Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Petua & Cara Hilangkan Kahak Bayi. No 6 Yang Paling Popular & Ramai Familiar

Photo credit: istockphoto

Perkara yang paling meresahkan ibu bapa sudah tentunya adalah keadaan bayi yang tak sihat, terutama sekali bayi yang baru lahir.

Bila bayi tak sihat, mereka akan menjadi tidak selesa, kerap menangis, dan seterusnya mengakibatkan kurang rehat, dimana ia sangat penting dalam memulihkan badan mereka yang tidak sihat itu.

Salah satu keadaan yang kerap berlaku di mana bayi tidak sihat dan sangat membimbangkan para ibu bapa ialah kahak di dada bayi yang membuatkan bayi sukar untuk bernafas dan selalu muntah susu.

Bagaimana Terjadinya Kahak?

Bayi boleh mendapat kahak dan sesak nafas apabila mengalami alahan terhadap persekitaran.

Contohnya asap rokok, habuk, dan bahan-bahan pencemaran lain. Bayi juga boleh mendapatnya jika mempunyai alahan terhadap makanan.

Apabila bayi mengalami alahan, tubuh mereka akan menghasilkan lendir berlebihan di hidung dan saluran udara untuk memerangkap dan membuang bahan-bahan yang menyebabkan alahan tersebut.

Faktor lain seperti pendedahan kepada cuaca kering dan juga jangkitan virus boleh menyebabkan pengeluaran lendir yang berlebihan, justeru mengakibatkan kesesakan pernafasan bayi.

Bayi adalah lebih cenderung untuk mengalami kesesakan hidung akibat daripada lendir berlebihan berbanding kanak-kanak yang sudah besar kerana saluran hidung dan saluran udara, atau salur pernafasan mereka masih kecil dan belum matang.

Oleh itu, selesema dan lendir tersebut akan turun dari hidung ke tekak dan mengakibatkan kahak dan batuk berkahak.

Highlighted


Ubat preskripsi dari farmasi atau over-the-counter (OTC) harus dielakkan daripada diberikan kepada bayi di bawah umur dua tahun memandangkan mereka masih  terlalu kecil.

Ubat batuk dan selesema OTC tidak dapat merawat selesema bayi dan tidak boleh menghilangkannya dengan lebih cepat. Malah, ia boleh merbahayakan lagi nyawa bayi Mama tau!

Lagipun, semua ubat batuk dan selesema yang boleh didapatkan di pasaran akan melabelkan ubat-ubat tersebut untuk tidak digunakan oleh bayi di bawah dua, tiga, atau empat tahun.

Jadi, apakah cara hilangkan kahak bayi yang boleh dicuba oleh ibu bapa?

Cara-cara Menghilangkan Kahak Bayi

1. Pastikan Bayi Minum Dengan Banyak

Kunci untuk memastikan lendir mereka mengalir dan memudahkan batuk bayi adalah dengan memberi mereka cecair dengan kerap.

Ini bermakna susu ibu atau formula bagi bayi di bawah enam bulan, dan juga air biasa bagi bayi yang sudah boleh makan makanan separa pejal.

Jika bayi anda kurang minum dan mengalami dehidrasi, kahak dan lendir berlebihan boleh manjadi kering dan sukar disingkirkan dengan batuk sahaja.

2. Saline Drops (Air Garam) dan Penyedut Hingus

Lendir di hidung bayi boleh bergerak ke bahagian belakang hidung dan tekak, justeru merangsang kerongkong dan menyebabkan bunyi batuk yang serak basah.

Sumber: sterimasnasal.co.uk

Ibu bapa boleh gunakan saline drops, iaitu solusi air garam yang boleh dbeli di farmasi.

Dengan hanya menitiskan beberapa kali di setiap lubang hidung, kemudian gunakan penyedut hingus untuk mengeluarkan lendir berlebihan dan kahak yang terperangkap.

Elakkan membuat campuran air garam sendiri kerana rationya mungkin tidak sesuai untuk bayi yang baru lahir.

3. Melembapkan Udara dengan Menggunakan Humidifier

Sumber: Freepik

Menggunakan humidifier di dalam bilik yang dihuni oleh bayi dapat memastikan udara di dalam bilik tersebut sentiasa lembab.

Justeru, lendir dan kahak dapat mengalir dengan lebih mudah dan lebih senang untuk dikeluarkan.

Mama dan Papa juga boleh pertimbangkan menggunakan diffuser yang bertindak sebagai humidifier dan juga boleh digunakan dengan minyak pati (essential oil) yang dikatakan berkesan untuk membantu mencegah dan juga merawat batuk dan selesema seperti minyak pati lemon.

Lagi satu alternatif yang Mama dan Papa boleh cuba ialah menggunakan bilik mandi seperti bilik wap dengan mengalirkan air panas selama 10 minit, menutup pintu, dan membiarkan wap menambahkan kelembapan di dalam bilik.

4. Menggunakan Madu Asli

Sumber: Adobe Stock

Bagi bayi yang berumur setahun ke atas, Mama dan Papa boleh cuba memberi sedikit madu sebelum bayi tidur petang atau malam.

Sebagai salah satu cara menghilangkan batuk bayi, madu dapat membantu melapisi kerongkong bayi, justeru melegakan kesakitan daripada batuk dengan kahak.

Mama dan Papa juga boleh cuba cairkan madu di dalam air suam dengan sedikit perahan lemon jika khuatir madu terlalu pekat untuk bayi.

Tetapi madu tidak digalakkan untuk diberi kepada bayi di bawah umur satu tahun kerana mungkin akan mendapat alahan atau keracunan makanan.

5. Tepukan Fisioterapi Percussion

Teknik tepukan percussion dapat membantu melonggarkan kahak di dalam paru-paru bayi, justeru mengeluarkan kahak dan hingus.

Teknik tepukan percussion memerlukan beberapa posisi yang Mama dan Papa perlu ketahui.

Pertama, pegang bayi dalam keadaan selesa dan tundukkannya dalam sudut 45 darjah dan mulakan tepukan bahagian kiri dan kanan. Bagi bayi yang lebih besar, bentukkan tangan seakan-akan cawan (cupping), manakala untuk bayi kecil pula gunakan dua jari sahaja.

Sumber: Adobe Stock

Tepukan perlu perlahan tetapi dalam frekuensi yang laju selama 10-15 minit. Untuk lebih selesa, letakkan bantal di belakang bayi, atau pun di bahagian depan jika menggunakan posisi meniarap, di mana Mama dan Papa boleh tiarapkan bayi di atas bantal atau pangkuan ibu bapa.

Pastikan muka bayi dalam keadaan selesa dan boleh bernafas. Sebelum memulakan teknik ini, pastikan bayi tidak minum susu dalam sejam sebelumnya untuk mengelakkan bayi daripada muntah susu.

Lakukan tepukan ini sebanyak dua kali sehari.

6. Petua Orang-Orang Tua

Mama dan Papa juga boleh mencuba petua orang-orang tua yang tidak memudaratkan seperti menggunakan bawang putih yang telah dibakar di atas dapur dan dicampurkan dengan minyak zaitun untuk disapukan pada dada dan tapak kaki.

Sumber: Photo by Isabella Mendes from Pexels

Selain itu, ada juga yang menggunakan daun sirih yang dicampurkan dengan kapur dan air untuk disapukan pada dada juga. Tapi Mama Papa diingatkan untuk tidak meletakkan dengan terlalu banyak kerana dikhuatiri panas.

Walau bagaimanapun, sebelum mencuba petua-petua dan cara hilangkan kahak bayi ini, Mama Papa juga perlu mendapatkan nasihat doktor untuk memastikan keberkesanannya dan untuk mengelakkan dari memudaratkan keadaan bayi lagi.

Amalan Harian Yang Boleh Meningkatkan Sistem Imun

Walaupun selesema, batuk, dan kahak bayi sudah menjadi kebiasaan, Mama dan Papa harus pertingkatkan sistem imun tubuh badan bayi untuk mengelakkan batuk dan selesema dari berlaku dengan terlalu kerap.

Yelah, siapa yang suka tengok bayi mereka dalam keadaan yang tidak selesa, bukan? Antara amalan-amalan yang boleh meningkatkat sistem imun bayi termasuklah:

  • Pastikan pemakanan bayi merangkumi semua nutrisi penting dan berkhasiat terutamanya apabila bayi sudah boleh minum dan makan makanan separa pejal.
  • Bagi bayi yang masih menyusu badan, Mama pula yang harus pastikan anda makan makanan yang berkhasiat. Bukan sahaja ia akan meningkatkan imuniti, tetapi juga menjaga kesihatan secara keseluruhan dan boleh tingkatkan pengeluaran susu ibu. Makanan yang dapat meningkatkan sistem imun adalah seperti yogurt, ubi keledek, avokado, nasi perang, dan blueberries.
  • Perbanyakkan waktu tidur bayi dan kanak-kanak kerana kajian menunjukkan kekurangan tidur boleh mengakibatkan individu lebih mudah untuk terkena penyakit dan menurunkan sistem imun yang dapat menyerang microbes dan sel barah.
  • Bayi dan kanak-kanak juga digalakkan untuk bermain dengan binatang peliharaan seperti kucing kerana ia didapati memberi manfaat kepada kesihatan imun keseluruhan. Ini kerana ia interaksi dengan haiwan dengan selamat dapat mempelbagaikan spesis bakteria di dalam usus anak, dan mengubah komposisi dan kepelbagaian microbes untuk mengurangkan risiko asma.
  • Seorang bayi yang baru lahir memerlukan dalam 16 jam waktu tidur, manakala kanak-kanak dalam lingkungan dua hingga empat tahun memerlukan 11-14 jam.
Sumber: heatheryoderwrites.com

Mama pernah cuba cara hilangkan kahak bayi yang lain? Kongsikan bersama ibu-ibu yang lain, tetapi jangan lupa untuk nasihatkan mereka bahawa adalah lebih baik mereka rujuk pakar terlebih dahulu sebelum mencuba apa sahaja petua yang tidak diketahui kesahihannya.