Dalam menunaikan kewajipan kita sebagai hamba, kita solat fardhu 5 kali dalam sehari untuk meraih redha Allah S.W.T. dan berterima kasih kepadaNya. Namun begitu, sebagai hambaNya, pasti kita tidak lari daripada melakukan kesilapan dan khilaf dalam beribadah kepadaNya.
Kerana itulah, kita digalakkan untuk menunaikan solat sunat sebagai solat tambahan. Moga-moga dengan usaha ini, Allah mengampuni segala kekhilafan kita dan menaikkan darjat kita di sisiNya.
Antara solat sunat yang dituntut ialah solat sunat tahajjud, juga digelar sebagai solat malam atau qiyamullail.
Waktu Terbaik Solat Sunat Tahajjud
Dalam perkiraan tentang waktu terbaik untuk solat sunat tahajjud, adalah baiknya Mommy dan Daddy mengikut perkiraan berdasarkan Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W..
Dalam Al-Quran, telah dinyatakan dalam Surah Al-Israa’, ayat 79:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah ‘sembahyang tahajjud’ padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
Manakala menurut hadis Rasulullah S.A.W. daripada Abu Hurairah R.A. pula:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
Maksudnya: Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: Barangsiapa yang berdoa kepadaKu, nescaya Aku perkenankan baginya. Baransiapa yang meminta kepadaKu nescaya aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripadaKu, nescaya Aku akan mengampuninya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari (1145) dalam Sahihnya
Secara umumnya, solat sunat tahajjud boleh dilaksanakan selepas masuknya waktu solat fardhu Isya’ sehingga terbitnya fajar. Tetapi berdasarkan banyak fadhilat tentang solat dan ibadah yang dilakukan pada waktu sepertiga malam terakhir, ramai yang berusaha untuk melaksanakan solat sunat tahajjud ketika ini.
InsyaAllah pada waktu ini, rahmat dan pengampunan Allah dekat dengan kita dan lebih afdal.
Cara Solat Sunat Tahajjud
Bilangan solat sunat tahajjud tidaklah tetap tetapi biasanya ia dilakukan dengan 2 rakaat solat. Ini berdasarkan kepada hadis yang dikongsikan oleh Aku Islam berikut:
“Solatlah daripada sebahagian malam sekalipun empat rakaat, solatlah sekalipun dua rakaat. Tidak ada daripada ahli keluarga yang dikenali yang mana mereka sentiasa bersolat malam kecuali akan diserukan kepada mereka oleh seorang penyeru: Wahai ahli keluarga ini! Bangunlah bersolat malam.” – Hadis riwayat Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Imam
Rakaat Pertama
- Mulakan solat sunat tahajjud dengan niat seperti berikut:
Usolli sunnatat tahajjudi rak’ataini lilaahi ta’ala
Maksudnya: Sahaja aku solat tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala.
- Kemudian, lafazkan takbir dan baca doa iftitah.
- Diikuti pula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan mana-mana surah pendek seperti Surah Al-Kafirun.
- Solat diteruskan dengan melakukan rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud berserta dengan bacaan seperti kebiasaan solat.
Rakaat Kedua
- Pada rakaat kedua pula, hendaklah dibaca Surah Al-Fatihah dan mana-mana surah pendek seperti Surah Al-Ikhlas.
- Diteruskan pula dengan melakukan rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud berserta dengan bacaan seperti kebiasaan solat.
- Solat sunat tahajjud diakhiri dengan tahiyyat akhir dan memberi salam.
- Dalam doa selepas solat, jangan lupa untuk berdoa dengan doa selepas tahajjud yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W.
Solat Sunat Tahajjud Yang Dituntut
Begitu banyak hadis yang membicarakan tentang fadhilat solat malam ni. Rugilah kalau Mommy dan Daddy tak amalkan. Tapi tak usahlah rasa terbeban untuk melakukannya.
Mommy dan Daddy boleh cuba untuk amalkannya dengan cara solat sunat tahajjud yang betul ini dengan bangun awal sedikit sebelum waktu solat subuh.
InsyaAllah, lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan harian dan semoga dengan usaha kita ini, Allah S.W.T. melihat kita dengan penuh kasih dan sayangNya.
Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.