Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cara Hilangkan Panau Dekat Muka & Anggota Badan Lain Dengan Cepat

punca dan cara hilangkan panau

Kredit gambar: istockphoto

Penyakit kulit seperti penyakit panau memang sering terjadi, terutamanya kepada kanak-kanak dan remaja kan? Malah untuk sesetengah orang, ia dianggap sebagai perkara yang biasa dan bukannya penyakit pun. Ketahui punca dan cara hilangkan panau dengan berkesan.

Apa Itu Panau?

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, panau adalah jangkitan yang berlaku kerana kulat Malassezia pada lapisan luar kulit. Bahagian badan yang sering ditemui kulat ini adalah di kawasan yang banyak berpeluh dan menghasilkan sebum seperti di bahagian dada, belakang badan, muka dan kulit kepala.

Kesannya, akan timbul tompok-tompok putih, merah jambu, coklat, hitam dan perang. Di kawasan ini, permukaannya akan nampak berdebu dan tentunya terasa gatal.

Ia sering terjadi di kawasan tropika dan bukan sahaja kepada manusia ya, haiwan pun turut sama.

Kenali 10 Punca Penyakit Panau

Sebelum kita cuba cara-cara untuk menghilangkan penyakit ini, jom kita tengok dahulu beberapa punca yang menyebabkannya:

  1. Pesakit yang kekurangan zat makanan lebih mudah dijangkiti kulat ini
  2. Pesakit yang mengambil ubat-ubatan seperti steroid sistemik
  3. Pesakit yang mengambil ubat-ubatan seperti immunosuppressant
  4. Pesakit hyperhidrosis
  5. Berpeluh yang berlebihan
  6. Cuaca yang panas dan lembab
  7. Kulit yang berminyak
  8. Imun sistem badan lemah
  9. Ada sejarah keluarga yang mempunyai panau
  10. Pesakit sesetengah kanser

Orang tua-tua dulu selalu pesan kan untuk tunggu peluh kita kering dahulu supaya mandi nanti, tak tumbuh panau di kulit. Betul ke?

Senarai di atas hanyalah beberapa punca yang menyebabkan penyakit panau ini. Kalau Mommy nak penilaian yang lebih details, boleh je ke hospital dan minta pihak hospital lakukan ujian diagnostik.

Melalui ujian ini, Mommy boleh tahu kulat jenis apa yang menyebabkan jangkitan ini dan dapat merawatnya dengan lebih baik.

5 Cara Hilangkan Penyakit Panau

Apabila dah timbul tompok-tompok panau ni, jangan tunggu lama ya Mommy? Cepat-cepat usahakan untuk hilangkan penyakit panau ini sebelum ia melarat.

Nak guna cara di rumah atau dengan bantuan doktor, dua-dua amat disarankan. Lakukan juga beberapa cara untuk menghindari daripada ia terjadi:

#1. Jaga kebersihan diri dengan baik

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Penyakit panau ni boleh timbul apabila kita berpeluh yang berlebihan dan badan pun berminyak je. Mungkin kulit untuk sesetengah orang okay je. Tetapi untuk sesetengah lagi, senang sahaja dapat penyakit panau ni.

Cara yang terbaik adalah dengan menjaga kebersihan diri secara optimum. Sebenarnya, petua supaya jangan mandi dahulu selepas berpeluh dan biarkan ia kering itu tidak tepat.

Kita sedang membiarkan kulat itu membiak dalam keadaan macam tu sebenarnya. Cara yang betul adalah cepat-cepat bersihkan diri apabila kita berpeluh dan kulit badan berminyak.

#2. Elakkan tempat yang panas dan lembab

Kredit gambar: istockphoto

Nak cepat sembuh dan tak nak ia melarat, Mommy kena elakkan daripada berada di tempat yang panas dan lembab. Salah satu tips adalah, berada di tempat yang ada penghawa dingin.

Yelah.. sedia maklum kan negara kita ni negara tropika. Memang tinggi kebarangkalian untuk penyakit ini terjadi dan melarat.

#3. Guna ubat sapu untuk panau

Kredit gambar: istockphoto

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, ubat sapu untuk panau ni, terbahagi kepada dua iaitu ubat yang tidak khas kepada kulat dan ubat yang khas kepada kulat; antikulat.

Sebaiknya, Mommy dapatkan pandangan doktor tentang kesesuaiannya. Antara ubat-ubatan yang sering diberikan adalah selenium sulphide dan clotrimazole.

#4. Makan ubat panau

Kredit gambar: istockphoto

Selain daripada ubat sapu, ada juga ubat makan untuk panau. Ubat ini biasanya akan diberikan oleh doktor jika keadaan teruk.

Contohnya, ubat itraconazole, fluconazole dan ketoconazole.

#5. Guna syampu kelemumur yang ada selenium

Kredit gambar: istockphoto

Kalau panau terjadi di bahagian kulit kepala, cuba tukarkan syampu Mommy kepada syampu kelemumur yang kandungannya mengandungi selenium.

Cuba dahulu buat beberapa kali dan tengok hasilnya.

Punca Penyakit Panau Dan Cara Untuk Hilangkannya

Dengan penjagaan yang betul, penyakit panau dapat dihindari dan dihilangkan. Nasihat Motherhood adalah, dapatkan nasihat doktor untuk mengenal punca ia terjadi dan cara rawatannya ya?

 Sumber: healthline dan Kementerian Kesihatan Malaysia


Dapatkan pelbagai info kesihatan yang lain di SINI.


Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.