Nak mendidik anak bukannya senang kan Mommy dan Daddy? Terutamanya yang berkaitan dengan agama dan akidah, kena ajar dengan cara yang betul.
Umur Yang Sesuai Untuk Mengajar Anak Solat
Sebab itulah, kalau nak ajar anak solat ke umpamanya, kena mula dari kecil lagi. Sesuai dengan hadis yang dikongsikan oleh Aku Islam ini:
Maksudnya: Jika seorang anak sudah mengetahui dan dapat membezakan tangan kanan dan kirinya, maka perintahkanlah dia untuk mengerjakan solat – Riwayat ath-Thabarani
Berdasarkan kepada hadis ini, kira-kira umur kanak-kanak yang sesuai diajar tentang solat ialah sekitar 2 atau 3 tahun lah kan?
Masa inilah Mommy dan Daddy harus mula peka dan usaha untuk membimbing mereka.
15 Cara Mengajar Anak Solat
Banyak cara yang Mommy dan Daddy boleh praktikkan dalam kehidupan seharian untuk mengajar anak-anak solat. Ia bukanlah tertakluk kepada usaha-usaha yang dilakukan sahaja tetapi lebih kepada cara kita mengelola kehidupan seharian juga.
Jom, cuba beberapa cara ini:
#1. Perkenalkan anak dengan Surah Al-Fatihah
Pada ketika ini, kanak-kanak mula mengenal dan membaca ABC, 123. Adalah elok jika Mommy dan Daddy perkenalkan Al-Quran juga kepada mereka.
Cara yang mudah untuk lakukan ini adalah dengan mengajarkan mereka bacaan dan makna Surah Al-Fatihah.
Lazimi lisan mereka dengan mengulang-ulang bacaannya sehingga mereka mengingatinya.
#2. Ajari anak cara bacaan dalam solat
Selain daripada surah dalam Al-Quran, kita juga hendaklah ajari mereka cara bacaan dalam solat. Seperti kita mengajar mereka nyanyian lagu untuk kanak-kanak, begitu jugalah kita boleh ajar mereka membaca bacaan dalam solat.
Otak kanak-kanak pada usia ini seperti span Mommy. Mereka akan menyerap kesemuanya, yang baik mahupun buruk.
Cepat je kan mereka hafal lagu-lagu nyanyian tu? Kita ajarkan terus cara bacaan dalam solat dan manfaatkan ‘golden time’ ni.
#3. Fahamkan makna bacaan dalam solat
Ini bukan kanak-kanak je. Perasan tak bila kita yang dewasa ini mentadabbur makna ayat Al-Quran sebagai contohnya, kefahaman kita akan bertambah dan minda kita akan lebih mudah untuk mengingatinya?
Haa… kalau selama ini Mommy hanya mengajarkan bacaannya je, cuba ajarkan mereka makna bacaan itu juga. Sebagai contoh, makna bacaan ketika kita sujud.
#4. Buat simulasi pergerakan dalam solat
Bila mereka dah mula mengenal bacaan dalam solat, Mommy dan Daddy bolehlah buat simulasi pergerakan dalam solat.
Mereka akan lebih faham bahawa bacaan ini dibaca ketika berdiri sebegini, bacaan ini dibaca ketika rukuk dan sebagainya.
#5. Hadiahkan mereka persalinan untuk solat
Kanak-kanak ni memang suka meniru apa yang orang di sekelilingnya buat. Bila kita dah ajar bacaan dan tunjukkan pergerakan dalam solat, mereka akan timbul rasa untuk mencuba.
Untuk menggalakkan mereka, cuba Mommy dan Daddy hadiahkan persalinan untuk solat. Untuk si hero cilik, kopiah dan sejadah dan untuk si puteri kecil, kain sembahyang dan sejadah.
#6. Buat simulasi ambil wuduk
Kena fahamkan juga dengan betul-betul bahawa untuk solat, mereka mestilah ambil wuduk dan dengan cara yang tertib.
Ajarkanlah mereka cara untuk mengambil wuduk dan jelaskan kenapa pentingnya untuk bersuci sebelum solat.
#7. Lazimi solat berjemaah bersama-sama
Kalau sebelum ni Mommy dan Daddy solat berjemaah berdua je, boleh dah mulakan mengajak anak-anak sekali untuk solat bersama.
Jadilah role model untuk mereka dan bila ia menjadi kebiasaan, anak-anak akan pandai dengan sendirinya apabila melihat cara Mommy dan Daddy solat.
#8. Fahamkan anak konsep waktu solat
Apabila dah biasakan solat bersama, secara tak langsung, anak akan perasan sebenarnya bahawa solat fardhu ini bukanlah dilakukan sewenang-wenangnya.
Fahamkan anak-anak bahawa waktu solat ni ada waktu yang tersendiri yang kita mesti ikut dan bermanfaat untuk kita sebagai hamba.
#9. Ajari anak untuk bersemangat menunggu waktu solat
Adalah elok jika dari kecil lagi, kita ajarkan mereka untuk bersungguh menunggu tibanya waktu solat dan solat di awal waktu.
Ajarkan mereka untuk menyudahkan sebarang aktiviti lebih awal dan kosongkan waktu pada 30 minit sebelum waktu azan.
Pada ketika ini, bolehlah buat persiapan untuk solat dan bersama-sama menunaikannya ketika masuk waktunya.
#10. Latih anak untuk menjaga kebersihan pakaian dan diri
Salah satu yang mesti dijaga ialah, kebersihan diri. Mommy dan Daddy mestilah melatih anak-anak untuk menjaga kebersihan diri dan pakaian mereka.
Sebelum berwuduk, bersihkan segala kotoran dan najis terlebih dahulu. Malah lebih baik jika Mommy dan Daddy ajarkan mereka untuk sentiasa memastikan pakaian mereka bersih dan bersedia untuk menunaikan solat.
#11. Fahamkan anak tentang perintah solat
Apabila mereka dah faham serba sedikit tentang solat, perkenalkanlah kepada mereka hadis Rasulullah S.A.W. dan firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran mengenai perintah dan kewajipan bersembahyang.
Sebagai contoh, ayat 132 daripada Surah Taha ini:
Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.
#12. Bawa anak solat di masjid
Bukan sahaja solat berjemaah di rumah yang membantu, tetapi juga di masjid. Terutamanya buat anak lelaki, fahamkanlah mereka tentang anjuran agama Islam untuk lelaki menunaikan solat di masjid.
Apabila mereka melihat orang lain bersemangat berwuduk, bersolat, malah melakukan amalan lain seperti membaca Al-Quran dan solat sunat, mereka akan turut sama merasakan manisnya beribadah itu.
#13. Sediakan ruang khas untuk solat dengan selesa
Selain daripada itu, Mommy dan Daddy boleh galakkan anak untuk solat dengan menyediakan ruang khas untuk mereka.
Pasti mereka akan lebih bersemangat untuk bersembahyang. Kita sebagai orang dewasa pun lebih selesa jika di ruang solat ada karpet yang gebu dan kipas yang menyejukkan udara kan?
#14. Mengambil kira rentak anak
Dalam mengajarkan anak solat, Mommy dan Daddy tak bolehlah mengikut rentak tersendiri. Lain orang, lain cara dan penerimaannya.
Walaupun masih kecil, mereka pun ada personaliti tersendiri. Cuba dekati mereka dan ajarkan yang dibincangkan di atas dengan menyesuaikan rentak mereka juga.
Jangan ada paksaan atau marah-marah ya Mommy dan Daddy?
#15. Jelaskan tentang ganjaran bagi mereka yang solat dan menjaganya
Setiap kali mereka cuba mengikuti ajaran Mommy dan Daddy, berilah pujian dan sokongan kepada mereka.
Kita bukanlah mengharapkan kesempurnaan tetapi usaha dan keinginan mereka tu yang penting. Jelaskan kepada mereka mengenai ganjaran yang Allah akan berikan buat hambaNya yang solat dan menjaga solat.
Bukan sahaja mereka akan bersungguh untuk mengikuti ajaran Mommy dan Daddy malah mereka akan mengutamakannya kerana Allah, InsyaAllah.
Cara Mengajar Anak Solat
Bolehlah Mommy dan Daddy cuba cara-cara mengajar anak solat yang Motherhood senaraikan di atas ya? Semoga dengan usaha ini, Allah S.W.T. menjadikan anak-anak dan keturunan Mommy dan Daddy sebagai mereka yang menunaikan solat dan menjaganya.
InsyaAllah.
Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.