Ketika membeli durian, selalunya kita minta penjual yang pilih untuk kita kan? Kalau nak pilih sendiri pun, nampak yang elok segar tu, itulah yang diambil.
Tetapi geram betul apabila kita buka di rumah, isinya tak berbaloi dengan harga. Kalau yang sedang-sedang tak segar tu, boleh juga buat tempoyak tapi kalau dapat yang buruk dan berulat, nasiblah.
Praktikkan 10 Cara Pilih Durian Ini
Yang terbaiknya adalah kita pilih sendiri kan Mommy? Tetapi nak pilih tu, kenalah ada ilmu. Tak boleh main sauk je.
Jom, cuba praktikkan beberapa tips pilih durian ini:
#1. Pilih yang bau kuat
Pernah kan terbeli yang putik isinya? Mengkal dan keras, memang tak boleh buat apa lah. Elakkan daripada terbeli durian yang tidak atau kurang masak ya.
Pilih yang mengeluarkan bau kuat, yang terasa manisnya. Ini pasti isinya masak.
#2. Pilih buah yang bentuknya bulat
Menurut perkongsian oleh Rasa, buah durian yang bulat, isinya lebih tebal berbanding buah durian yang berbentuk lonjong.
Yang nampak tidak bulat betul tu, macam kulitnya serong ke, mungkin isinya tak banyaklah. Senang cerita, pilih yang bentuk duriannya bulat betul.
#3. Pilih duri yang jarang, agak tumpul dan besar
Tak kurang juga, duri buah durian ni pun boleh melambangkan isinya juga. Nak isi yang elok tebal dan manis, pilih buah yang durinya agak tumpul, jarang dan besar ya.
#4. Pilih yang kulitnya segar dan tidak rosak
Jangan bila kita tengok ada ciri-ciri lain yang elok pada buah durian tu tetapi kulitnya ada rosak sebahagian, kita sanggup beli pula.
Biasanya kalau di luar rosak, isi di dalam pun memang buruk ya.
#5. Pilih yang isinya bergerak apabila digoncang
Selalu tak tengok orang goncang buah durian apabila memilih? Haa.. antara tips lain adalah, apabila kita goncang buah durian tu, kita akan terasa isinya bergerak di dalam.
Buah durian yang dah masak, isinya akan terpisah daripada dinding kulit dalam dan akan berlaku pergerakan bila digoncang.
#6. Pilih yang tangkainya segar
Kalau buah durian tu tangkainya gelap sangat, nampak buruk dan nak reput ke, memang kena elaklah daripada memilih yang tu. Ini tanda buah tu dah lama gugur dari pokok.
Kemungkinan besar isinya tak sedap atau dah terlebih masak.
#7. Pilih yang ada 5 pangsa
Ada juga tips yang menyarankan untuk memilih durian yang ada 5 pangsa. Mommy boleh kira di sekeliling buah tu ya. Yang 5 pangsa ni, isinya lagi banyak dan tebal berbanding yang 6 atau lebih.
#8. Pilih yang hasilkan bunyi bergema apabila diketuk
Selain daripada menggoncang buah tu, ada juga yang ketuk buah durian dengan hulu pisau. Dikatakan, kalau ia hasilkan bunyi bergema elok seperti bunyi ‘buk-buk’, itu tandanya ia masak eloklah.
#9. Pilih yang tidak merekah
Selalu juga kita dengar penjual cakap, walaupun dah merekah, elok lagi ni. Jangan kerana nak jimat kita menyesal nanti ya Mommy.
Buah durian yang dah merekah ni biasanya terlebih masak dan dah tak segar isinya.
#10. Pilih yang bonjol di sekeliling batangnya tinggi
Perasan tak pada bahagian kulit di sekitar pangkal batang durian tu, dia macam seakan-akan ada bonjol naik tinggi? Haa.. Motherhood pernah dapat tips daripada penjual durian ya.
Makin tebal bonjol tu, makin tebal dan sedaplah isinya.
Cara Pilih Durian
Elok sangatlah praktikan cara pilih durian di atas ni sekarang. Tengah musimnya kan? Semoga tips ini membantu dan mengelakkan Mommy daripada ditipu nanti ya? Jom baca cara pilih buah tembikai pula!