Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Cara Hilangkan Sedu Bayi Dengan Cepat Dan Selamat

bayi baring merengek

Sumber: Adobe Stock

Sedu boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, mahupun dewasa, kanak-kanak, dan bayi. Kalau orang dewasa merasa sedu itu sangat menjengkelkan, apa pula perasaan bayi yang sering melaluinya kan?

Sebenarnya, ia tidak menjejaskan kesihatan bayi. Malah, bayi boleh tidur tanpa rasa terganggu kalau sedang tersedu, dan sedu tidak memberi apa-apa kesan pada pernafasan bayi.

Lagipun, selalunya sedu bayi berlaku sekejap sahaja.

Highlighted

Sumber: freemalaysiatoday.com

Bagaimana Sedu Bayi Berlaku?

Sedu bayi adalah disebabkan oleh pengecutan diafragma atau spasm dan penutupan vocal cord yang cepat.

Penutupan vocal cord yang pantas itu yang menimbulkan bunyi sedu tersebut.

Diafragma bayi boleh mengalami spasm jika bayi makan terlalu banyak atau cepat, atau mungkin juga bila bayi berasa teruja tentang sesuatu perkara.

Bayi mula mendapat sedu sejak di dalam rahim lagi, dan ia mungkin merupakan salah satu perkara yang penting untuk semasa proses tumbesaran bayi iaitu untuk perkembangan otak dan pernafasan bayi.

Walaupun sedu bayi bukanlah suatu perkara yang perlu membimbangkan Ibu dan Ayah, ia boleh dicegah, bahkan Ibu dan Ayah boleh cuba menghentikannya semasa ia sedang berlaku.

Dibawah merupakan beberapa cara untuk hilangkan atau elakkan sedu bayi yang Ibu dan Ayah boleh lakukan.

Cara Hilangkan Sedu Bayi Yang Cepat Dan Selamat

1. Berehat dari Penyusuan dan Sendawakan Bayi

Sumber: hellodoktor.com

Semasa Ibu menyusukan bayi, Ibu boleh cuba untuk berehat seketika dan menyendawakan bayi.

Ini bertujuan untuk mengelakkan sedu bayi kerana bersendawa dapat mengurangkan lebihan gas yang boleh menyebabkan sedu.

Gosok atau tepuk belakang bayi dengan lembut untuk sendawakan dan menghilangkan sedu bayi.

2. Gunakan Puting Bayi (Pacifier)

Sedu bayi tidak semestinya berlaku lepas makan atau menyusu sahaja.

Apabila bayi mula tersedu dengan tiba-tiba, anda boleh menggunakan puting bayi atau pacifier dan biarkan dia hisap pacifier tersebut.

Sumber: blue.kumparan.com

Menghisap puting mungkin dapat merehatkan diafragma, justeru menghentikan sedu bayi.

Kalau bayi tiada pacifier, anda boleh cuba memberikan hujung selimut yang lembut dan bersih untuk bayi hisap.

3. Pastikan Bayi Tenang Sebelum Menyusu

Kalau boleh, Ibu jangan tunggu sampai bayi menangis dan merengek untuk menyusu.

Pastikan bayi anda tenang sebelum menyusu, supaya mereka juga menyusu dalam keadaan tenang untuk mengelakkan berlakunya sedu.

4. Elakkan Aktiviti Berat Selepas Menyusu

Selepas makan atau menyusu, elakkan bayi daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang berat bagi bayi atau yang terlalu mengujakan, seperti menimang bayi tinggi-tinggi, untuk mengelakkan sedu bayi.

Selain itu, Ibu juga perlu elak menggunakan buaian untuk sendawakan bayi atau menggosok belakang bayi kerana ia boleh menyebabkan bayi mual dan muntah.

5. Tukar Posisi Bayi

Kredit: Adobe Stock

Cara untuk hilangkan sedu bayi yang seterusnya ialah, mak-mak boleh cuba untuk menukar posisi bayi daripada posisi yang sedu itu bermula.

Contohnya, jika bayi mula tersedu ketika baring, anda boleh cuba dudukkan atau meniarapkannya. Sambil menukar posisi, gosokkan belakan badannya secara perlahan-lahan untuk mengurangkan sedu tersebut.

6. Memberi ‘Gripe Water’

Sekiranya bayi kelihatan tidak selesa ketika sedu, Ibu boleh pertimbangkan untuk mencuba air gripe, atau ‘gripe water’ yang boleh didapatkan di farmasi.

Antara contoh Gripe Water yang berada di pasaran. (Sumber: blue.kumparan.com)

Gripe water ialah air gabungan beberapa ramuan herba seperti halia, jintan, dan kayu manis. Air ini dipercayai oleh ramai orang untuk mengurangkan ketidakselesaan usus dan perut.

Namun begitu, masih belum ada kajian yang mengesahkan keberkesanan gripe water ini, jadi sebelum memberi sesuatu yang baru untuk bayi Ibu, adalah disyorkan untuk anda berbincang dengan doktor atau pakai pediatrik terlebih dulu.

Tambahan pula, ia kebarangkalian besar tidak sesuai untuk bayi berumur enam bulan kebawah.

7. Alihkan Perhatian Bayi

Sumber: alodokter.com

Kadang-kala, jika Ibu mengalihkan perhatian bayi ketika dia tersedu, seperti membuat bayi tertawa dan bermain, ia juga dapat menghentikan sedu.

Konsep ini serupa dengan teknik ‘mengejutkan’ orang dewasa ketika tersedu untuk buat mereka terkejut dan hilang sedu, tapi Ibu dan Ayah tidak digalakkan untuk mengejutkan si manja kerana ia mungkin boleh membahayakan bayi.

8. Elakkan Bayi Dari Menelan Udara Berlebihan

Ketika menyusu, pastikan bayi tidak menelan udara yang berlebihan dengan memastikan seluruh puting dan areola masuk ke dalam mulut bayi.

Ibu juga disarankan untuk menegakkan sedikit bayi ketika menyusu untuk mengurangkan udara berlebihan.

Sumber: mytravelandfooddiary

Jika Ibu menggunakan formula, pastikan sebahagian besar puting botol dimasukkan ke dalam mulut bayi dan sengetkan botol sedikit sahaja supaya tiada ruang udara dalam puting.

9. Gunakan Petua Orang Dulu-Dulu

Ibu dan Ayah tentu pernah dengar beberapa petua orang dulu-dulu untuk hentikan sedu kan? Atau mungkin mak anda sendiri pernah menggunakan kaedah ini pada anda sendiri semasa kecil.

Ini merupakan antara cara hilangkan sedu bayi yang paling popular dalam kalangan orang Melayu di Malaysia.

Sumber: majalahpama.com.my

Caranya ialah dengan meletakkan secebis tisu kecil yang dibasahkan sedikit dan ditepekkan pada dahi bayi. Ramai juga yang percaya petua ini sangat berkesan.

Jika Ibu dan Ayah menggunakan cara ini, pastikan air yang digunakan untuk membasahi tisu tersebut adalah air yang bersih, dan elakkan mengguna air liur supaya kuman tidak tersebar kepada bayi.

10. Biarkan Sedu Berhenti Sendiri

Bayi dibawah umur satu tahun akan sering mengalami sedu, dan walaupun kerap dapat, ia juga boleh berhenti dengan sendirinya, dan dalam masa yang sekejap sahaja.

Sekiranya sedu tersebut tidak menganggu bayi, Ibu dan Ayah boleh biarkan sahaja bayi sedu sehingga ia berhenti sendiri.

Sumber: ms.drafare.com

Secara umumnya, bayi memang akan selalu mendapat sedu dan ia akan berkurang apabila mereka semakin membesar.

Selagi bayi sedu dengan normal dan tidak diikuti dengan muntah atau simptom-simptom lain yang memudaratkan, jangan risau ya kerana ia adalah sebahagian perkembangan bayi yang normal.

Ibu dan Ayah tidak perlu menutup hidung bayi kerana itu amat merbahayakan, tetapi bolehlah cuba tips-tips yang disebutkan di atas untuk mengurangkannya seperti yang disebutkan tadi.

Akan tetapi, jika sedu bayi nampak melarat dan memudaratkan, anda disarankan untuk segera ke klinik berdekatan untuk konsultasi dan kepastian lanjut dari doktor atau pakar pediatrik bayi.