Runsing betul fikiran ni bila tengok di penimbang berat. Angka makin menaik tetapi rasa macam tak makan banyak pun. Macam mana lah nak buat ya?
Nak diet rasa macam malas je. Tak bersemangat langsung. Bersenam pun jarang sekali, maklumlah…sibuk bekerja kan Mommy?
10 Cara Turunkan Berat Badan Dengan Berkesan
Sebenarnya, terdapat banyak cara yang kita boleh praktikkan dalam kehidupan seharian kita untuk turunkan berat badan.
Tak perlu berlapar atau bersenam secara melampau pun, jom tengok cara-cara untuk turunkan berat badan yang Motherhood nak kongsikan ni:
#1. Kurangkan kalori
Setiap orang ada lifestyle dan keperluan badan yang berbeza. Ada yang aktif, ada yang kurang aktif dan ada yang tak aktif langsung. Pemakanan seharian kita akan menentukan jumlah pengambilan kalori kita tau.
Untuk orang yang sangat aktif, kalori yang diperlukan oleh badannya adalah lebih banyak berbanding orang yang kurang aktif. Yang menjadi masalah adalah bila, Mommy kurang aktif tapi pengambilan kalori Mommy pada hari itu lebih daripada yang badan Mommy perlukan.
Jadi untuk kurangkan berat badan, Mommy kena kurangkan pengambilan kalori supaya apabila badan Mommy perlukan tenaga, lemak di badan akan digunakan dan berat pun tak akan bertambah.
#2. Amalkan konsep 3S
Apa itu 3S ni? Haa… rasanya mereka yang nak diet ataupun cuba untuk mengamalkan pemakanan yang sihat tahu apa itu 3S ni. 3S adalah cara pemakanan suku suku separuh.
Suku untuk jumlah karbohidrat dalam pinggan, suku lagi untuk protein dan separuh lagi untuk sayur dan buah. Pemakanan berkonsepkan 3S ni lah pemakanan yang seimbang tau!
#3. Banyakkan buah-buahan dan sayur-sayuran
Selalu kalau lapar je, kita akan cenderung untuk cari karbohidrat kan? Pizza, roti dan lain-lain. Sebenarnya, sayur-sayuran dan buah-buahan ni mengenyangkan je kalau dimakan dengan jumlah yang sesuai.
Kalau makan sup sayur ke, memang kenyang lama. Sihat lagi tu. Cuma kita je kurang terbiasa dengan pemakanan macam ni.
Nanti kalau teringin nak snek ke, tukarkan jajan kepada buah-buahan seperti buah tembikai ya? Sedapnya..
#4. Kurangkan/hentikan pengambilan air manis
Memang sedia maklum kan, gula dan pemanis tiruan atau tambahan ni antara punca obesiti dan diabetes? Sebab itulah kalau nak turunkan berat badan, kena paksa diri untuk berhenti mengambil air manis.
Kalau sukar, cuba kurangkan dari masa ke semasa. Kalau dulu selalu minum air manis hari-hari, cuba selangkan kepada 3 hari sekali ke. Kemudian, seminggu sekali dan sebulan sekali apabila cheat day.
Mommy tentu akan perasan perubahan ketara nanti.
#5. Bersenam setiap hari
Untuk turun berat badan, yang utama memang kena jaga pemakanan. Tapi kalau nak badan lagi cantik dan sihat, kenalah exercise ya. Sekejap pun okay, asalkan berdisiplin.
Berat pun akan turun dengan lebih cepat. Maklumlah.. kalori terbakar kan?
#6. Buat Intermittent Fasting
Antara cara untuk turun berat badan yang semakin mendapat sambutan adalah diet intermittent fasting atau secara singkatnya, IF.
Motherhood cadangkan, Mommy buat IF ni masa Mommy tengah bekerja dan di waktu malam. Yelah.. bila bekerja ni, selalu sibuk sampai tak sempat nak makan.
Alang-alang tu, baik buat IF terus. Minum air je, dah habis kerja nanti, boleh ‘buka puasa’ IF dah.
#7. Jangan makan berat pada waktu malam
Motherhood cadangkan untuk buat IF pada waktu malam kerana badan kita perlu masa untuk hadam makanan. Jadi tak boleh kalau makan dalam tempoh sejam sebelum waktu tidur.
Kalori yang kita ambil tadi pula tak digunakan bila kita tidur. Disebabkan itulah, untuk turun berat badan, Mommy disarankan untuk makan yang ringan-ringan je pada waktu malam supaya badan kita sempat nak cerna dan kalori pula tak berlebihan.
#8. Elakkan makanan berlemak
Makanan yang berlemak tinggi seperti donut, kek, sup gearbox; semua ni tak boleh makan ya kalau nak turun berat badan. Bila dah kurangkan pengambilan kalori, jangan tambah pula dengan makanan yang berlemak tetapi tak mengenyangkan ni tau Mommy!
#9. Kuatkan semangat dan dapatkan sokongan
Nak ubah gaya hidup ni, bukanlah senang. Kita kena cuba perlahan-lahan, pada pace kita sendiri. Biar lambat, asalkan kita berdisiplin ya.
Mommy dapatkanlah semangat dan dorongan daripada orang yang terdekat. Sebagai contoh, ajak sekali Daddy ubah gaya hidup bersama dan bagi tahu kepadanya tentang plan Mommy.
Kalau dapat sokongan dari orang tersayang ni, kita pasti akan lebih bersemangat. Haaa.. persiapan mental pun penting tau!
#10. Minum air kosong secukupnya
Tips lain yang memang membantu adalah, pengambilan air kosong yang mencukupi. Pastikan Mommy ambil air kosong yang cukup pada setiap hari ya.
Kalau puasa pun, jangan lupa tambah cecair pada waktu malam dan ketika waktu sahur dengan minum air yang cukup. Bila kandungan air dalam badan kita cukup, ia akan berfungsi dengan lebih baik.
Cara Turunkan Berat Badan Dengan Berkesan
Tak susah pun sebenarnya. Mommy boleh cuba dengan mulakan dahulu satu cara dan tambah pula nanti dari masa ke semasa. Lambat tak apa, asalkan penurunan berat badan Mommy adalah secara sihat dan badan Mommy cukup nutrisi.
Selamat mencuba Mommy!