Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Selepas Menyusu Bayi Tak BURPP? | Cara Sendawakan Bayi Selepas Minum Susu

ibu sedang sendawakan bayi lepas makan

Selalunya bagi pasangan ibu bapa baru mesti tertanya-tanya kenapa mesti belajar cara sendawakan bayi selepas menyusu. Sebab perkara ini nampak macam remeh berbanding hendak belajar cara menyusukan bayi atau tidurkan bayi.

Sendawakan bayi ialah perkara wajib yang patut dilakukan setiap kali selepas bayi menyusu. Ingat ya ibu bapa semua, jangan culas untuk sendawakan bayi walaupun bayi tertidur selepas menyusu.

Penting ke nak sendawakan bayi? Kalau bayi tak sendawa, apa akan jadi?

Untuk pengetahuan ibu bapa, ketika bayi menyusu, kemungkinan besar dia tertelan sedikit udara bersama-sama dengan susu yang diminum. Tambahan pula jika bayi minum susu daripada botol susu, lebih mudah untuk bayi masuk angin.

Highlighted


Ibu juga boleh elakkan menggoncang susu botol terlalu kuat kerana perbuatan ini boleh mnyebabkan penambahan gelembung udara dalam susu.

Selain itu, penyusuan badan juga dapat membuatkan bayi angin apabila payudara ibu terlalu penuh dan sedang mengalami letdown reflex.

Para ibu boleh pamkan dahulu aliran susu yang awal sehingga aliran tidak terlalu laju. Bayi yang kelaparan akan minum susu dengan cepat dan ini boleh mengakibatkan angin.

Sekiranya bayi tidak disendawakan, udara yang terkumpul di dalam perut boleh membuatkan perut bayi menjadi kembung dan tidak selesa.

Walaupun kembung perut boleh dirawat, tetapi mencegah itu bukankah lebih baik? Tambahan pula, bahaya jika biarkan bayi menangis terlalu lama, takut mengundang risiko sawan tangis. Ibu bapa juga akan keletihan kerana perlu berjaga malam untuk meredakan tangisan anak.

Cara Sendawakan Bayi Baru Lahir

Disini terdapat empat kaedah yang boleh digunakan oleh para ibu sekalian untuk sendawakan bayi.

+1 Sandarkan Pada Bahu

Cuba dukung bayi menggunakan sebelah tangan dan letakkan kepala bayi bersandar pada bahu anda. Tepuk belakang bayi perlahan-lahan dengan sebelah tangan lagi sehingga bayi sendawa. Posisi ini boleh dilakukan secara berdiri atau duduk di atas kerusi.

Jangan lupa untuk letakkan alas atau tuala kecil sebagai alas bahu, bayi mungkin termuntah susu. Baik sediakan awal-awal, nanti kelam-kabut nak mencari kain untuk lap muntah bayi.

+2 Duduk

Biarkan bayi untuk duduk secara posisi tepi atas riba. Kemudian, tepuk dengan lembut bahagian belakang bayi. Dudukkan bayi pada salah satu belah paha anda lalu bongkokkan sedikit badan bayi. Tahan dada bayi dengan tangan anda. Jika tersalah pegang, bayi mungkin akan muntah.

Sila berhati-hati ya wahai ibu bapa sekalian. Gunakan sebelah tangan lagi untuk usap belakang bayi perlahan-lahan. Cara ini akan memudahkan bayi untuk sendawa.

+3 Meniarap

Cara yang ketiga ialah meniarap. Pegang dan baringkan bayi secara meniarap di atas paha anda dengan posisi melintang. Pastikan kepala bayi sedikit tinggi kedudukannya berbanding badan.

Pegang bahagian dada bayi dengan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi, tepuk perlahan-lahan belakang bayi sehingga bayi sendawa. Selain tepuk, para ibu juga boleh urut dengan cara mengusap naik dan turun belakang bayi.

+4 Dukung

Jika semua cara diatas sudah ibu-ibu cuba, tapi bayi masih tak sendawa juga. Mungkin para ibu boleh cuba untuk dukung bayi dan rapatkan pada dada.

Cuba goyangkan badan bayi ke kiri dan kanan sambil mendukung bayi. Dukung dan usap bahagian belakang bayi sehingga sendawa.

Bilakah masa yang sesuai untuk sendawakan bayi?

Sumber: parentlane.com

Cara-cara untuk sendawakan bayi dah tahu tapi kita mesti akan terfikir bila masa yang sesuai sebenarnya untuk sendawakan bayi. Semasa bayi sedang menyusu ke? Atau selepas menyusu saja boleh sendawakan bayi?

Sebenarnya ibu-ibu boleh sendawakan bayi ketika bayi sedang menyusu atau selepas bayi menyusu. Ada sesetengah bayi mudah untuk sendawa dan ada juga yang sukar kerana mungkin akan mengambil masa yang sedikit lama.

Akan tetapi para ibu kena tahu bahawa sendawa bayi perlu dilakukan bila-bila masa terutamanya jika bayi tidak selesa. Ibu-ibu boleh semak langkah-langkah dibawah ini:

Langkah-langkah Sendawakan Bayi Selepas Menyusu

  1. Sendawakan bayi ketika menukar payudara.
  2. Apabila bayi sudah minum susu setengah botol, sendawakan dia.
  3. Sendawakan bayi semasa 15-20 minit semasa meyusu.
  4. Jika bayi mengerang semasa menyusu, hentikan sekejap dan sendawakan dulu.
  5. Lakukan sendawa berulang kali.
  6. Tumpukan tepukan anda pada bahagian kiri belakang bayi, kerana perut bayi terletak berdekatan situ.
  7. Sekiranya bayi meragam di malam hari, kemungkinan dia tidak selesa di bahagian perut. Tolong sendawakan dia!

Sampai bila bayi patut disendawakan?

Pada awal kelahiran, bayi perlukan perhatian khusus kerana anggota badannya yang masih berkembang. Pastikan bayi minum susu mengikut waktu yang tetap bagi mengelakkan angin dalam perut.

Melangkaui usia 6 bulan dan keatas, apabila bayi sudah mula makan makanan pejal, perut bayi akan kurang angin. Sistem penghadaman bayi semakin matang mengikut usia lama-kelamaan, para ibu tidak perlu sedawakan bayi sekerap dahulu. Memahami lebih banyak mengenai makanan pertama terbaik untuk bayi.

Tetapi harus diingatkan ya para ibu, walaupun bayi sudah mencapai usia tersebut, sekiranya bayi kelihatan masih meragam selepas makan, sila sendawakan bayi. Ibu perlu tahu ya, perbuatan sendawakan bayi ini bukan bererti anak itu kenyang tapi untuk pastikan angin lebihan ketika menyusu dikeluarkan melalui sendawa.

Betul ke Pemakanan Ibu Menyusu Boleh Menyebabkan Bayi Kembung?

Pemakanan ibu menyusu mungkin dapat menyumbang kepada angin dalam perut bayi melalui susu badan. Makanan yang selalu mejadi punca alahan kepada bayi adalah produk tenusu seperti keju, aiskrim dan susu. Lebih-lebih lagi, sayur tinggi karbohidrat seperti kubis dan kekacang.

Sesetengah ibu yang menyusu tidak akan makan makanan pedas untuk mengelakkan bayi sakit perut. Ramai para ibu yang menjaga diet seharian mereka untuk mengelakkan kesan ke atas bayi. Bayi yang mempunyai alergi akan menghasilkan lebih banyak gas dalam perut.

Sendawa dan kentut adalah perkara normal bagi bayi untuk mengeluarkan lebihan gas dalam perut. Akan tetapi, jika bayi anda muntah dengan kerap selepas menyusu, ia bukan lagi perkara normal. Jangan teragak-agak untuk bawa bayi anda berjumpa doktor.