Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Ringkas Cara Sujud Syukur Yang Dikongsikan Mufti Wilayah Persekutuan

Panduan Ringkas Cara Sujud Syukur Mengikut Mufti Wilayah Persekutuan

Kredit gambar: istockphoto

Kita sering dianjurkan untuk melakukan sujud syukur apabila kita mendapat perkhabaran gembira ataupun terlepas daripada musibah dan bala.

Orang tua-tualah yang selalunya menasihati tentang keperluan melaksanakannya, dengan niat untuk menzahirkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T.

Maksud Sujud Syukur

Tetapi apakah kita faham sebenar-benarnya erti sujud syukur ini? Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sujud syukur adalah sujud yang dilaksanakan kerana kurniaan nikmat atau terselamatnya daripada sesuatu musibah.

Hukum Sujud Syukur

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Syariat anjuran sujud syukur ini adalah berdasarkan kepada kepada hadis Rasulullah S.A.W. daripada Abu Bakrah R.A.:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksudnya: “Adalah Nabi S.A.W. ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah S.W.T.” – Riwayat Abu Daud (2774)

Dalam beberapa keadaan, telah dinyatakan hukum sunat untuk melaksanakan sujud syukur iaitu:

#1. Apabila mendapat sesuatu nikmat

Ia terkandung kepada kedua-dua nikmat iaitu zahir ataupun batin. Definisi untuk nikmat ini adalah nikmat yang tidak disangka-sangka dan jarang berlaku seperti sembuhnya daripada penyakit yang dialami setelah sekian lama.

Nikmat yang berterusan seperti mendapat kekayaan tidaklah terjatuh kepada hukum sunat ini.

#2. Apabila dilindungi daripada musibah

Maksudnya, terselamat daripada bencana zahir yang tidak disangka-sangka. Sebagai contoh, Mommy terselamat daripada kejadian banjir besar yang telah mengakibatkan terkorbannya beberapa nyawa.

#3. Apabila menyaksikan orang fasiq

Dalam situasi lain juga, disunatkan untuk melaksanakan sujud syukur sebagai tanda bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana dilindungi daripada orang fasiq yang menunjukkan kefasiqannya atau orang kafir atau mereka yang merompak di pertengahan jalan.

Ya, ini adalah kerana kefasiqan merupakan suatu musibah dalam agama.

#4. Apabila melihat mereka yang diuji dengan kesakitan

Sama ada melihat orang yang diuji dengan sakit pada tubuh badan ataupun akal fikiran, hukum untuk melaksanakan sujud syukur adalah sunat untuk kedua-duanya.

Tetapi adalah sunat untuk menyembunyikan sujud ini daripada orang yang sakit supaya tidak tersinggung perasaannya ya.

Syarat Sujud Syukur

Kredit gambar: istockphoto

Untuk mudah difahami, hukum sujud syukur ni adalah sunat untuk situasi-situasi yang tertentu. Jika untuk nikmat yang berterusan seperti nikmat kesihatan bagi orang yang sihat, tidaklah disunatkan ya.

Bagaimana pula dengan syaratnya? Dalam perkongsian lain oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sebenarnya berdasarkan perbahasan para ulama’, ada dua pendapat mengenai syarat untuk melaksanakan sujud syukur ni.

Pendapat yang pertama mengatakan bahawa ia mestilah dilakukan dalam keadaan berwuduk, menutup aurat, anggota badan, pakaian dan tempat sujud bersih daripada segala najis dan perlu menghadap kiblat.

Pendapat yang kedua pula mengatakan bahawa sujud syukur boleh dilaksanakan tanpa perlunya berwuduk dan tanpa menghadap kiblat.

Antara kedua pendapat ini, Mufti Wilayah Persekutuan lebih cenderung kepada pendapat yang kedua iaitu tidak perlu untuk berwuduk dan menghadap kiblat.

Tetapi, jika Mommy ingin berpegang dengan pendapat yang pertama, tidak ada masalah kerana ia merupakan isu yang boleh diperbahaskan lagi.

Cara Sujud Syukur

Perlaksanaan sujud syukur tidaklah rumit tetapi ringkas sahaja:

  1. Mulakan dengan niat untuk melakukan sujud syukur.
  2. Bertakbir seperti takbiratul ihram dengan mengangkat tangan.
  3. Bertakbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan tetapi untuk turun sujud.
  4. Sujud sekali seperti sujud di dalam solat. Bacaannya pun sama seperti dalam solat. Boleh juga ditambahkan lafaz tahmid untuk memuji Allah.
  5. Bangun daripada sujud dalam keadaan duduk seperti dalam solat dan beri salam. Bacaan tasyahhud tidak disyaratkan dan tidak disunatkan juga. Bangun dan terus beri salam.

Mudah sahaja kan?

Kredit gambar: istockphoto

Kelebihan Sujud Syukur

Allah telah berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat 7:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُم وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu mengatakan; “Sesungguhnya  jika  kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangatlah pedih”.

Sesungguhnya, tidak terhitung jumlah kurniaan Allah kepada kita. Melalui firmanNya ini, jelaslah bahawa dengan mensyukuri nikmat kurniaanNya, Dia akan melimpahkan lagi kurniaNya kepada kita.

Antara amalan yang elok untuk kita menzahirkan rasa syukur kita ini adalah dengan sujud syukur. Sungguh, janji Allah itu tidak seperti janji makhluk. Ia benar dan pasti.

Semoga dengan kefahaman kita mengenai cara sujud syukur yang betul ini memudahkan lagi niat kita untuk melaksanakannya dan jika ada yang tersilap, boleh diperbetulkan. InsyaAllah.


Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.