Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Ringkas Cara Solat Jamak dan Qasar Yang Boleh Diamalkan Ketika Berjalan Jauh

Islam memudahkan umatnya untuk melakukan ibadah, dan salah satunya ketika berjalan jauh. Rukhsah solat ialah keringanan atau kemudahan yang diberikan kepada orang Islam yang bermusafir untuk melaksanakan solat dengan cara jamak dan qasar.

Mungkin ramai sudah tahu cara solat jamak dan qasar apabila bercuti, tapi semenjak dilanda wabak COVID-19 dan dah lama tak berjalan, mungkin ada lupa sikit, betul tak?

Jangan risau, kali ini Motherhood berkongsi panduan ringkas cara solat yang memudahkan ini.

Highlighted

Kredit gambar: Adobe Stock

Maksud Jamak

Jamak bermaksud menggabungkan atau menghimpunkan. Dalam konteks solat jamak, ini bermaksud menggabungkan dua solat dalam satu waktu, seperti solat Zohor dan Asar dalam waktu Asar.

Jamak terbahagi kepada dua, iaitu jamak takdim dan jamak takhir.

Jamak takdim bermaksud menghimpunkan solat pada waktu Zohor (bagi Zohor dan Asar) atau Maghrib (bagi Maghrib dan Isyak).

Jamak takhir pula menghimpunkan solat pada waktu Asar atau Isyak.

Syarat Sah Solat Jamak

  • Perjalanan yang jaraknya 81 km dan lebih dan telah melepasi sempadan qaryah.
  • Perjalanan yang tentu tujuannya (bukan merayau).
  • Perjalanan yang tidak bertujuan maksiat.
  • Tidak diambil kira perjalanan untuk berniaga arak, mengamal riba, atau menyamun.
  • Tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju.
  • Solat jamak takdim mestilah ditunaikan pada waktu Zohor atau Maghrib.
  • Solat jamak takhir mestilah ditunaikan pada waktu Asar atau Isyak.
  • Berniat untuk melakukan jamak takhir apabila masuk waktu Zohor atau Maghrib.
  • Solat kedua mestilah dilakukan terus selesai solat pertama.
  • Masih musafir hingga takbir solat kedua.
  • Solat Subuh tidak dibenarkan untuk dijamak.
Kredit gambar: Getty Images

Maksud Qasar

Qasar pula bermaksud memendekkan. Dalam konteks solat qasar, ia bermaksud solat yang dipendekkan. Ini merujuk kepada solat yang mempunyai empat rakaat sahaja, iaitu Zohor, Asar, dan Isyak.

Kita boleh memendekkan solat tersebut daripada empat rakaat ke dua rakaat.

Syarat Sah Solat Qasar

  • Dielakukan semasa bermusafir.
  • Perjalanan yang jaraknya 81 km dan lebih dan telah melepasi sempadan qaryah.
  • Perjalanan yang tentu tujuannya (bukan merayau).
  • Perjalanan yang tidak bertujuan maksiat.
  • Tidak diambil kira perjalanan untuk berniaga arak, mengamal riba, atau menyamun.
  • Tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju.
  • Tidak mengikuti imam solat yang bermukim.
  • Hanya untuk solat yang mempunyai empat rakaat, iaitu Zohor, Asar, dan Isyak.
Kredit gambar: Getty Images

Cara Solat Jamak Dan Qasar

Lafaz Niat Solat Jamak Takdim Berserta Qasar (Zohor)

Bacaan dalam RUMI:

Usolli fardhaz zuhri qosron rak’ataini jam’a taqdiimin lillaahi ta’aala

Maksud: Sahaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar secara jamak takdim kerana Allah taala.

Lafaz Niat Solat Jamak Takdim Berserta Qasar (Asar)

Bacaan dalam RUMI:

Usolli fardhol ‘asri qosron rak’ataini jam’a taqdiimin lillaahi ta’aala

Maksud: Sahaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar secara jamak takdim kerana Allah taala.

Lafaz Niat Solat Jamak Takhir Berserta Qasar (Zohor)

Bacaan dalam RUMI:

Usolli fardhaz zuhri qosron rak’ataini jam’a tak-khiirin lillaahi ta’aala

Maksud: Sahaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar secara jamak takhir kerana Allah taala.

Lafaz Niat Solat Jamak Takhir Berserta Qasar (Asar)

Bacaan dalam RUMI:

Usolli fardhol ‘asri qosron rak’ataini jam’a tak-khiirin lillaahi ta’aala

Maksud: Sahaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar secara jamak takhir kerana Allah taala.

Lafaz Niat Solat Jamak Takdim (Maghrib)

Bacaan dalam RUMI:

Usolli fardhol maghribi thalaatha raka’aatin jam’a taqdiimin lillaahi ta’aala

Maksud: Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat secara jamak takdim kerana Allah taala.

Lafaz Niat Solat Jamak Takdim Berserta Qasar (Isyak)

Bacaan dalam RUMI:

Usolli fardhol ‘isyaa’i qosron rak’ataini jam’a taqdiimin lillaahi ta’aala

Maksud: Sahaja aku solat fardhu Isyak dua rakaat qasar secara jamak takdim kerana Allah taala.

Lafaz Niat Solat Jamak Takhir (Maghrib)

Bacaan dalam RUMI:

Usolli fardhol maghribi thalaatha raka’aatan jam’a tak-khiirin lillaahi ta’aala

Maksud: Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat secara jamak takhir kerana Allah taala.

Lafaz Niat Solat Jamak Takhir Berserta Qasar (Isyak)

Bacaan dalam RUMI:

Usolli fardhol ‘isyaa’i qosron rak’ataini jam’a tak-khiirin lillaahi ta’aala

Maksud: Sahaja aku solat fardhu Isyak dua rakaat qasar secara jamak takhir kerana Allah taala.

Selepas melafazkan niat, anda bolehlah mulakan solat seperti biasa seperti berikut:

  1. Takbiratulihram
  2. Membaca doa Qunut
  3. Membaca Al-Fatihah
  4. Membaca surah Al-Quran pilihan
  5. Rukuk
  6. I’tidal
  7. Sujud
  8. Duduk antara dua sujud
  9. Sujud
  10. Ulangi langkah 1-9 untuk rakaat kedua
  11. Tahyat akhir
  12. Memberi salam

Semoga bermanfaat.