Bukan ikan dan ayam je yang kena siang, sotong dan udang pun turut sama. Tak kan lah nak masak udang dengan sesungutnya tu kan?
Ada sesetengah kedai makan yang hidangkan lauk udang masih berserta dengan sesungutnya. Memang potong selera betul. Automatik kita rasa makanan tu tak bersih kan Mommy?
Cara Siang Udang Mengikut Saiz, Senang Dan Cepat!
Terutamanya kalau nak masak untuk keluarga dan yang tersayang, mestilah kita nak bagi yang terbaik. Jom, kita tengok cara-cara siang udang dengan senang dan cepat. Udang pun cantik je nampak apabila dimasak nanti!
Cara siang udang saiz besar
Cara ini sesuai untuk udang yang bersaiz besar seperti udang harimau. Siang mengikut langkah-langkah di bawah ya?
1. Gunting sesungut udang.
2. Kemudian, gunting pula muncungnya.
3. Diikuti dengan tanduknya.
4. Seterusnya, pegang udang dan gunting di bahagian belakang badannya.
5. Dah gunting rapat ke ekor, kopekkan kulit di bahagian belakang badan udang ni dan cungkil keluar tahinya.
6. Diikuti dengan perut udang di bahagian bawah kepalanya. Cungkil juga yang ini tau.
Ada sesetengah orang suka rapikan bahagian janggut udang ni dengan mengguntingnya sedikit. Ada juga yang suka macam tu je. Terutamanya apabila dibakar, bahagian janggutnya akan rasa rangup dan manis.
Cara siang udang saiz sederhana/kecil
Cara siang udang yang bersaiz sederhana dan kecil ni tak ada beza sangat pun dengan yang besar. Cumanya, siang udang ni banyak kaedahnya dan bergantung kepada jenis masakan dan udang juga, cara-caranya pun berbeza.
Jom cuba kaedah ini pula:
1. Pertama sekali, potong bahagian kepala udang. Hanya di hujung je ya. Kalau udang kecil, kepalanya tak keras sangat. Jadi tak perlu potong banyak.
2. Kemudian, tanduknya.
3. Diikuti dengan hujung ekor udang. Jangan potong banyak. Hanya di hujungnya yang nipis tu. Udang pun akan nampak kemas rapi disiang.
4. Pusingkan udang dan potong di bahagian belakang badannya macam ni.
5. Kopek sedikit di ruang belakang udang yang kita potong tadi dan buangkan najisnya.
6. Cantik dan bersih udang kita, dah siap!
Cara siang udang bersaiz sederhana dan kecil ni tak sesuai untuk udang yang bersaiz besar. Bila makin besar saiznya, perlu untuk kita buangkan perutnya dan bahagian-bahagian yang lain.
Terutamanya udang yang bersaiz kecil, seeloknya tak buanglah sebab saiznya bukanlah besar sangat dan ramai je yang skip step buang najis udang untuk udang yang bersaiz kecil. Tanduknya pun ramai yang biarkan je sebabnya ia tidaklah sekeras tanduk udang bersaiz besar.
Jika digoreng, rangup je tanduknya nanti dan menambah kelainan rasa pada lemak udang tu.
Cara Siang Udang Mengikut Saiz
Yang penting, udang disiang bersih dan kemas rapi. Bolehlah cuba cara-cara di atas ya? Tips untuk memudahkan siang udang ni adalah wajib ada gunting dan pencungkil gigi.
Langkah demi langkah akan senang je nanti. Selamat mencuba Mommy!
Sumber: mochu mochi dan Mami Zana
Dapatkan panduan untuk memudahkan kerja harian Mommy di SINI.