Selesai sahaja anak Mommy berkhatan, apa yang perlu Mommy beri perhatian lebih adalah cara penjagaan selepas berkhatan yang lengkap dan betul bagi memastikan tempat pembedahan tersebut cepat sembuh dan terhindar daripada sebarang jangkitan kuman.
Luka yang dibiarkan tanpa sebarang penjagaan rapi turut boleh membawa kepada beberapa komplikasi yang lain. Sebab tu penting cara penjagaan berkhatan yang betul dan teliti, sama ada dari Mommy dan Daddy sendiri, dan juga anak Mommy.
Apa Itu Berkhatan?
Berkhatan adalah istilah yang digunakan untuk pembedahan kecil di mana sebahagian daripada kulit yang berlebihan pada hujung zakar (preputial skin) dibuang dan turut dikenali sebagai sunat manakala dalam bahasa Inggeris pula ia dinamakan sebagai ‘circumcision’.
Jom ikuti perkongsian oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan mengenai bagaimana cara penjagaan luka berkhatan.
Panduan Lengkap Cara Penjagaan Selepas Berkhatan
Berikut merupakan tips penjagaan selepas berkhatan untuk mengelakkannya menjadi bentan dan bernanah serta memastikan luka tersebut cepat sembuh.
#1. Jangan biarkan balutan luka tidak dibuka lebih daripada 72 jam. Ia perlu dibuka, untuk pantau komplikasi berikut iaitu :
- Jangkitan/nanah
- Bengkak/bentan
- Jahitan terbuka
- Keruping melekat pada balutan
#2. Luka berkhatan perlu dicuci 2-3 hari sekali menggunakan normal saline. Caranya :
- Bersihkan daki/darah beku sekitar luka
- Cuci luka dengan normal saline
- Periksa jika ada jahitan dan tanda jangkitan
- Tutup semula luka jika tiada tanda-tanda
#3. Ada beberapa ubat yang dibekalkan oleh doktor selepas prosedur berkhatan :
- Tahan sakit – diambil bila perlu
- Antibiotik – perlu diambil mengikut jadual
- Ubat cucian – lazimnya normal saline
- Elak sapu minyak/herba pada luka
#4. Anak-anak kadangkala mengadu berasa ngilu bila kepala zakar bergesel dengan pakaian (seluar/kain). Itu perkara normal kerana ia bahagian yang sensitif dan sebelum ini ia diliputi kulit, tetapi kini terdedah. Ngilu itu akan beransur-ansur hilang.
#5. Pakai pakaian yang longgar dan selesa supaya aliran darah tidak terganggu dan dapat pengudaraan yang secukupnya. Ini membantu proses penyembuhan luka. Boleh pakai seluar, asalkan tidak terlalu ketat.
#6. Selepas berkhatan, anak-anak dibenarkan berjalan. Malah mereka tidak digalakkan hanya berbaring sahaja. Aktiviti ringan ini membantu pengaliran darah dan mengurangkan tempoh penyembuhan luka. Cuma jangan lasak sangatlah.
#7. Pastikan minum air secukupnya. Ada petua lama yang mengatakan minum air banyak selepas berkhatan menyebabkan bentan. Itu tidak benar. Air yang cukup adalah satu faktor yang penting untuk penyembuhan luka.
#8. Jaga pengambilan makanan. Perlu ambil makanan yang mengandungi protein, serat, vitamin secukupnya. Boleh makan ayam, telur, ikan, kicap dan sayur. Ia tidak akan menyebabkan kegatalan atau kehitaman pada luka berkhatan.
#9. Luka berkhatan akan sembuh dalam masa 10 hingga 14 hari. Jika ada tanda-tanda tersebut, jumpa doktor.
- Sakit/bengkak melampau
- Nanah yang banyak
- Demam tinggi
- Tidak boleh kencing
#10. Bergantung pada teknik khatan, mungkin perlu bawa anak berjumpa doktor untuk rawatan susulan.
- Jahitan konvensional – tak perlu dibuka
- Klamp – perlu jumpa doktor untuk dibuka
- Gam – tidak perlu jumpa doktor semula
Komplikasi Kesan Berkhatan
- Pendarahan berterusan kerana terlalu lasak, menggaru dan bukaan balutan luka
- Bengkak berlarutan
- Jangkitan kuman akibat tidak menjaga kebersihan kawasan pembedahan
- Kecederaan pada penis
- Masalah saluran kencing
Pastikan kebersihan tempat berkhatan sentiasa dijaga dengan rapi bagi mengelakkan sebarang komplikasi. Semoga bermanfaat!
Dapatkan panduan doa-doa dan ilmu keagamaan yang lain di SINI.
Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.