Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Lengkap Cara Tanam Cili Atau Lada Paling Mudah dan Cepat

cara tanam cili

Kredit gambar: cikmatahariku.blogspot.com

Dekat Malaysia ini, cili atau lada sangat disukai dan jika masakan tiada rasa pedas rasanya seperti hambar dan kurang sesuatu terutama bagi penggemar makanan pedas. Bercakap mengenai cili, ramai yang kata cara tanam pokok cili sangat susah, dah tu payah nak berbuah dan kadang-kadang langsung tak menjadi.

Betul ke susah sangat cara tanam cili ni?

Nak tahu susah ke tak cara menanam cili, jom ikuti perkongsian kami kali ini dengan topik bagaimana cara tanam pokok cili yang paling mudah, jom lihat!

Inovasi Terkini Cara Tanam Cili

Highlighted

Kredit gambar: www.keluarga.my

Kebiasaan orang dulu-dulu, mereka lebih gemar menanam dengan cara tanam cili atas tanah. Tetapi oleh sebab pelbagai inovasi dah tercipta dengan keadaan tanah yang semakin sedikit dan sempit, makanya pelbagai cara telah digali bagi mencari solusi bagaimana cara menanam cili ini. Hasilnya, terbukti banyak cara yang boleh anda lakukan dan setiap cara tu hanya tinggal anda nak aplikasikan je!

Cara Menanam Cili Paling Mudah Sesuai Atas Tanah, Polibeg atau Pasu

Kredit gambar: cikmatahariku.blogspot.com

Antara cara tanam lada yang dikatakan berjaya adalah dengan cara menaman cili atau lada melalui polibeg, cara tanam cili dalam pasu dan juga cara tanam cili fertigasi.

Cara tanam lada dalam polybag ini juga sangat sesuai buat anda yang tinggal di bangunan tinggi atau tidak mempunyai tanah yang luas.

Tanam Lada Atas Tanah, Polibeg atau Pasu

Kredit gambar: cikmatahariku.blogspot.com

Ikuti langkah di bawah untuk belajar cara tanam cili iaitu:

  • Sebelum nak tanam cili anda perlu semai benih cili terelbih dahulu. Tidak kiralah cili padi, cili besar yang kita nak tanam.
  • Ambil bijinya, kemudian jemur selama 3 hari.
  • Selepas jemur rendam biji cili dengan air garam selama 3 jam atau semalaman. Proses ini untuk melembutkan selaput luaran biji benih.
    Kemudian jemur atas kertas, tisu atau kain. Pastikan betul- betul kering sebelum proses seterusnya. Jika masih basah akan berisiko untuk pertumbuhan kulat.
  • Untuk semai biji benih cili sangat mudah. Gemburkan tanah, buat macam batas dan boleh tabur biji benih. Selepas itu tutup dengan zink atau daun kelapa sawit.
  • Anda juga boleh menggunakan tray atau bekas semaian dengan membuat lubang dengan menggunakan jari atau kayu didalam bekas semaian.
  • Masukkan benih cili dan kambus kembali dan siram setiap hari.
  • Selepas cili tumbuh dah nampak 5 ke 7 helai daun iaitu sekitar 3minggu, bolehlah dipindahkan terus dengan alihkan ke batas, polibeg atau pasu kesukaan anda.
  • Seeloknya dialihkan pada waktu petang, siram dahulu sebelum pindahkannya supaya anak pokok tidak layu. Alihkan dengan berhati-hati agar tidak merosakkan pucuk dan akar anak pokok cili.
  • Pokok cili paling suka campuran tanah yang kaya dengan bahan organik yang berkualiti, antara yang sesuai adalah tanah sawit atau tanah kompos.
  • Selepas dialihkan, lakukan proses penjagaan merangkumi beberapa perkara, membaja, racun dan membersih.
  • Pokok cili memerlukan tanah yang lembab agar pokok dapat tumbuh dengan subur, jika tanah terlalu kering pokok boleh terbantut tumbesaran dan menyebabkan penghasilan buah yang sedikit. Oleh itu, siramlah 2 kali sehari untuk mengekalkan kelembapan tanah.
  • Baja pokok cili dengan 2 minggu sekali, dengan menaburkan segenggam kompos atau lain-lain baja ditaburkan jauh dari batang pokok disekeliling pasu. Pastikan tidak terkena pada batang pokok kerana baja bersifat panas dan boleh merosakkan pokok.
  • Setelah pokok berusia 2bulan atau sudah tinggi 50 cm,bolehlah dicacak kayu ditepi pokok, dan pangkal batang cili diikat dengan tali rafia di kayu tersebut untuk dijadikan tiang sokongan agar pokok tidak mudah tumbang jika ditiup angin.
  • Proses seterusnya dengan mengawal serangga perosak menggunakan racun organik buatan sendiri. Mudah sahaja cili padi atau bawang putih dimesin hingga hancur dan disembur pada pokok dan daun. Anda juga boleh menggunakan cuka kayu dan disembur seminggu sekali. Cuka kayu bertindak membantu meningkatkan kekuatan pokok dan melawan penyakit dan perosak.
  • Setelah cili mengeluarkan hasil yang banyak, anda bolehlah melakukan proses pemangkasan dahan pokok cili agar menggalakan pertumbuhan pucuk dan dahan baru yang lebih produktif.

Mudahkan cara menanam cili? Jika mengikut step yang betul dan menjaga pokok dengan baik, anda pasti dapat menuai hasilnya.

Selepas ni mesti ramai antara kita yang menanam cili kan? Mudahlah jika nak masak tinggal petik saja di pokok bila-bila masa sahaja. Paling best, cili pun masih lagi segar-segar.


Dapatkan juga pelbagai lagi tips dan petua tanaman menarik yang lain di SINI!