Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Posisi-Posisi Asas Untuk Menyusukan Bayi Baru Lahir Dan Tips-Tips Lain

ibu menyusukan bayi

Sumber: Jonathan Borba (Pexels)

Sekiranya Mama baru lepas bersalin, menyusukan bayi yang baru lahir mungkin boleh rasa agak kekok pada mulanya. Kadang-kala boleh jadi rumit juga, terutamanya jika ini anak pertama atau kali pertama menyusu badan.

Dengan sedikit latihan dan persiapan awal, Mama tentu boleh menangani cabaran dan kesukaran menyusukan anak.

Mama boleh baca artikel ini selanjutnya untuk mengetahui posisi-posisi sesuai untuk menyusukan bayi yang baru lahir, macam mana nak tahu bila bayi lapar, dan tips-tips menyusu lain.

4 Cara Menyusukan Bayi Baru Lahir Yang Sesuai

Empat jenis posisi atau cara menyusukan bayi baru lahir yang disyorkan adalah:

  • posisi pegangan cradle
  • posisi pegangan cross-cradle
  • posisi pegangan football hold
  • posisi baringan sisi

1. Posisi Pegangan Cradle

Highlighted

Sumber: kidshealth.org

Posisi pegangan cradle atau buaian adalah pegangan yang klasik dan yang rasa paling semula jadi buat kebanyakan ibu. Ia juga pegangan yang sering digunakan oleh ramai ibu dan juga yang selalu ditayangkan dalam television, betul tak?

Untuk memegang bayi dalam posisi ini dengan selesa, Mama perlu duduk di atas kerusi yang mempunyai sandaran tangan atau suatu tempat duduk dengan bantal yang banyak dikeliling untuk menyokong tangan.

Walaupun bayi baru lahir adalah kecil, tapi mereka boleh menyusu dengan lama dan ini boleh memenatkan tangan dan lengan Mama.

Jadi perkara yang penting ialah mendapatkan kedudukan yang paling selesa buat Mama.

Kemudian, duduk dengan tegak dan sokong kepala bayi di lengan Mama. Tubuh bayi harus berada di sebelah lengan tersebut dan berpaling ke arah Mama, dengan satu lengan bayi diletakkan di bawahnya. Pegang bayi di pangkuan Mama atau letakkan di atas bantal di pangkuan, mana-mana yang lebih selesa buat Mama dan bayi.

2. Posisi Pegangan Cross-Cradle

Sumber: kidshealth.org

Seperti yang Mama boleh bayangkan, posisi pegangan cross-cradle ini adalah seperti pegangan cradle, cuma songsang!

Maksudnya Mama tak akan pegang badan bayi dilengan yang sama sisi dengan payudara yang memberi susu, sebaliknya Mama akan memegang atau menyokong bahagian punggung bayi dengan lengan tersebut.

Caranya ialah dengan menduduk secara tegak, kemudian memegang bayi supaya bahagian punggungnya terduduk dilengan Mama dan kepalanya berada di payudara yang akan menyusu bayi pada waktu itu, iaitu berlawanan dari sisi lengan yang menyokong bayi.

Maksudnya, jika Mama memegang dan menyokong badan bayi di lengan kanan, susu yang diberi adalah dari payudara kiri. Tangan kiri Mama pula memegang payudara kiri untuk menyenangkan anak menyusu.

Pastikan tangan yang menyokong kepala bayi tersebut diletakkan di atas sandaran tangan kerusi atau bantal supaya tangan Mama tak lenguh!

3. Posisi Pegangan Football Hold

Sumber: kidshealth.org

Posisi pegangan ini dinamakan football hold berdasarkan sukan American football yang serupa dengan sukan ragbi, dan bukannya seperti bola sepak yang kita kenali.

Jadi ia dinamakan football hold kerana bayi akan dipegang seolah-olah memegang bola American football ataupun bola ragbi yang selalunya dipegang disisi badan.

Mama perlu duduk di kerusi dengan sandaran tangan atau banyak bantal kecil dikeliling, dan letakkan bayi disisi dengan lengan yang dibengkokkan dan telapak tangan Mama menghadap ke atas dan menyokong bayi.

Punggung bayi akan berada di belakang lengan dan selalunya mendapat sokongan tambahan dari bantal. Kepala bayi pula terletak di atas tangan Mama dan juga bantal sebagai sokongan tambahan.

Gunakan tangan sokongan itu untuk membawa bayi ke payudara anda manakala tangan yang lagi satu memegang payudara dari bawah jika perlu.

Pegangan ini sesuai untuk ibu yang mempunyai anak kembar dan ingin menyusu kedua-dua anak pada masa yang sama.

4. Posisi Baringan Sisi

Sumber: kidshealth.org

Posisi ini selalunya dilakukan bila Mama betul-betul penat dan perlu baring. Jadi, cara menyusukan anak pun adalah dengan cara berbaring.

Untuk pegangan atau posisi ini, Mama boleh baring di sisi dan pegang bayi menghadap Mama. Dengan lengan bebas Mama, bawa bayi ke payudara yang berada di bahagian bawah.

Setelah bayi melekapkan mulut ke puting, Mama boleh menggunakan lengan bebas untuk menyokong kepalanya.

Posisi ini tidak mudah untuk dilakukan bagi ibu baru dan bayi yang baru lahir, walaupun nampak senang. Ini kerana bayi juga masih sedang belajar untuk mencari susu dan melekapkan mulut ke puting payudara.

Tanda-Tanda Bayi Sedang Berasa Lapar

Untuk menentukan bayi Mama sedang lapar, ada beberapa tanda-tanda yang bayi Mama boleh tunjuk untuk memberitahu yang mereka sedang lapar. Tanda-tanda tersebut termasuklah:

  • Menggerak-gerakkan lengan dan kaki
  • Terjaga dari tidur dan tidak mahu tidur semula
  • Membuat bunyi-bunyi seperti merengek
  • Menggerakkan kepala dari sisi ke sisi
  • Memasukkan jari atau tangan ke dalam mulut
  • Gelisah, menggeliat, atau menggoyang-goyangkan badan
  • Menghisap bibir atau lidah
  • Memusing ke arah payudara Mama bila didukung
Sumber: Getty Images

Bagaimana pula nak tahu jika bayi sudah kenyang dan tak mahu menyusu lagi? Tanda-tanda bayi sudah kenyang pula adalah seperti:

  • Bayi melepaskan mulut dari puting payudara
  • Bayi beralih pandang dari puting payudara
  • Badan bayi berasa lebih tenang dan mereka membuka penumbuk tangannya

Tambahan pula, kalau bayi mendapat susu yang mencukupi, mereka tentu akan membuang air lebih dari enam kali sehari. Selain itu, untuk mengetahui bayi Mama mendapat susu yang mencukupi, berat badannya tentu akan meningkat secara normal.

Tips-Tips dan Cara Menyusukan Bayi Baru Lahir

Selain daripada mengetahui cara-cara menyusukan bayi dan tanda-tanda bila bayi lapar dan kenyang, perkara-perkara lain yang dapat membantu dengan kecemerlangan menyusukan bayi adalah seperti berikut:

1. Menyusu bayi sekerap mungkin kerana ia akan membantu meningkatkan jumlah pengeluaran susu Mama. Mama juga boleh cuba cara-cara memperbanyakkan susu badan di sini.

2. Pastikan Mama menyendawakan bayi dengan kerap juga pada setiap penyusuan dan selepas selesai menyusu dari satu payudara. Ketahui cara menyendawakan bayi dengan selamat dan berkesan disini. Ini adalah untuk mengelakkan kembung perut dan muntah susu.

Sumber: Adobe Stock

3. Jika bayi sedang tidur dan Mama khuatir susu tidak mencukupi, Mama boleh cuba untuk mengekspres susu dan simpan susu badan dengan betul, bersih, dan selamat untuk digunakan di masa hadapan.

Menyusukan bayi yang baru lahir boleh menjadi salah satu pengalaman paling mencabar tetapi amat berharga yang akan Mama lalui sebagai seorang ibu. Apabila Mama semakin biasa menyusukan bayi, Mama boleh mencuba kedudukan atau posisi yang berbeza daripada empat posisi klasik yang disebutkan tadi.

Sumber: Getty Images

Teruskan bereksperimen dengan posisi berbeza-beza semakin bayi membesar kerana mereka juga mungkin akan berubah-ubah pilihan cara untuk menyusu. Ia akan lama-kelamaan menjadi pengalaman manis yang santai dan baik untuk menjalin ikatan ibu dan anak.