Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Dan Tata Cara Sujud Sahwi Mengikut Syariat Yang Lengkap

cara sujud sahwi

Kredit gambar : inilahfikih.com

Apabila kita telah terlupa melakukan sesuatu perkara dalam solat, kita boleh menutup kekurangan dalam solat fardhu dengan cara sujud sahwi. Sujud sahwi dilakukan apabila kita lupa atau berasa was-was dalam solat.

Sahwi bermaksud lupa, manakala sujud sahwi pula ialah sujud kerana telah lupa melakukan sesuatu perkara dalam solat atau lupa rakaat solat.

Abdullah r.a menceritakan daripada Ibrahim r.a yang berkata bahawa Rasulullah S.A.W telah bersolat dan menambah rakaat atau kurang, selepas baginda memberi salam, kami bertanya:

“Wahai Rasulullah, adakah berlaku perubahan dalam solat?” Baginda menjawab. “Jika berlaku perubahan dalam solat pasti aku akan maklumkan kepada kamu. Tetapi aku juga hanya manusia yang lupa sebagaimana kamu lupa. Sesiapa di kalangan kamu yang merasa syak dalam solatnya hendaklah dia mengambil yang lebih tepat dan kemudian sempurnakannya. Setelah itu hendaklah dia memberi salam lalu bersujud dengan dua kali sujud.”

(Hadis riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i, kitab Sahwi)

Melalui hadis ini, ianya sangat jelas bahawa manusia tidak akan lari dari sifat lupa walaupun ianya melibatkan ibadah yang wajib kita lakukan. Malah, ianya juga merupakan keringanan yang Allah S.W.T berikan kepada hamba-Nya oleh kerana sifat lupa yang secara tidak sengaja itu.

Sebab Perlu Melakukan dan Panduan Cara Sujud Sahwi

Antara kesalahan yang boleh dilakukan sujud sahwi adalah:

  • Terlupa melakukan salah satu sunat ab’adh contohnya seperti doa qunut dan juga tahiyat awal.
  • Malah, boleh juga dilakukan sekiranya Mommy berasa was-was atau ragu-ragu dengan bilangan rakaat yang telah dilakukan.
  • Tertinggal rukun solat.
  • Melakukan rukun bukan pada tempatnya.

Hukum sujud sahwi adalah sunat muakkad, dimana solat Mommy tidak akan terbatal walaupun tidak mengerjakannya.

Daripada al-Mughirah menyatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda:

“Apabila salah seorang kamu berdiri sesudah dua rakaat tetapi ia belum sampai sempurna berdiri, maka hendaklah ia duduk kembali (untuk tasyahud pertama) tetapi jika ia sudah berdiri dengan sempurna, maka jangan ia duduk kembali dan hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi).”

(Hadis riwayat Ahmad)

Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a, Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِـيْ صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى؟ ثَلاَثًا أَوْ أَرْبَعًـا؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَـا اسْتَيْقَنَ ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَـانَ صَلَّى خَمْسًا شَفِعْنَ لَهُ صَلاَتُهُ، وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا ِلأَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيْمًا لِلشَّيْطَانِ.

Maksudnya:

“Jika salah seorang di antara kamu ragu dalam solatnya sehingga dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dia lakukan, tiga rakaat atau empat rakaat. Maka hendaklah ia tepis keraguan itu dan ikutilah yang dia yakini. Setelah itu, hendaklah dia sujud dua kali sebelum salam. Jika ternyata dia mengerjakan lima rakaat, maka dia telah melengkapkan solatnya. Namun, jika dia mengerjakan solat empat rakaat, maka dua sujud tadi adalah penghinaan bagi syaitan.”

(Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i r.a)

Cara-cara Melakukannya

Berikut merupakan cara-cara untuk mengerjakan sujud sahwi iaitu:

Mulakan dengan niat. Niat perlu dilakukan di hujung solat sebelum salam atau selepas salam jika anda terlupa. Tiada lafaz niat khusus untuk sujud sahwi dan anda boleh berniat di dalam hati dengan “Sahaja aku melakukan sujud sahwi”.

#1. Sujud sebanyak dua kali.

Highlighted

Kredit gambar: Blog Akuislam.com

Setelah selesai membaca tahiyat akhir dan sebelum salam, terus sujud untuk sujud sahwi yang pertama dan baca sebanyak 3 kali:

سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو

SubhaaNa Man Laa YaNaaMu WaLaa Yas-Huu (3x)

Maksudnya:

“Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa”

#2. Kemudian, bangkit ke kedudukan antara dua sujud. Pada waktu ini, anda boleh baca bacaan antara dua sujud solat fardhu atau boleh sahaja diam beserta tumakninah (diam sebentar).

Kredit gambar: Blog Akuislam.com

#3. Terus lakukan sujud sahwi yang kedua dan baca sama seperti bacaan sujud yang pertama tadi sebanyak 3 kali.

سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو

SubhaaNa Man Laa YaNaaMu WaLaa Yas-Huu (3x)

Maksudnya:

“Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa”

#4. Akhiri solat dengan memberi salam setelah selesai sujud sahwi kedua, duduk seperti duduk tahiyat akhir dan terus mengucapkan salam.

Kredit gambar: Blog Akuislam.com

Assalamu’Alaikum Warahmatullah

Maksudnya:

“Keselamatan ke atas kamu dan rahmat Allah”.

Semoga Mommy memahami cara bagaimana melakukan sujud sahwi dengan betul dan perkongsian ini memberi manfaat yang berguna!


Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.