Ibu, Bayi & Kanak Kanak

11 Cara untuk Hamil Khas Buat Pasangan Yang Sedang Cuba Mendapatkan Zuriat

Apabila berkahwin, setiap pasangan tentunya menginginkan zuriat sebagai penyeri rumah tangga. Namun selepas penantian dari hari ke hari, masih tiada lagi berita gembira yang ditunggu-tunggu. Ini membuatkan anda merasa kecewa dan ada sesetengahnya menyalahkan diri sendiri. Sebenarnya, terdapat banyak ikhtiar atau cara untuk hamil yang boleh dicuba.

Jom lihat senarai cara untuk hamil dibawah dan sudahkah anda dan pasangan mencuba tips ini?

11 Cara untuk Hamil

#1. Dapatkan nasihat doktor

Highlighted

Sumber: istockphoto

Apabila penantian anda melebihi 6 bulan dan anda masih tidak menunjukkan tanda-tanda hamil, perkara pertama yang anda harus lakukan adalah berjumpa dengan doktor pakar.

Anda akan diperiksa dan diminta untuk melakukan beberapa ujian untuk menilai tahap kesuburan dan kesihatan anda. Doktor akan memberikan nasihat dan langkah yang sewajarnya yang perlu anda dan pasangan lakukan. Jadi jangan risau ya!

#2. Ambil asid folik

Sumber: istockphoto

Menurut Dr. Zubaidi Ahmad, pengambilan asid folik dapat membantu meningkatkan tahap kesuburan. Ini bukan untuk wanita sahaja ya. Para suami pun dapat memperolehi faedah daripada pengambilannya.

Antaranya adalah, asid folik dapat mengelakkan kecacatan kromosom pada sperma dan membantu mematangkan telur ovum. Jadi seeloknya, sebelum pasangan berkahwin merancang untuk mendapatkan cahaya mata, ambillah asid folik secara konsisten selama beberapa bulan sebelum hamil supaya tahap kesihatan dan kesuburan anda berada di tahap yang lebih baik.

Ini kerana asid folik bukan sahaja membantu untuk merawat kesuburan tetapi ia juga adalah vitamin yang berfungsi untuk memperbaharui sel-sel baru di dalam tubuh anda.

#3. Amalkan memakan kurma

Sumber: istockphoto

Buah kurma adalah buah yang kaya dengan pelbagai nutrisi penting terutamanya untuk golongan wanita. Pengambilannya dapat membantu meningkatkan tahap kesuburan dan kesihatan wanita secara menyeluruh.

Buah yang cukup berkhasiat ini mengandungi karbohidrat, protein dan serat yang diperlukan tubuh anda. Kandungan nutrisinya yang menyeluruh dan seimbang menjadikannya supplement semula jadi yang ideal dan salah satu cara untuk hamil yang terbaik, dari segi pemakanan.

#4. Ambil makanan yang kaya dengan zink

Sumber: istockphoto

Kenapa para suami perlu mengambil makanan yang kaya dengan zink? Ini kerana zink dipercayai mampu untuk meningkatkan kesuburan orang lelaki secara keseluruhan.

Menurut Rosmah Idayu, zink dapat membantu pengeluaran sperma bukan sahaja dari bilangannya malah kualiti sperma juga ya!

Makanan apa yang kaya dengan zink eh?

Antaranya adalah:

  1. Tiram
  2. Daging lembu
  3. Kekacang
  4. Ketam
  5. Makanan tenusu

Senanglah kalau macam tu kan? Kebanyakkan makanan ini boleh didapati di pasaraya sahaja. Masak dan hidanglah mengikut citarasa pilihan.

Dalam diet anda, pastikan anda mengamalkan pengambilan makanan-makanan yang kaya dengan zink ini terutamanya golongan lelaki.

Dengan kualiti dan bilangan sperma yang tinggi, peluang untuk isteri anda hamil akan lebih tinggi!

#5. Amalkan gaya hidup yang sihat

Sumber: istockphoto

Seperti yang kita tahu, gaya hidup kita mempengaruhi tahap kesihatan kita. Untuk hamil, suami dan isteri haruslah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Sebagai contoh, anda hendaklah melakukan aktiviti fizikal secara berkala jika tidak setiap hari.

Aktiviti fizikal bukan sahaja bersenam ya. Terdapat banyak aktiviti fizikal selain bersenam seperti berkebun, berjalan mengelilingi taman sambil menghirup udara segar, menyapu daun di halaman rumah, bertukang, mengemop lantai dan banyak lagi.

Aktiviti-aktiviti seperti ini bukan sahaja menyihatkan malah berfaedah. Sentiasalah meluangkan masa untuk melakukannya ya?

Selain itu, anda hendaklah memastikan bahawa berat badan anda berada di tahap yang ideal. Obesiti dipercayai menjadi punca kepada pelbagai penyakit dan menurut En. Mohd Nur Muhaimin Adli Ishak, salah satunya adalah ia akan mengganggu kesuburan anda.

Oleh itu, berusahalah untuk mengekalkan berat badan anda di tahap yang ideal dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat dari segi pemakanan dan rutin harian anda. Jangan lupa untuk banyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet anda tau!

#6. Berhubungan intim ketika waktu subur

Sumber: istockphoto

Antara perkara penting yang menentukan potensi kehamilan seseorang adalah tarikh berlakunya hubungan intim. Apabila telah menjadi suami dan isteri, anda hendaklah mengetahui waktu subur anda dan pasangan. Dapatkanlah nasihat dan panduan dari yang pakar mengenai waktu ovulasi, kitaran haid dan sebagainya.

Ini dapat membantu anda untuk merancang tarikh yang paling sesuai untuk bersama iaitu ketika waktu ovulasi. Jika anda menghadapi kesukaran untuk bertemu pakar kesihatan, anda boleh rujuk pelbagai aplikasi dan laman web seperti ini.

Ingat ya. Tarikh anda melakukan hubungan intim amat penting dalam usaha untuk hamil. Rancanglah sebaiknya.

#7. Posisi seks yang betul

Sumber: istockphoto

Haa…bukan sahaja tarikh anda bersama yang penting malah cara dan posisinya juga ya! Posisi seks yang berbeza ketika berlakunya ejakulasi dapat menentukan jarak pancutan air mani yang berbeza ke lubang serviks.

Menurut Rachel Gurevich, RN, antara posisi seks yang meningkatkan peratusan anda untuk hamil adalah:

  1. Missionary position iaitu kedudukan para suami di atas.
  2. Doggy style iaitu kedudukan para suami di belakang. Atau juga dikenali sebagai rear-entry position.
  3. Edge of bed position iaitu hubungan intim yang dilakukan di hujung katil.
  4. Right angle sex position

Posisi-posisi ini tidaklah sukar malah mudah untuk dilakukan. Bekerjasama dan cubalah pelbagai posisi ini mengikut kesesuaian dan keselesaan anda. Namun jangan dilupakan ya, kehangatan dan rangsangan seksual turut sama penting dalam meningkatkan potensi kehamilan anda.

#8. Ubat kesuburan

Sumber: istockphoto

Selain dari mengamalkan pemakanan yang sihat dan pengambilan suplemen tertentu, ubat-ubatan medikal pun dapat membantu anda untuk hamil. Terdapat pelbagai jenis ubat kesuburan yang boleh mencetus ovulasi supaya terjadi.

Menurut babycenter.com, fungsi ubat-ubatan ini adalah untuk meningkatkan tahap kesuburan anda dengan mempengaruhi sesetengah hormon di dalam badan. Namun ada sesetengahnya yang akan memberi kesan sampingan.

Oleh itu, dapatkanlah nasihat dari yang pakar dan berbincanglah secara matang dan menyeluruh tentang perancangan anda bersama pasangan.

#9. Petua orang tua dan cara tradisional

Sumber: istockphoto

Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang kan? Orang tua-tua dahulu ada petua yang tersendiri supaya para wanita cepat hamil dan pada petua-petua itu, mungkin ada betulnya. Tak salah mencuba kan?

Antaranya adalah kedudukan tertentu semasa berhubungan intim. Hmm…kedudukan macam mana tu?

1. Wanita berada di bawah.

Apabila berhubungan intim dan berlakunya ejakulasi, wanita hendaklah berada di bawah misalnya dalam keadaan berbaring. Ini bertujuan untuk memudahkan air mani untuk memasuki lubang serviks dan berlakunya persenyawaan antara sperma dan ovum.

2. Jangan berdiri selepas ejakulasi.

Apabila para suami telah memancutkan air mani, anda hendaklah kekal berbaring dan jangan sesekali berdiri supaya air mani tidak terkeluar dari lubang faraj anda.

3. Mengangkat punggung selepas ejakulasi.

Dengan meningkatkan paras punggung anda, kedudukan rahim akan berada lebih rendah dan ini dipercayai dapat membantu air mani untuk mengalir memasuki kawasan peranakan anda dengan lebih mudah.

Posisi ini sama dengan glute bridge kecuali anda tidak perlu mengeraskan otot punggung dan peha. Letaklah bantal di bawah punggung sebagai sokongan.

4. Biarkan alat sulit suami berada di dalam lubang faraj lebih lama.

Ada yang berpendapat bahawa apabila alat sulit suami berada di dalam, air mani tidak dapat keluar dan terdorong untuk memasuki lubang serviks. Dan juga, jika alat sulit suami dikeluarkan sejurus selepas ejakulasi, akan ada lebihan air mani. Jika alat sulit dibiarkan lebih lama di dalam lubang faraj, lebihan tersebut akan keluar ketika ia masih berada di dalam.

#10. Elakkan tekanan dan berfikiran positif

(Gambar sekadar hiasan) Sumber: istockphoto

Dalam usaha untuk hamil, emosi para isteri pun memainkan peranan yang penting tau! Anda hendaklah bijak dalam mengawal emosi dan mengatasi tekanan. Sentiasalah berfikiran positif setiap kali menghadapi masalah dan cubalah mengatasinya sebaik boleh.

Ini penting ya! Jangan dipendam kekusutan anda dan luahkanlah kepada sesiapa yang anda percayai. Emosi yang stabil dapat mempengaruhi hormon dan sekali gus meningkatkan tahap kesuburan anda.

#11. Elakkan pengambilan alkohol, kafein dan rokok

Sumber: istockphoto

Minuman beralkohol dan berkafein dapat memberi kesan negatif terhadap kesihatan anda terutamanya jika diambil secara berlebihan. Dalam usaha untuk mendapatkan zuriat, sebaiknya anda hentikanlah sebarang pengambilan alkohol, kafein dan rokok.

Jika sebelum ini itu menjadi tabiat anda, belajarlah untuk berubah bukan sahaja untuk kebaikan keluarga anda malah diri sendiri. Cubalah secara beransur-ansur dan dapatkanlah bantuan sewajarnya. Lama-kelamaan, anda pasti berjaya!

Sumber: istockphoto

Selain daripada melakukan IVF, terdapat pelbagai tips dan cara untuk hamil yang boleh diusahakan seperti mengamalkan gaya hidup yang sihat, menjaga pemakanan, mengatasi tekanan dengan efektif dan melakukan hubungan intim dengan kaedah tertentu. Usahlah risau berlebihan tetapi cuba dahulu ya? Semoga berjaya!