Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Ketahui Bagaimana Untuk Kurangkan Berat Badan Dengan Cepat Dan Selamat

Setiap individu tentu ingin tubuh badan yang sihat, kuat, kurus, dan kencang. Walaupun sebenarnya tiada cara untuk kurus yang serta merta, masih ada pelbagai cara untuk mencapai matlamat tubuh badan yang diingini dengan selamat dan juga agak cepat.

Untuk ketahui jika berat tubuh badan Mommy adalah ideal, Mommy boleh lihat cara untuk kira BMI di sini. Tetapi jika berat badan Mommy termasuk dalam kategori yang tidak normal dan doktor menyarankan agar Mommy menurunkan berat badan, terdapat beberapa cara untuk menurunkan berat badan dengan selamat.

Penurunan berat badan yang stabil sebanyak 0.5 ke 1kg setiap minggu disyorkan untuk pengurusan berat badan jangka panjang yang paling berkesan.

Walau bagaimanapun, terdapat banyak jenis diet yang boleh membuatkan Mommy berasa lapar atau tidak puas lepas makan. Ini adalah sebab utama mengapa ramai orang mungkin berasa sukar untuk mengikuti pelan pemakanan yang lebih sihat.

Namun, Mommy harus ingat bahawa tak semua diet mempunyai kesan ini. Diet rendah karbohidrat dan diet rendah kalori pada kebiasaannya berkesan untuk penurunan berat badan dan mungkin lebih mudah untuk dipatuhi berbanding diet lain.

Mari tengok beberapa cara untuk kurus yang boleh dipakai sesuai dengan gaya hidup Mommy.

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

10 Cara Untuk Kurus Yang Selamat Dan Mampu Memberi Kesan Positif

1. Kurangkan Makanan Berkarbohidrat Dan Diproses

Salah satu cara yang efektif untuk menurunkan berat badan adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan karbohidrat, kanji, dan gula yang tinggi. Mommy boleh menggantikannya dengan bijiran penuh.

Dengan cara ini, tahap kelaparan Mommy akan turun, dan biasanya akan makan lebih sedikit kalori berbanding sebelum ini.

Diet yang kurang kalori juga boleh membantu dengan penurunan berat badan dan lebih mudah untuk dikekalkan untuk jangka masa yang lebih lama.

2. Berpuasa Selang-Seli

Perasan tak, waktu bulan puasa, berat badan Mommy mesti turun sedikit kan? Iyelah, disebabkan tidak makan satu hari, tentulah berat badan pun turun!

Puasa berselang-seli atau lebih dikenali sebagai intermittent fasting ialah cara pemakanan yang melibatkan puasa jangka pendek yang tetap dan pengambilan makanan dalam tempoh masa yang lebih singkat pada siang hari.

Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa puasa berselang-seli jangka pendek, iaitu sehingga dalam 24 minggu dapat membantu dengan penurunan berat badan bagi individu yang berlebihan berat badan.

Terdapat beberapa cara popular untuk membuat intermittent fasting seperti berpuasa selang satu hari, puasa dalam jumlah dua hari daripada tujuh hari, dan juga berpuasa dalam 16 jam dan hanya makan dan minum dalam tempoh 8 jam dalam sehari.

3. Mencatat Atau Merekod Diet Dan Senaman

Sumber: Adobe Stock

Salah satu cara untuk kurus yang efektif ialah dengan mencatat apa yang Mommy makan dan senaman apa yang dibuat setiap hari.

Secara psikologi, ia dapat membantu Mommy meneruskan perjuangan untuk menurunkan berat badan, dan ia juga dapat membantu mendisiplinkan Mommy dalam mengikuti jadual yang telah ditetapkan.

Lama-kelamaan, pemakanan yang sihat dan senaman yang kerap akan menjadi suatu tabiat yang akan Mommy ikuti dalam jangka masa yang panjang.

4. Makan Makanan Yang Mengandungi Protein Untuk Sarapan Pagi

Makanan yang kaya dengan protein seperti telur, oat, mentega kacang, dan quinoa amat berkhasiat dan sesuai untuk dimakan jika ingin menurunkan berat badan.

Protein dapat mengawal hormon selera makan untuk membantu Mommy berasa kenyang. Ini biasanya disebabkan oleh penurunan hormon lapar ghrelin dan peningkatan dalam hormon kenyang peptida YY, GLP-1 dan cholecystokinin.

Kajian juga juga telah menunjukkan bahawa kesan hormon daripada memakan sarapan pagi berprotein tinggi boleh bertahan selama beberapa jam.

5. Makan Makanan Serat Tinggi

Tidak dinafikan lagi bahawa makanan yang tinggi dengan serat dapat membantu menurunkan berat badan.

Memastikan Mommy memakan makanan yang kaya dengan serat boleh meningkatkan rasa kenyang, jadi ini yang boleh membantu kepada penurunan berat badan.

Makanan yang kaya dengan serat termasuklah makanan berasaskan bijiran penuh seperti pasta bijiran penuh dan roti bijiran penuh, serta buah-buahan, sayur-sayuran, dan biji-biji kacang.

6. Flora Bakteria Usus Yang Seimbang

Sumber: Adobe Stock

Usus manusia menampung sejumlah besar dan pelbagai mikroorganisma, termasuk dalam 37 trilion bakteria. Setiap individu mempunyai jenis dan jumlah bakteria yang berbeza dalam usus mereka.

Kajian terkini lebih mengkhususkan tentang peranan bakteria dalam usus terhadap pengurusan dan penurunan berat badan.

Ini kerana dikatakan sesetengah jenis bakteria boleh meningkatkan jumlah tenaga yang didapati daripada makanan daripada individu tersebut yang dapat membawa kepada pemendapan lemak dan penambahan berat badan.

Beberapa jenis makanan boleh meningkatkan bilangan bakteria baik dalam usus seperti makanan yang ditapai atau diperam dan makanan prebiotik yang dapat merangsang pertumbuhan dan aktiviti beberapa bakteria baik yang membantu mengawal berat badan.

7. Dapatkan Tidur Secukupnya

Mommy tentu pernah dengar istilah ‘beauty sleep‘ betul tak? Ia bukan sekadar mitos, tetapi banyak kajian telah menunjukkan bahawa peningkatan obesiti dikaitkan dengan masa tidur yang kurang daripada lima hingga enam jam setiap malam.

Tidur yang tidak mencukupi atau tidak berkualiti boleh melambatkan proses penukaran kalori kepada tenaga yang dipanggil metabolisme.

Apabila metabolisme kurang berkesan, badan mungkin menyimpan tenaga yang tidak digunakan sebagai lemak.

Selain itu, tidur yang tidak mencukupi atau tidak berkualiti boleh meningkatkan pengeluaran insulin dan kortisol, yang juga mendorong kepada penyimpanan lemak.

Tambahan pula, berapa lama Mommy tidur juga boleh mempengaruhi hormon leptin dan ghrelin yang mengawal selera makan. Jadi tak perlu dapatkan alasan lain untuk tidur lebih atau mencukupi kerana alasan ini sudah cukup kukuh!

Sumber: Getty Images

8. Kawal Tahap Tekanan / Stres

Stres atau tekanan tinggi sering dikaitkan dengan penurunan dan kenaikan berat badan. Ini adalah kerana stres mencetuskan pembebasan hormon seperti adrenalin dan kortisol, yang pada awalnya mengurangkan selera makan sebagai sebahagian daripada tindak balas melawan badan.

Akan tetapi, apabila Mommy mengalami tekanan yang berterusan, kortisol boleh kekal dalam aliran darah dengan lebih lama, justeru meningkatkan selera makan dan berpotensi menyebabkan Mommy makan lebih banyak!

Kortisol pula memberi isyarat kepada badan untuk meningkatkan simpanan bahan untuk dibakar sebagai tenaga oleh badan, iaitu karbohidrat. Insulin kemudian mengangkut gula daripada karbohidrat dari darah ke otot dan otak.

Sekiranya gula ini tidak digunakan, badan Mommy akan menyimpannya sebagai lemak. Sebab itulah penting bagi setiap orang untuk mengawal stres bukan sahaja supaya berat badan tidak terjejas, tetapi juga untuk kesihatan badan secara keseluruhan.

9. Tetapkan Senaman Harian

Sumber: Getty Images

Mommy tak perlu bersenam dengan gigih atau ekstrem setiap hari, tapi pastikan badan Mommy bergerak dengan secukupnya setiap hari.

Walaupun tidak diperlukan untuk menurunkan berat badan, bersenam dapat membantu Mommy menurunkan berat badan dengan lebih cepat.

Mengangkat berat adalah salah satu jenis senaman yang efektif untuk menurunkan berat badan kerana Mommy akan membakar banyak kalori dan menghalang metabolisme daripada dilambatkan.

Lengkapkan senaman angkat berat dengan kardio untuk mendapat kesan penurunan berat badan yang lebih efektif.

Tambahan pula, bersenam memang bagus untuk kesihatan Mommy secara menyeluruh. Pastikan Mommy mendapatkan kelulusan dari doktor untuk membuat apa-apa jenis senaman jika Mommy mempunyai masalah kesihatan lain.

10. Minum Air Secukupnya

Walaupun nasihat atau tips ini amat ringkas, tetapi ia sebenarnya amat penting dalam membantu menurunkan berat badan, terutamanya dengan meminum air kosong sebelum makan.

Satu kajian menunjukkan bahawa meminum air sebelum makan dapat mengurangkan pengambilan kalori dan mungkin berkesan dalam pengurusan berat badan.

Sambil itu, Mommy juga perlu kurangkan minum air yang tinggi dengan kandungan gula kerana kebanyakannya mempunyai kalori kosong yang boleh menghalang penurunan berat badan yang efektif.


Walaupun terdapat banyak cara untuk kurus seperti yang disenaraikan tadi, apa yang penting ialah memahami bahawa tiada jalan pintas untuk cepat kurus.

Semuanya perlu ada ikhtiar dan usaha dari individu yang ingin mencapai matlamat untuk menurunkan berat badan.

Pemakanan yang seimbang dan penuh dengan serat berpasangan dengan senaman yang sesuai tentu dapat membantu mencapai matlamat tersebut. Semoga bermanfaat.