Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cara Qada Solat Yang Dianjurkan Dalam Islam: Ketika Bermusafir, Secara Berjemaah, Bersendirian dan Sebagainya

cara qada solat

Kredit gambar: istockphoto

Bila terlepas waktu solat fardhu, Mommy mesti rasa bersalah je kan. Itu sebenarnya tanda kasih sayang Allah kepada kita. Sesungguhnya kita diciptakanNya untuk beribadah kepadaNya.

Maksud Qada Solat

Melalui perkongsian oleh Aku Islam, qada solat bermaksud menggantikan solat yang tertinggal, berasal daripada kata Qada itu sendiri yang membawa maksud, menunaikan solat pada luar waktunya.

Hukum Qada Solat

Hukum qada solat fardhu adalah wajib. Sedangkan melewat-lewatkan solat itu sahaja pun dilarang, apatah lagi apabila meninggalkannya.

Sengaja ataupun tidak, kita wajib mengqadakan solat yang tertinggal. Di samping itu juga, adalah lebih baik jika kita bertaubat dan berusaha untuk tidak mengulanginya selepas itu untuk solat yang akan datang nanti.

Niat Qada Solat Untuk Setiap Waktu Solat

Seperti niat untuk solat fardhu, niat untuk qada solat fardhu ni lebih kurang samanya untuk setiap waktu solat. Cuma yang berbeza ada penambahan kata qada dalam niat kita.

Berikut adalah niat untuk qada solat bagi setiap waktu solat:

Niat qada solat fardhu Subuh

Highlighted

Kredit gambar: akuislam.com

Sahaja aku solat fardu Subuh dua rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala

Niat qada solat fardhu Zuhur

Kredit gambar: akuislam.com

Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala

Niat qada solat fardhu Asar

Kredit gambar: akuislam.com

Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala

Niat qada solat fardhu Maghrib

Kredit gambar: akuislam.com

Sahaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala

Niat qada solat fardhu Isyak

Kredit gambar: akuislam.com

Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada’ kerana Allah Ta’ala

Cara Qada Solat Yang Tertinggal

Untuk qada solat, ia bergantung kepada beberapa keadaan dan caranya yang tertentu. Berikut adalah antaranya:

  1. Kalau Mommy tertinggal solat ketika bermusafir dan nak qada solat apabila habisnya tempoh musafir, qada solat mestilah secara sempurna. Maksudnya tidak boleh diqasarkan atau dijamakkan seperti dalam musafir.
  2. Jika tertinggal solat ketika bermusafir dan hendak diqadakan dalam waktu musafir juga, mommy boleh lakukannya secara sempurna atau qasar.
  3. Untuk solat yang tertinggal ketika sedang menetap (bermukim), solat yang akan diqadakan hendaklah secara sempurna dan tidak boleh diqasarkan, walaupun ketika musafir di lain waktu.
  4. Tidak kiralah sebagai imam atau seorang diri, bacaan dalam solat ketika diqada pada waktu malam iaitu selepas terbenamnya matahari hingga terbit matahari boleh dinyaringkan. Walaupun solat yang Mommy qada itu adalah solat yang tidak dibacakan dengan nyaring seperti solat Zuhur, tetap boleh. Berbeza pula untuk ketika Mommy qada solat pada siang hari, bacaannya dibaca dengan perlahan.
  5. Qada solat dibenarkan untuk dilakukan secara berjemaah untuk mereka yang sama-sama mahu menggantikan solat mereka.
  6. Hukum qada solat secara tertib adalah sunat. Sebagai contoh, Mommy tertinggal solat Subuh dan mahu gantikan ia dalam waktu solat Zuhur. Adalah lebih baik diutamakan Mommy qada dahulu solat Subuh dan diteruskan dengan menunaikan solat Zuhur secara tunai pula. Kecualilah, waktu Zuhur tinggal sedikit sahaja lagi, adalah lebih baik untuk tunaikan solat Zuhur terlebih dahulu.

Cara Qada Solat Untuk Bilangan Solat Atau Rakaat Yang Tidak Terkira

Bagaimana pula untuk qada solat yang Mommy sendiri tak pasti, berapa banyakkah dan solat fardhu apakah?

Menurut ulama mazhab Syafi’e, apabila tidak pasti seperti ini, Mommy hendaklah qada kesemuanya sehingga rasa selesai.

Waktu Qada Solat

Qada solat ini wajib untuk disegerakan. Tetapi dibolehkan untuk dilewatkan jika ada tuntutan yang mendesak dan harus hukumnya.

Tips Untuk Qada Solat

Apabila kita tertinggal solat, sebenarnya kita seperti berhutang dengan Allah S.W.T. Jika kita dah berjaya gantikan semuanya, pasti Allah akan titipkan rasa ‘selesai’ itu dalam hati kita.

Yakin ya Mommy? Buat perlahan-lahan, satu demi satu. Antara langkah terbaik, cuba qada solat setiap kali selesai menunaikan solat fardhu.

Jika setelah beberapa waktu dan Mommy rasa lebih mampu, bolehlah tambahkan bilangan solat yang ingin diqada.

Kredit gambar: istockphoto

Kewajipan Qada Solat Yang Ditinggalkan

Tidak kiralah seberapa banyak solat yang telah tertinggal, adalah wajib untuk kita qada kesemuanya. Usahakanlah cari masa untuk qada solat dan niat dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya lagi.

InsyaAllah, moga Allah membantu dan membimbing kita semua.


Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.