Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Cara Isi Borang Nikah Online Yang Lengkap dan Tepat

cara isi borang nikah selangor, kedah

Sudah lama menyulam cinta, kini tiba masa untuk disatukan. Sebelum disatukan, anda semua perlu tahu beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum melangsungkan pernikahan yang antaranya adalah borang nikah. Tentu anda tertanya-tanya bagaimana cara isi borang nikah kan?

Oleh sebab bukan semua orang tahu mengenai perkara ini, melalui perkongsian pada kali ini kami akan kongsikan kepada anda dan pasangan tentang cara isi borang nikah yang merupakan salah satu prosedur wajib sebelum upacara akad nikah dibenarkan.

Jom lihat apakah cara betul isi borang nikah di bawah ini!

Panduan Cara Isi Borang Nikah 

Highlighted

Kredit gambar: mfdjannah.com

Perkahwinan ialah Ijab dan Qabul yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan. Fitrah manusia inginkan pasangan dalam hidup mereka untuk menjalani kehidupan di dunia ini.

Melalui perkahwinan inilah tergalasnya tanggungjawab sebagai suami dan isteri di bahu mereka yang berkahwin.

Perihal perkahwinan ada disebut oleh baginda Rasulullah S.A.W seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi iaitu:

“Apabila seorang hamba Allah menikah, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh agamanya. Maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada separuh yang selebihnya.”

Juga dinyatakan dalam al-Quran tentang perkahwinan dan tujuan disyariatkannya, dalam surah An-Nisaa’’ ayat 3, yang bermaksud:

“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (bila menikah) anak-anak yatim, maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi, jika kamu takut tidak dapatberlaku adil, maka seorang sajalah, atau hamba sahaya yang kamu miliki. Yang demikian itulah yang lebih memungkinkan kamu terhindar dari berlaku sewenang-wenangnya.”

Daripada sabda Rasulullah S.A.W. dan firman Allah S.W.T. ini dapat kita simpulkan bahawa perkahwinan itu ialah satu ibadah yang dituntut dalam Islam.

Oleh itu, jadikan perkahwinan itu salah satu gedung pahala buat kita semua.

Di Malaysia, sebelum melangsungkan perkahwinan terdapat beberapa perkara yang perlu dilengkapkan. Salah satunya adalah memohon dan mengisi borang nikah.

Terdapat beberapa langkah atau cara betul nak isi borang nikah yang perlu diikuti oleh bakal pengantin ketika mengisi borang nikah ini.

Borang nikah ini perlu dilengkapkan secara online oleh bakal pengantin lelaki dan mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Agama Daerah terlebih dahulu.

Kemudian akan diserahkan kepada bakal pengantin perempuan untuk dilengkapkan serta mendapatkan pengesahan.

Bagi mereka yang berasal dari negeri Perak, Kedah, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Johor dan Selangor perlu mengisi borang permohonan nikah mereka melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SSPIM).

Berikut adalah cara isi borang nikah tersebut iaitu:

Cara Isi Borang Nikah Langkah 1

  • Diisi oleh salah seorang bakal pengantin (lelaki atau perempuan).
  • Lengkapkan maklumat permohonan.
  • Pemohon haruslah berasal dari Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).
  • Jika anda tidak berasal dari negeri yang menggunakan SPPIM tetapi memilih untuk bernikah di negeri SPPIM anda perlu membuat permohonan secara atas talian ini.
  • Tarikh permohonan adalah tidak melebihi 90 hari dari tarikh cadangan berkahwin.
  • Pejabat agama yang akan memproses permohonan bernikah ini adalah berdasarkan alamat tempat tinggal bakal pengantin.

Langkah 2

  • Setelah lengkap, hantar permohonan.
  • Anda akan diberikan satu nombor rujukan iaitu No. Rujukan BNO.
  • Sekiranya terdapat sebarang kesilapan dan perlu dikemaskini, anda boleh berbuat demikian selagi permohonan bakal pengantin lelaki yang menggunakan SPPIM belum diproses oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

Langkah 3

  • Cetak senarai semak bagi dokumen yang perlu disediakan.
  • Senarai semak ini akan berbeza mengikut status pemohon dan kewarganegaraan.
  • Cetak borang berdasarkan senarai semak yang diberikan.

Langkah 4

  • Perlu mendapatkan pengesahan Penolong Pendaftar NCR (Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk) di masjid kariah kawasan tempat tinggal.

Langkah 5

  • Perlu mendapatkan kelulusan dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
  • Bakal pengantin lelaki perlu mendapatkan kebenaran berkahwin daripada PAID terlebih dahulu kemudian barulah bakal pengantin perempuan akan mendapatkan kebenaran berkahwin di PAID kawasannya.

Secara ringkasnya, permohonan nikah secara atas talian ini memerlukan kedua-dua bakal pengantin untuk mengisi maklumat lengkap secara online.

Selepas permohonan online ini lulus barulah borang perlu dicetak dan sediakan semua dokumen yang diperlukan beserta salinan.

Selepas bakal pengantin lelaki mendapatkan kebenaran berkahwin dari PAID, barulah dokumen tersebut diserahkan kepada pihak pengantin perempuan.

Bagi pihak bakal pengantin perempuan, setelah menerima dokumen dari pihak bakal pengantin lelaki, download dan cetak borang dan pastikan semua dokumen lengkap sebelum menghantar semua dokumen ke PAID.

Terdapat cas bagi pemprosesan yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM20.

Lain-lain Dokumen Yang Perlu Disertakan

Selain dari permohanan online dan pengesahan dari PAID masing-masing, bakal pengantin juga perlu melakukan ujian HIV dan perlu mendapatkan sijil kursus Pra-perkahwinan terlebih dahulu sebelum menghantar borang permohonan kepada PAID masing-masing.

Semoga dengan perkongsian ini sedikit sebanyak boleh membantu bakal-bakal pengantin di luar sana untuk membuat permohonan nikah ini.

Buat bakal-bakal pengantin di luar sana, semoga dipermudahkan segala urusan dan Selamat Pengantin Baru!


Dapatkan juga pelbagai info menarik yang lain di SINI!