Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Mudah dan Ringkas Cara Solat Jenazah Mengikut Dalil Yang Lengkap

cara solat jenazah

Kredit gambar: www.islamituindah.info

Bagaimanakah cara solat jenazah yang betul? Dalam artikel ini, kami akan kongsikan kepada anda panduan lengkap cara untuk mengerjakan solat jenazah bagi lelaki dan perempuan yang lengkap. Solat jenazah adalah solat yang dilakukan oleh orang hidup kepada orang yang telah meninggal dunia agar diampunkan segala dosanya, mendapat rahmat dan juga keredhaan daripada Allah S.W.T.

Ikuti perkongsian ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

Panduan Lengkap Cara Solat Jenazah

Highlighted

Kredit gambar: www.astroawani.com

Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan merasai kematian sepertimana firman Allah S.W.T yang membawa maksud:

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.

(Surah Ali Imran: Ayat 185)

Nabi Muhammad S.A.W turut bersabda:

“Sembahyangkanlah oleh kamu akan orang-orang yang mati dari kalangan kamu”.

(Hadis Riwayat Majah)

Terdapat juga beberapa hadis lain antaranya yang diriwayatkan dari Salamah bin Al-Akwa, iaitu:

Pada suatu ketika kami sedang duduk dekat Nabi Muhammad S.A.W ketika dibawa seorang jenazah, Baginda telah bersabda:

“Sembahyangkanlah sahabat kamu itu”.

Hukum Mengerjakan Solat Jenazah

Solat jenazah adalah fardhu kifayah iaitu hanya wajib dilakukan oleh seorang atau sekumpulan orang tanpa melihat siapakah yang telah mengerjakannya. Kewajibannya akan hilang jika ada di antara salah seorang yang melakukan solat jenazah terbabit. Tetapi jika tiada siapa yang melakukannya, semua orang akan berdosa.

Syariat mengenai solat jenazah ini dapat dilihat melalui beberapa hadis antara adalah seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a berkata bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda iaitu:

 مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ

Maksudnya:

“Tidak ada seorang lelaki muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Menurut Imam Syafie:

“Wali adalah lebih utama (aula) berbanding pemerintah. Mulai bapa, datuk ke atas dan anak-anak lelaki, cucu lelaki ke bawah dan seterusnya”.

Manakala imam-imam mazhab yang lain juga turut bersependapat mengenai ketetapan harus solat ke atas beberapa jenazah serentak tetapi lebih afdzal sekiranya dapat dilakukan secara berasingan dan ia perlu didahulukan ke atas mayat yang paling dimuliakan sewaktu hidupnya.

Kedudukan jenazah yang ramai juga boleh diletakkan sama ada secara berbaris ataupun disusun secara beberapa baris.

Syarat-syarat Sah Solat Jenazah

  • Jenazah tersebut adalah orang islam.
  • Bukan jenazah orang yang telah mati syahid.
  • Jenazah telah dimandikan dan dikafankan
  • Menempatkan jenazah di hadapan jemaah yang menghadap ke arah kiblat kecuali solat ghaib atau solat atas kubur.
  • Orang yang mengerjakan solat hendaklah suci daripada hadas, menutup aurat dan mengadap kiblat.

Rukun-rukun Solat Jenazah

Terdapat 7 rukun solat jenazah iaitu:

  • Niat
  • Berdiri lurus bagi yang mampu
  • Takbir 4 kali (termasuk takbiratul ihram)
  • Membaca surah Al-Fatihah bagi takbir yang pertama
  • Membaca selawat ke atas Nabi SAW selepas takbir kedua
  • Mendoakan jenazah selepas takbir ketiga
  • Memberikan salam selepas takbir keempat

Perkara-perkara sunat yang dilakukan semasa solat

  • Hendaklah jenazah itu disembahyangkan di masjid
  • Makmum hendaklah berdiri berbaris (tiga saf)
  • Mengangkat kedua-dua belah tangan waktu mengucapkan takbir
  • Membaca taa’wuz
  • Memperlahankan semua bacaan
  • Memperbanyakkan doa untuk jenazah
  • Disembahyangkan dengan jemaah seramai 40 orang

Kedudukan Jenazah Semasa Solat

Kredit gambar: portalsemakan.com

Kedudukan Bagi Jenazah Lelaki

Kepala jenazah lelaki akan diletakkan disebelah kiri imam dan imam akan berdiri bertentangan dengan kepala jenazah.

Kedudukan Bagi Jenazah Perempuan

Kepala jenazah perempuan akan diletakkan disebelah kanan imam dan imam akan berdiri selari dengan pinggang jenazah.

Panduan Cara Solat Jenazah

Kredit gambar: ohmedia.my

#1. Mulakan dengan niat

Lafaz niat solat jenazah mayat perempuan:

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah taala”

Lafaz niat solat jenazah mayat lelaki:

أُصَلِّي عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak lelaki empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala”

Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak perempuan:

أُصَلِّى عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ الطِفْلَةِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak perempuan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala”

Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak lelaki:

أُصَلِّى عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ الطِفْلِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak lelaki empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala”

Lafaz niat solat jenazah bagi imam ditambah perkataan:

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ إِمَامًا للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah menjadi imam kerana Allah taala”

Lafaz niat solat jenazah bagi makmum ditambah perkataan:

أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ مَاْمُوْماً للهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah mengikut imam kerana Allah taala”

#2. Takbir pertama (Takbiratul ihram)

Mengangkat takbir pertama berseerta dengan niat di dalam hati dan diteruskan membac surah Al-Fatihah:

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (١) الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (٢) الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ (٣) مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ (٤) إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (٥) اهدِنَا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ (٦) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ (٧)

#3. Takbir kedua

Mengangkat takbir kedua kemudian baca selawat ke atas Nabi S.A.W seperti berikut:

اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّدٍ

“Ya Allah berikanlah rahmat dan kesejahteraan kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W, dan ke atas keluarganya”.

#4. Takbir ketiga

Mengangkat takbir ketiga kemudian baca doa berikut:

Lelaki:

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Perempuan:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا

“Ya Allah. Engkau berilah keampunan baginya, dan limpahkan rahmat kepadanya, dan selamatkan dia dan dan maafkan kesalahannya”.

*Untuk mayat kanak-kanak yang belum baligh, tidak dibacakan doa ini kerana mereka masih tidak dikira dosa pahala oleh malaikat.

#5. Takbir ke-empat

Mengangkat takbir keempat kemudian baca doa berikut:

Lelaki:

أَللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْلَنَا وَلَهُ

Perempuan:

اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهَا وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهَا وَ اغْفِرْ لَنَا وَلَهَا

“Ya Allah, janganlah engkau menutup-nutupi pahala mayat ini kepada kami dan janganlah diberikan fitnah kepada kami setelah kami meninggalkan mayat tersebut, ampunilah kami dan ampunilah dia”.

#6. Memberi salam ke kanan dan ke kiri

Bacaan sesudah salam:

  • Surah Al-Ikhlas 3 kali
  • Surah Al-Falaq 1 kali
  • Surah An-Nas 1 kali
  • Surah Al-Fatihah 1 kali
  • Surah Al-Baqarah 1-5
  • Surah Kursi 1 kali
  • Doa yang sesuai

Semoga dengan perkongsian mengenai panduan cara untuk mengerjakan solat jenazah bagi lelaki dan perempuan ini, anda semua mendapat manfaat darinya. Lihat juga panduan mengenai cara untuk mengerjakan solat-solat sunat lain dengan merujuknya di SINI!