Haid yang datang lewat pada kebiasaannya menjadi salah satu tanda terawal kehamilan.
Jika Ibu mengesyaki yang Ibu mungkin hamil daripada beberapa tanda-tanda awal yang telah dikenalpasti, Ibu boleh cuba untuk mengambil kit ujian kehamilan atau lebih dikenali sebagai pregnancy test kit.
Kit ujian kehamilan biasanya menguji air kencing ibu mengandung untuk hormon yang dipanggil human chorionic gonadotropin (hCG).
Hormon ini hanya akan wujud jika seseorang wanita itu sedang hamil, kerana hormon ini dilepaskan jika telur yang disenyawakan melekat di luar rahim atau ke lapisan rahim wanita itu.
Terdapat pelbagai cara untuk mengumpulkan air kencing untuk kit ujian ini. Ia akan bergantung pada jenis kit yang anda dapatkan di farmasi.
Jenis-jenis kit kehamilan yang popular ialah jenis strip, jenis cassette, dan jenis digital.
Kebanyakan kit ujian kehamilan yang boleh didapatkan di farmasi mempunyai kadar ketepatan sehingga 99% jika diambil selepas anda pasti anda telah lewat datang haid bagi bulan tersebut.
Jadi kalau betul-betul nak tahu jika Ibu sedang hamil dan ingin mendapatkan keputusan yang paling tepat, Ibu boleh buat ujian ini dalam privasi kediaman sendiri.
Cara Menggunakan Pregnancy Test
Sama ada Ibu sedang cuba sedaya upaya untuk hamil atau risau ia berlaku secara ‘accident‘, memilih kit ujian kehamilan yang bersesuaian untuk memberikan hasil yang tepat adalah penting.
Jenis Strip
Kit ujian kehamilan jenis strip memerlukan Ibu untuk mengumpul air kencing dalam cawan yang dipakai buang. Berikut merupaka cara menggunakan pregnancy test jenis ini yang betul:
- Pegang cawan pakai buang pada posisi yang dapat menangkap air kencing Ibu dan kumpulkan air kencing di dalam cawan tersebut.
- Selepas air kencing telah dikumpul di dalam cawan, Ibu perlu mencelupkan strip atau jalur ujian ke dalam cawan yang berisi air kencing itu.
- Sebagai alternatif, Ibu boleh menitiskan beberapa titisan air kencing ke atas jalur tersebut menggunakan penitis.
- Selepas beberapa saat atau minit, jalur ujian itu akan bertukar warna untuk menunjukkan keputusan ujian, sama ada positif (hamil) atau negatif (tidak hamil).
Jenis Cassette
Kit ujian jenis cassette berfungsi serupa dengan jenis strip atau jalur ujian. Cara menggunakan pregnancy test ini adalah seperti berikut:
- Kumpulkan air kencing di dalam bekas atau cawan yang kering dan bersih.
- Keluarkan kit ujian cassette dan gunakan dalam masa satu jam lepas dibuka.
- Letakkan kit ujian cassette di atas permukaan yang rata dan bersih.
- Ambil air kencing menggunakan penitis yang disediakan.
- Posisikan penitis di atas kit ujian cassette selari dengan lubang spesimen pada kit cassette tersebut.
- Titiskan beberapa titisan air kencing tepat ke dalam lubang spesimen itu.
- Mulakan kiraan sebelum bacaan keluar dan tunggu sehingga warna jalur keluar.
- Bacaan selalunya boleh didapati dalam tiga hingga empat minit, dengan dua baris menunjukkan positif, manakala satu baris menunjukkan negatif.
- Bacaan tidak boleh digunapakai selepas 10 minit ujian dilakukan.
Jenis Digital
Kit ujian kehamilan jenis digital seperti Clearblue Digital Pregnancy Test ini adalah sangat popular dan kebiasaannya digunakan oleh majoriti wanita.
Kit ujian jenis strip dan cassette kadang-kala boleh menunjukkan keputusan yang tidak konsisten kerana penggunaan yang agak sukar ataupun mempunyai keputusan yang berlainan selepas beberapa ketika telah berlalu.
Walau bagaimanapun, kit ujian digital akan menunjukkan keputusan yang jelas secara digital. Tambahan pula, ia boleh menunjukkan usia kehamilan sama ada Ibu sudah mengandung selama satu, dua, atau tiga minggu lebih!
- Keluarkan kit ujian dari pembungkus dan buka penutup jalur ujian.
- Letakkan hujung jalur dalam aliran air kencing selama lima saat. Sebagai alternatif, Ibu boleh celupkan ke dalam sampel air kencing yang dikumpulkan dalam bekas bersih dan kering selama lima hingga 20 saat.
- Pastikan hujung jalur menunjuk ke arah bawah sepanjang proses ujian dan jangan sekali-kali memusingkan kit tersebut dengan hujung jalur menghala ke atas.
- Tutupkan semula dengan penutup jalur dan letakkan kit di atas permukaan yang bersih dan rata.
- Tunggu satu hingga lima minit untuk keputusan muncul di atas skrin.
Tips-Tips Menggunakan Kit Ujian Kehamilan
- Tunggu sekurang-kurangnya 21 hari (tiga minggu) selepas melakukan hubungan seks tanpa perlindungan sebelum menggunakan kit ujian kehamilan, atau satu hari selepas haid Ibu lewat jika kitaran haid adalah normal.
- Periksa tarikh luput pada kotak kit ujian kehamilan. Walaupun anda baru saja membeli kit tersebut, adalah bagus untuk memastikan bahawa ujian yang dibeli masih boleh digunakan. Ujian yang sudah luput mungkin memberikan hasil yang tidak tepat.
- Buat ujian kehamilan menggunakan air kencing pertama di pagi hari. Ujian kehamilan menguji kehadiran hormon human gonadotropin chorionic (hCG) dalam air kencing Ibu, dan ia adalah lebih pekat pada waktu pagi.
- Jangan minum air terlalu banyak sebelum mengambil ujian kehamilan. Jika Ibu mengambil ujian di awal pagi dan sebelum itu Ibu minum air terlalu banyak, ia akan dapat mencairkan tahap hCG dalam air kencing Ibu.
- Pastikan kaedah dan jenis ujian mana yang selesa buat Ibu dan sediakan peralatan yang sepatutnya seperti cawan pakai buang yang bersih. Jika menggunakan ujian yang memerlukan Ibu untuk kencing secara langsung ke atas jalur, pastikan Ibu sudah bersedia secara fizikal dan juga peralatan.
- Sediakan jam atau alat yang boleh mengira masa kerana untuk setiap jenis ujian, Ibu perlu menunggu beberapa minit sebelum keputusan keluar, dan ia juga diperlukan jika Ibu pilih untuk mencelup ujian jenis strip ke dalam bekas berisi air kencing.
- Kadar hCG akan meningkat secara dua kali ganda setiap dua hari di awal tempoh kehamilan, jadi kalau Ibu tidak mahu membazir buat ujian beberapa kali dan Ibu tidak tergesa-gesa untuk tahu keputusan kehamilan, Ibu boleh lambatkan pengambilan ujian kehamilan itu.
Pengambilan kit ujian kehamilan hanya memberitahu Ibu atau bakal ibu sama ada sedang hamil atau tidak.
Apa yang berlaku seterusnya lebih penting. Pastikan Ibu sudah bersedia dengan apa-apa keputusan kehamilan tersebut, dan jika keputusan adalah positif, Ibu perlu segera berjumpa dengan doktor di klinik untuk mendapatkan pengesahan selanjutnya.