Bila dah bersalin dan mula menyusu badan ni, selalu je rasa letih dan tak larat untuk menyusu setiap 2 atau 3 jam. Nak juga rehat kadang-kadang tu. Terutamanya jika anda bekerja kan?
Pada waktu beginilah bantuan pasangan sangat diperlukan untuk memerah, menyimpan, dan memberikan susu kepada si manja.
Tetapi bagaimana ya cara simpan susu badan yang betul dan selamat?
Tips & Cara Simpan Susu Badan Agar Tahan Lebih Lama
-
Kebersihan alat kelengkapan penyimpanan dan pemberian susu badan
Tips dan cara simpan susu badan yang paling penting adalah, anda harus mempunyai alat kelengkapan yang lengkap dan bersih untuk menyimpan susu badan tersebut.
Jangan ambil remeh ya tentang kebersihan alat kelengkapan ini. Ia dapat mempengaruhi kualiti dan tempoh penyimpanan susu badan anda.
Kebiasaannya, kelengkapan yang diperlukan adalah alat steril botol susu, botol susu, puting, pemberus botol susu, sabun pencuci botol bayi dan storage bag untuk susu ibu.
Sememangnya selepas menggunakan botol susu, anda harus memberus dan membersihkannya dengan pemberus dan sabun pencuci botol bayi.
Jika ada tinggalan sisa atau kotoran, kesegaran dan kualiti susu yang akan disimpan nanti terjejas.
Bukan itu sahaja ya. Secara berkala, sterilkan kesemua alat kelengkapan ini untuk membunuh kuman dengan berkesan dan selamat.
Ini untuk memastikan kebersihan alat kelengkapan ini berada di tahap optimum, sesuai untuk sistem imunisasi badan bayi yang belum matang.
-
Faktor suhu dalam penyimpanan susu badan secara selamat
Apabila alat kelengkapan sudah pun lengkap dan bersih, anda bolehlah mengepam susu badan.
Sama ada anda memilih untuk menyimpan di dalam botol susu ataupun storage bag, itu terpulang kepada anda.
Kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak akan mempengaruhi kualiti dan kesegaran susu badan apabila disimpan. Cuma anda perlu pastikan yang dipilih adalah bebas dari bahan BPA ya.
Jadi, apakah faktor lain yang dapat mempengaruhi kualiti dan kesegaran susu badan selain dari tahap kebersihan alat kelengkapan?
Sudah tentunya suhu sekeliling tempat penyimpanan susu tersebut. Sama ada pada suhu bilik, di dalam rak atas atau bawah peti sejuk, di dalam peti sejuk beku 1 pintu atau 2 pintu ataupun di dalam peti sejuk deep freezer.
Kesemuanya memberikan kesan yang berbeza terhadap penyimpanan susu badan anda.
Kaedah Penyimpanan Susu Badan Yang Betul
Apabila susu badan sudah dipam, antara langkah wajib yang anda harus lakukan ialah melabelkan nama si comel, masa dan tarikh perahan susu pada botol susu atau storage bag.
Ini untuk memudahkan anda melaksanakan kaedah first in, first out. Susu yang diperah dan disimpan terlebih dahulu akan diberikan kepada bayi berbanding dengan yang baru.
Sama ada di rumah sendiri, di rumah pengasuh ataupun di taska, kaedah inilah yang anda harus praktikkan.
Kebiasaannya, pada storage bag sudah terdapat label untuk anda tanda nama bayi, masa dan tarikh perahan. Tetapi pada botol susu, anda harus menggunakan kertas penanda yang kalis air untuk ditampal padanya.
Manakala ketika menyimpannya, jangan lupa untuk memastikan kedudukan susu badan itu jauh dari pintu peti/freezer ya.
Ini bertujuan untuk mengekalkan suhu sekeliling susu tersebut. Perubahan suhu secara mendadak atau kerap boleh megubah kualiti dan kesegaran susu ibu tau.
Selain dari itu, tempoh penyimpanan susu yang ideal adalah berbeza ya untuk bayi yang sihat dengan bayi yang sakit atau pramatang.
Jom lihat pada penjelasan yang lebih teliti di bawah. Ini adalah berdasarkan panduan dari Kementerian Kesihatan Malaysia:
1. Suhu bilik (25°C sehingga 37°C)
Bayi normal: 4 jam
Bayi pramatang/sakit: sehingga 4 jam
2. Suhu bilik berhawa dingin (15°C -25°C)
Bayi normal: 8 jam
Bayi pramatang/sakit: sehingga 4 jam
3. Peti sejuk di rak atas (2°C-4°C)
Bayi normal: kurang dari 8 hari. Namun jika suhu tidak konsisten, adalah disarankan untuk diguna dalam masa 3-5 hari sahaja
Bayi pramatang/sakit: 2 hari
4. Peti sejuk di bahagian sejuk beku (jenis 1 pintu)
Bayi normal: 2 minggu
Bayi pramatang/sakit: 2 minggu
5. Peti sejuk di bahagian sejuk beku (jenis 2 pintu)
Bayi normal: 3 bulan
Bayi pramatang/sakit: 3 bulan
6. Peti sejuk (jenis deep freezer)
Bayi normal: 6 bulan
Bayi pramatang/sakit: 3 bulan
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, susu badan beku yang telah dicairkan hendaklah diguna dalam tempoh kurang dari 24 jam dan untuk bayi pramatang/sakit, kurang dari 12 jam.
Jika masih ada lebihan, susu badan itu sudah tidak boleh disimpan lagi ya. Kesegaran dan kualitinya telah berubah selepas dikeluarkan dari bahagian beku dan dicairkan. Itulah pentingnya anda menyimpan susu badan dalam kuantiti yang ideal dalam setiap botol atau storage bag.
Antara faktor lain yang anda harus titikberatkan adalah bekalan elektrik pada peti atau freezer simpanan.
Jika bekalan elektrik terputus dan suhu tidak dapat dikekalkan, anda hendaklah menggunakan susu simpanan itu dengan segera.
Ingat ya. Ketahanan susu badan yang disimpan adalah berdasarkan suhu sekelilingnya. Makin rendah suhu tersebut, makin lamalah tempoh penyimpanannya.
Seeloknya, simpanlah susu di bahagian sejuk beku yang khas untuknya sahaja. Elakkanlah bercampur dengan bahan beku yang lain supaya kualitinya lebih terjaga.
Cara menyimpan susu badan ibu bukanlah susah tetapi memerlukan teknik yang tertentu untuk menjaga kualiti dan kesegarannya.
Dengan kerjasama yang efektif antara ibu dan bapa, ia akan menjadi lebih mudah dan proses penyusuan juga akan lebih teratur.
Semoga usaha anda dipermudahkan!