Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cara-cara Untuk Menyimpan Sayur Supaya Tahan Lebih Lama & Berkesan

Cara simpan sayur tahan lama yang betul adalah sangat penting untuk dititikberatkan dan dipelajari terutamanya untuk wanita yang bekerjaya.

Mommy pasti tidak mempunyai masa untuk membeli barang dapur seperti sayur pada setiap hari sebaliknya lebih memilih kaedah membeli dengan kuantiti yang banyak pada satu masa dan disimpan untuk dijadikan stok.

Pastinya dengan cara ini, ia bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan tenaga, tetapi memudahkan lagi Mommy untuk merancang menu dengan lebih awal.

Namun begitu, Mommy pasti akan mula berasa tertekan apabila sayur yang baharu dibeli telah pun layu dengan cepat. Hal ini menyebabkan Mommy tidak dapat memasaknya sekaligus mendatangkan kerugian pula.

Oleh itu, di dalam artikel ini, kami kongsikan cara simpan sayur supaya ia tahan lebih lama yang boleh Mommy praktik supaya sayur tetap kekal segar apabila hendak digunakan nanti.

Panduan Cara Simpan Sayur Tahan Lama Dan Kekal Segar

#1. Cara simpan sayur bayam dan kangkung agar tahan lama

Highlighted

Kredit gambar: lavilatulisaafrilia.wordpress.com

Rendam sayur yang Mommy beli di dalam air terlebih dahulu dalam anggaran masa selama 5 hingga 10 minit.

Untuk sayur kangkung dan bayam, Mommy perlu asingkan dengan sayur lain disebabkan kedua-dua jenis sayuran ini mempunyai sedikit pasir. Pastikan akarnya tidak dipotong untuk kekalkan kesegarannya.

Dalam bekas air tersebut, Mommy masukkan sesudu garam atau mengikut anggaran banyak mana sayur yang Mommy rendam.

Tujuan memasukkan garam ini adalah untuk membuang segala bahan kimia dari semburan racun yang terdapat pada sayuran tersebut.

Kemudian, toskan sayur sehingga ia kering. Boleh disimpan di dalam bekas yang kedap udara atau ziplock bag. Kebiasaannya, sayuran ini masih lagi segar walaupun sudah seminggu disimpan.

#2. Serai, lengkuas, halia dan kunyit hidup

Kredit gambar: www.impiana.my

Semua sayuran jenis ini Mommy perlu simpan di dalam bekas berisi air. Cara-caranya adalah dengan mengisi air ke dalam balang tersebut sehingga penuh dan rendamkan sayuran tersebut di dalamnya.

Pastikan Mommy menutup balang sehingga rapat. Airnya pula tidak perlu ditukar setiap hari, cukup hanya sekadar dua minggu sekali sahaja.

#3. Cara penyimpanan daun sup

Kredit gambar: www.rasa.my

Untuk sayur sup pula, Mommy boleh simpan di dalam mana-mana bekas atau botol air iaitu dengan memasukkan sedikit air di dalam botol dan membiarkan akar daun sup tenggelam di dalamnya.

Pastikan batang daun sup tidak terkena air kerana ia akan cepat lembik dan rosak. Simpan di dalam peti sejuk.

Kaedah lain pula, Mommy boleh cuci bersih daun sup, potong dan masukkan ke dalam plastik atau bekas berisi air yang kecil, dan bekukan. Bila nak guna baru Mommy keluarkan dan nyahbeku.

#4. Cara simpan tomato agar tahan lama

Kredit gambar: siakapkeli.my

Simpan tomato di dalam bekas yang terdapat tisu/sapu tangan kecil di dalamnya. Tujuan tisu/sapu tangan kecil diletakkan adalah bagi menyerap lebihan air yang terdapat pada bahagian luar buah tomato agar tomato tidak cepat rosak.

Pastikan juga Mommy menyusun tomato dengan bahagian tangkainya menghala ke atas kerana bahagian ini sangat sensitif dan mudah rosak.

#5. Cara simpan bawang

Kredit gambar: www.rasa.my

Bawang yang disimpan di tempat yang kering akan membuatnya bertahan selama 2 hingga 3 bulan. Pastikan juga Mommy tidak menyimpannya bersama dengan kentang. Ini adalah kerana gas yang dikeluarkan oleh kedua sayuran ini mampu menjadikannya cepat rosak.

Sambil Mommy cuba cara simpan bawang agar tahan lama ni, jangan lupa untuk tahu juga jenis-jenis potongan bawang untuk masakan yang sesuai.

#6. Penyimpanan kentang

Kredit gambar: www.idntimes.com

Kalau Mommy nak tahu, kentang yang terkena sinaran matahari akan menjadikannya cepat rosak.

Jadi, Mommy perlu menyimpannya di tempat yang tidak panas dan terlindung daripada cahaya matahari. Kalau nak bagi kentang tahan lebih lama, Mommy boleh simpannya bersama buah epal.

#7. Cara untuk simpan cili

Kredit gambar: sakinahamid.com

Kalau dah nama pun tekak Melayu, tak sah kalau tak ada cili di rumah bukan? Yelah, cili banyak digunakan dalam masakan Melayu seperti masak sambal, nasi goreng, dan sebagainya.

Agar cili tahan lebih lama, Mommy perlu mencabut tangkainya terlebih dahulu kerana ia akan membuatkan cili menjadi cepat rosak. Kemudian, balutkannya bersama dengan tisu ataupun surat khabar.

Mommy boleh juga simpan di dalam bekas yang dilapikkan tisu. Jika Mommy nak tambah cili lain atau guna cili tersebut, pastikan lap dahulu lebihan air pada cili-cili tersebut sehingga kering, kemudian, barulah disimpan semula.

Nak tahan lebih lama, Mommy boleh juga letakkan 1-2 ulas bawang putih ke dalam bekas cili tadi.

#8. Boleh potong sayur sebelum simpan

Kredit gambar: www.vanillakismis.my

Cara lain yang lebih senang dan memudahkan untuk Mommy masak, Mommy boleh cuci dan potong sayur-sayuran dan simpannya di dalam. Tapi, pastikan Mommy asingkan dan buang bahagian yang rosak ya.

Semoga cara simpan sayur tahan lama yang kami kongsikan ini dapat membantu memudahkan urusan memasak Mommy selain menjimatkan masa, tenaga dan juga perbelanjaan dapur.


Dapatkan tips dan panduan barangan dapur atau resepi DI SINI