Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cara Solat Hajat Paling Mudah Dan Ringkas Mengikut Dalil Tepat

cara solat hajat

Kredit gambar: voize.my

Sebagai orang Islam, sekiranya kita menginginkan sesuatu selain dari berusaha dan berdoa, kita juga dianjurkan untuk memohon kepada Allah dengan cara solat hajat. Solat hajat merupakan solat sunat yang dikerjakan untuk memohon sebarang hajat atau ketika dalam kesusahan.

Anda boleh melakukan solat hajat secara bersendirian atau secara berjemaah sekiranya ia meliputi kesulitan untuk umum atau apa-apa hajat berkaitan seperti masalah kemarau, menghadapi peperiksaan dan lain-lain lagi.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan mendalam mengenai cara solat hajat, jom ikuti perkongsian di bawah!

Dalil Mengenai Cara Solat Hajat

Highlighted

Kredit gambar: www.islamituindah.com.my

Daripada Abdullah Ibn Abi Awfa Al-Aslami r.a beliau berkata, Rasulullah S.A.W pada suatu hari telah keluar menuju ke arah kami lalu bersabda:

‏ مَنْ كَانَتْ لَهُ حَاجَةٌ إِلَى اللَّهِ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ خَلْقِهِ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ لْيَقُلْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ أَسْأَلُكَ أَلاَّ تَدَعَ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا لِي ثُمَّ يَسْأَلُ اللَّهَ مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ مَا شَاءَ فَإِنَّهُ يُقَدَّرُ

Maksudnya:

“Sesiapa yang mempunyai sebarang hajat kepada Allah atau kepada salah seorang daripada makhluk-Nya, maka hendaklah dia berwuduk dan kemudiannya solat dua rakaat lalu dia membaca”:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ أَسْأَلُكَ أَلاَّ تَدَعَ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا لِي

Maksudnya:

“Tidak ada tuhan yang diabdikan diri selain Allah, Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mulia. Maha suci Allah, tuhan kepada ‘arasy yang agung. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perkara-perkara yang mendatangkan rahmat-Mu, serta pengampunan-Mu, ghanimah dari setiap kebaikan, dan kesejahteraan daripada semua dosa. Aku juga memohon ampun kepada-Mu, supaya Kau tidak meninggalkan kepadaku satu dosapun kecuali telah Kau ampunkannya. Tidak juga sebarang kegusaran melainkan Kau pemudahkan ia, serta tidak ada hajat yang Kau redha kepadanya melainkan kau laksanakan ia untuk diriku.”

Kemudian dia meminta kepada Allah berkenaan perkara dunia dan akhirat, maka sesungguhnya ia ditakdirkan.”

(Riwayat Ibn Majah hadis no.1384)

Panduan Cara Menunaikan Solat Hajat Yang Ringkas

Kredit gambar: www.madaninews.id

Berikut merupakan tatacara melaksanakan solat hajat iaitu:

#1. Lafaz niat solat hajat :

لله تعالى اصلي سنة الحاجة ركعتين

Maksudnya:

“Sahaja aku solat sunat hajat 2 rakaat kerana Allah Taala”

#2. Pada rakaat pertama setelah melakukan takbiratulihram:

  • Baca doa iftitah
  • Baca surah Al Fatihah
  • Baca surah Al Kafirun 1 kali
  • Melakukan rukuk, iktidal serta sujud seperti biasa

#3. Pada rakaat kedua

  • Baca surah Al Fatihah
  • Baca surah Al Ikhlas
  • Melakukan rukuk, iktidal serta sujud seperti biasa
  • Membaca tahiyat akhir

#4. Memberi salam

#5. Berdoa selepas memberi salam:

Mulai doa dengan lafaz memuji Allah S.W.T dan berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W. Setelah itu, pohonlah segala hajat kepada Allah mengikut segala apa yang diingini.

Tujuan Melakukan Solat Sunat Hajat

Antara tujuan solat hajat adalah seperti berikut:

  • Untuk mengakui kelemahan diri serta memohon sesuatu yang diingini kepada Allah S.W.T
  • Bagi melatih diri supaya sentiasa berharap kepada pertolongan daripada Allah S.W.T tidak kira semasa senang mahupun saat dalam kesusahan
  • Bagi memohon hajat sama ada untuk diri sendiri ataupun untuk orang lain
  • Supaya lebih dekat dengan Allah S.W.T
  • Bagi mengimbangi jiwa agar sentiasa dalam keadaan redha dengan segala yang sudah ditentukan oleh Allah S.W.T

Waktu Paling Afdal

Tiada waktu khusus untuk menunaikan solat hajat dan ia boleh dilaksanakan pada bila-bila yang dirasakan boleh tetapi mengikut sebilangan ulama, waktu yang paling afdal adalah pada sepertiga malam terakhir iaitu sekitar jam 1 pagi sehingga pukul 5 pagi. Walau begitu, terdapat tiga waktu yang dilarang iaitu:

  • Waktu Syuruq – Waktu ketika matahari mulai terbit sehinggalah setinggi tombak dan dianggarkan selama 15 minit.
  • Waktu Zhahirah – Waktu ketika matahari berada di tengah-tengah langit pada waktu tengah hari iaitu di mana bayang-bayang tidak kelihatan kerana matahari berada tepat di atas kepala selama beberapa beberapa minit sebelum masuknya waktu solat Zohor.
  • Waktu Senja – Waktu matahari mulai terbenam sehinggalah terbenam keseluruh matahari yang berlangsung selama 15 minit sebelum masuknya waktu solat Maghrib.

Setelah melakukan solat sunat hajat, anda digalakkan untuk memanjat doa dengan penuh rasa rendah diri dan boleh rujuknya dengan klik doa solat hajat ini. Semoga dengan perkongsian ini, anda mendapat ilmu yang bermanfaat darinya!


Dapatkan juga pelbagai panduan dan tips kerohanian yang lain dengan merujuknya di SINI!