Seronok betul apabila mula-mula beli ikan laga kan? Tengok ia berenang dengan cantik, melibas-libas siripnya itu, rasa teruja je.
Tak kisahlah baka apa, supaya ikan laga kesayangan hidup lama dan sihat, ada beberapa tips yang Mommy kena ikut ya.
Cara Menjaga Ikan Laga Sebetulnya Supaya Ikan Hidup Lama Dan Sihat!
Jom, kita tengok beberapa tips yang penting dalam penjagaannya:
#1. Pilih jenis dan saiz tangki yang sesuai
Menurut Ikan Laga, ikan laga ni sama je macam kita. Bayangkan kalau kita duduk dalam bilik yang sempit, bukan ke rasa selamat dan menyesakkan?
Ikan laga pun macam tu ya. Sebab itulah kalau nak pilih tangki akuariumnya, pilih saiz yang besar, sesuai untuk pergerakan dan tumbesarannya yang sihat.
Jenis tangki pun mestilah yang lutsinar. Nampak luas dan tidak terhalang atau terkurung. Kalau pemilihan tangki kurang sesuai, ikan laga boleh stress dan mudah terjadi jangkitan penyakit dan boleh menyebabkan kematian tau.
#2. Asingkan ikan laga
Tidak seperti ikan-ikan yang lain, ikan laga ni sifatnya suka bertarung dan menunjukkan dominasi, terutamanya yang jantan. Sesuailah dengan namanya kan?
Sebab itulah tidak boleh kalau Mommy tempatkan mereka dalam satu tangki. Lebih-lebih lagi yang tidak membesar dalam ruang yang sama sejak dari kecil.
Ikan laga yang lain akan dilihat sebagai lawan. Jika ingin tempatkan sekali, hanya baka betina sahaja ya.
#3. Letak tumbuhan akuatik dalam akuarium
Ikan laga ni memang mudah stress. Kalau akuarium yang menempatkannya tak nampak seperti habitat asalnya, ini akan memberi tekanan kepada mereka.
Pandai-pandai Mommy lah ya hias ruang dalam akuarium dengan tumbuhan akuatik. Tumbuhan ini juga bermanfaat untuk menjaga kualiti air dalam akuarium.
#4. Manfaatkan daun ketapang untuk ikan laga
Bagi mereka yang suka bela ikan laga ni, pasti akan tahu khasiat daun ketapang ni. Ia terkenal dengan manfaatnya yang boleh menurunkan pH air, anti-fungi, anti-bakteria, anti-kulat dan tonik untuk air.
Manfaatnya yang pelbagai ini dapat membantu mengurangkan stress pada ikan laga dan membuat mereka lebih sihat dan aktif.
#5. Berikan makanan yang tinggi protein
Dari segi pemakanan pula, Mommy tak boleh kedekut ya kalau nak ikan laga sihat dan membesar dengan elok. Berikanlah mereka makanan yang berkualiti, kaya dengan protein dan zat lain.
Macam roti ke, kuranglah khasiat untuk mereka kerana mereka haiwan akuatik yang karnivor ya.
#6. Letak kayu, batu dan pasir dalam akuarium
Selain daripada menghias akuarium mereka dengan tumbuhan akuatik, penting juga penggunaan kayu , batu dan pasir dalam meniru habitat asal mereka.
Laburkanlah sedikit bajet untuk ini, ia pasti berbaloi!
#7. Manfaatkan garam khas untuk ikan laga
Di samping itu, penggunaan garam khas untuk ikan laga pun membantu tumbesarannya yang sihat. Garam ini dapat merawat air dalam akuariumnya dan juga penyakit fish fungus.
Nanti boleh bertanyakan kepada penjual tentang kadar dan cara penggunaanya yang sesuai ya?
#8. Tukar air secara kerap
Mommy juga kena peka dengan kualiti air dalam akuarium. Secara puratanya, air ini elok ditukar pada kekerapan 2 hingga 3 kali dalam seminggu.
Jika ada tumbuhan akuatik, mungkin boleh lanjutkan lagi tempoh penukaran air tu kerana ia bertindak sebagai filter dalam akuarium ini.
#9. Guna air yang sesuai
Ikan laga ni tak sesuai hidup dalam air yang berklorin. Kalau boleh guna air yang bertapis, elok juga. Nak lebih mudah, tadah air hujan je.
Jika nak juga guna air berklorin di rumah, pastikan Mommy tadah terlebih dahulu dan biarkan ia selama seminggu. Bila semua mendapan dah turun, bolehlah guna air ini dengan selamat.
#10. Beri makanan secara berjadual
Nak bagi makan pada ikan laga ni, tak boleh suka-suka. Kena ada jadual dan pada kuantiti yang secukupnya. Kalau terlebih, air akan cepat kotor nanti.
Seeloknya, jadual pemakanan mereka hendaklah secara kerap dan berkala dengan kuantiti yang sedikit.
Cara Menjaga Ikan Laga
Nak jaga ikan laga ni kena rajin dan peka juga. Macam jaga anaklah Mommy. Kena selalu tengok dan perhatikan. Fahami juga sifat mereka supaya kita dapat bagi yang terbaik.
Jangan lupa praktikkan tips ini ya?