. Gantung Air Dalam Plastik
Cara ini dikatakan boleh mengganggu penglihatan lalat. Masukkan air ke dalam bekas plastik lut sinar dan gantungkan ia pada tempat yang banyak lalat, di pintu atau tingkap untuk mengelakkan lalat daripada masuk.
Ada juga yang memasukkan duit syiling ke dalam bungkusan tersebut bagi menambahkan lagi silau.
#11. CD
Caranya sama dengan menggantung air dalam plastik iaitu untuk menghasilkan silau. Mata lalat amat sensitif terhadap cahaya yang sentiasa berubah, jadi pantulan cahaya dari CD boleh mengelirukan sekaligus menghalau lalat. Mommy boleh lihat banyak kedai mamak dan cina menggunakan kaedah ini.
Kesimpulannya, usaha menghalau lalat harus dilakukan kerana lalat merupakan serangga kotor yang mampu menyebarkan penyakit kepada kita semua. Selain menghalau lalat, sangatlah penting untuk Mommy menjaga kebersihan kawasan rumah Mommy.
Pembuangan sampah mestilah dilakukan dengan sebaiknya manakala tong sampah haruslah dibersihkan dan sentiasa ditutup rapat. Diharap perkongsian cara halau lalat kami ini akan memberi manfaat kepada Mommy.
Dapatkan tips atau hacks rumah yang lain DI SINI.