Ibu, Bayi & Kanak Kanak

5 Cerita Puteri Dongeng Untuk Kanak-Kanak

Sumber: beritamagelang.id

Kebanyakan kanak-kanak memang suka dengan cerita dongeng, terutamanya tentang puteri-puteri yang menarik! Selain daripada fairy tales yang popular dari negara Barat, di negara kita juga turut mempunya pelbagai cerita dongeng tempatan tentang puteri-puteri yang menjadi idaman kanak-kanak.

Cerita-cerita dongeng tentang puteri bukan sahaja direka untuk kanak-kanak perempuan, malah ia juga sesuai untuk kanak-kanak lelaki kerana kebanyakan cerita-cerita tersebut mempunyai tauladan atau pengajaran yang boleh diikuti oleh semua kanak-kanak.

Berikut adalah beberapa cerita puteri dongeng tempatan popular yang boleh Mommy ceritakan pada anak-anak kecil untuk dijadikan teladan.

Koleksi Cerita Puteri untuk Kanak-kanak

1. Lagenda Puteri Santubong Dan Puteri Sejinjang

Highlighted

Sumber: katamalaysia.my

Pada suatu ketika dahulu, terdapat dua buah kampung yang terletak berdekatan dengan satu sama lain. Walaupun berjiranan, kedua buah kampung tersebut yang dinamakan Kampung Pasir Putih dan Kampung Pasir Kuning sering bermusuhan.

Untuk menamatkan persengketaan kedua-dua kampung itu, dua puteri telah diutuskan dari kayangan untuk menyeleraikan perbalahan tersebut dan mencapai kedamaian. Puteri-puteri tersebut bernama Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang. Mereka berjanji untuk menamatkan persengketaan yang tidak bermanfaat itu.

Kedua puteri raja itu dikatakan adik-beradik atau sepupu yang seiras rupa parasnya. Puteri Santubong telah diminta untuk ke Kampung Pasir Kuning manakala Puteri Sejinjang diminta untuk ke Kampung Pasir Putih. Kedua puteri dari kayangan ini telah bersumpah supaya tidak lagi berlaku persengketaan antara kedua buah kampung ini.

Puteri Santubong memiliki bakat dan kepakaran menenun serta menjahit kain. Beliau telah memperturunkan ilmunya kepada penduduk kampungnya untuk menghasilkan pakaian cantik dan indah. Perkara ini telah menarik perhatian pedagang luar termasuklah seorang putera yang kacak.

Puteri Santubong telah jatuh hati pada putera tersebut yang bernama Putera Serapi. Pada masa yang sama, Puteri Sejinjang pun telah jatuh hati terhadap putera kacak tersebut. Perkara ini telah menimbulkan pergaduhan di antara kedua puteri tersebut. Disebabkan mereka telah melanggar sumpah untuk memastikan kedamaian, Puteri Santubong telah disumpah untuk menjadi Gunung Santubong dan Puteri Sejinjang disumpah untuk menjadi Gunung Sejinjang.

2. Puteri Gunung Ledang

Sumber: themelakakini.com

Suatu ketika dahulu di puncak Gunung Ledang, tinggal seorang puteri bernama Puteri Gunung Ledang yang amat terkenal dengan kebijaksanaan dan kecantikannya. Tiada seorang pun yang pernah mendaki sampai ke puncak gunung tersebut kerana dikatakan sangat jauh dan banyak rintangan. Tambahan pula, terdapat banyak binatang buas di dalam hutan Gunung Ledang itu.

Berita tentang kecantikan Puteri Gunung Ledang sampai ke telinga seorang sultan di istana Melaka. Sultan tersebut mempunyai seorang putera yang masih kecil. Baginda ingin menjadikan Puteri Gunung Ledang sebagai permaisurinya. Justeru, baginda memerintahkan pembesar istana untuk menghantar utusan peminangan itu kepada Puteri Gunung Ledang.

Diketuai oleh Tun Mamat, rombongan peminangan tersebut berangkat ke Gunung Ledang membawa pelbagai hadiah dari sultan Melaka untuk tuan puteri. Mereka terpaksa melalui pelbagai rintangan untuk sampai ke puncak gunung.

Di pertengahan jalan, rombongan tersebut berjumpa dengan seorang nenek kebayan. Mereka bertanyakan arah ke istana Puteri Gunung Ledang, dan nenek kebayan tersebut menunjukkannya. Mereka meneruskan perjalanan mereka tanpa mengetahui Puteri Gunung Ledang telah menyamar sebagai nenek kebayan itu.

Akhirnya rombongan itu sampai ke istana Puteri Gunung Ledang yang mewah dan cantik. Tun Mamat pun memberitahu hajat Sultan Melaka untuk meminang tuan puteri. Puteri Gunung Ledang bersetuju untuk menerima pinangan itu jika Sultan Melaka dapat memenuhi syarat yang dia tetapkan. Antaranya termasuklah syarat-syarat yang mustahil seperti tujuh dulang hati nyamuk, tujuh tempayan air mata anak dara, dan semangkuk darah anak putera Sultan Melaka.

Rombongan tersebut pun pulang ke Melaka dan memberitahu Sultan tentang syarat-syarat Puteri Gunung Ledang itu. Akhirnya Sultan Melaka membatalkan niatnya untuk meminang tuan puteri kerana tidak sanggup membunuh anaknya.

3. Puteri Gunung Banang

Sumber: lobakmerah.com

Menurut hikayat dahulu kala, dikatakan puteri Gunung Ledang mempunyai seorang saudara yang dipanggil Puteri Gunung Banang yang menetap di Gunung Banang yang terletak di pinggir bandar Batu Pahat. Puteri ini juga mempunyai tujuh adik beradik lain termasuklah Puteri Gunung Panti di Kota Tinggi dan Puteri Gunung Beremban di sempadan Pahang dan Johor.

Semua puteri ini dikatakan makhluk ghaib dan tidak boleh dilihat mata kasar. Mereka dikatakan hanya muncul untuk membantu orang yang tersesat di gunung-gunung itu.

Menurut cerita teladan, Puteri Gunung Banang merupakan seorang puteri yang sangat jelita dan pernah membantu seorang lelaki hodoh dan miskin menjadi seorang yang kacak dan kaya kerana mempunyai hati yang jujur dan rajin.

Malangnya lelaki itu kemudian disumpah menjadi monyet kerana telah melanggar janji dan menjadi sombong dan angkuh dengan kekacakan dan kekayaannya.

4. Puteri Walinong Sari

Sumber: Twitter @twt_malaysia

Pada suatu masa dahulu, dikatakan ada seorang wanita lagenda yang berasal dari Pahang yang dahulunya dikenali sebagai Inderapura. Wanita tersebut dipanggil Puteri Walinong Sari, iaitu seorang puteri yang bukan sahaja jelita, malah sangat cekap dalam bersilat dan tangkas mengendalikan lembing dan pedang.

Tambahan pula, tidak seperti puteri-puteri di Alam Melayu yang lain, Puteri Walinong Sari tidak pandai berhias dan tidak juga lemah lembut dalam perlakuannya. Puteri tersebut dikatakan amat berminat dengan perlawanan sabung ayam. Disebabkan sikapnya yang tidak seperti puteri-puteri lain, nama Walinong Sari tersebar ke merata tempat dan mendapat perhatian Sultan Melaka. Sultan tersebut kemudiannya menjadikan Puteri Walinong Sari sebagai salah seorang dari isterinya.

Pada masa yang sama, Raja Mambang Segara dari Gunung Tahan juga telah mengetahui tentang Puteri Walinong Sari dan menyimpan perasaan terhadapnya.

Beliau kemudian mengubah dirinya menjadi seekor merpati untuk menjenguk siapakah sebenarnya puteri yang hebat itu. Raja Mambang Segara kemudian berpura-pura untuk bertarung dengan Puteri Walinong Sari dan seterusnya mereka berdua jatuh cinta selepas bertentang mata dan Puteri Walinong Sari mengetahui rahsia sebenar Raja tersebut.

Tidak lama kemudian Walinong Sari dikhabarkan menghilangkan diri dari Melaka demi mencari cinta sejatinya di Gunung Tahan.

5. Ratu Pelangi

Sumber: lobakmerah.com

Menurut sejarah Kerajaan Melayu Patani, Kerajaan tersebut pernah diperintah Ratu Pelangi, iaitu empat orang puteri yang namanya berdasarkan warna pelangi. Kesemua empat ratu tersebut memerintah Kerajaan Patani sekitar tahun 1584 hingga 1649.

Tiga daripada puteri itu merupakan anak kepada Sultan Patani, manakala yang terkahir adalah anak kepada salah satu puteri dari tiga beradik itu.

Disebabkan Sultan Patani tidak mempunyai anak lelaki, puteri sulungnya, iaitu Puteri Hijau menaiki takhta sebagai seorang ratu yang adil dan bijaksana. Semasa pentadbiran baginda, negeri Patani sangat masyur dan berjaya dari segi bidang perdagangan.

Selepas kemangkatan Puteri Hijau, adiknya Puteri Biru pula menaiki takhta. Puteri Biru pula telah memajukan sistem pengairan Patani. Setelah Puteri Biru mangkat, baginda digantikan pula oleh adik bongsunya, Puteri Ungu. Ketika pentadbiran Puteri Ungu, Patani mengalami serangan dari Siam namun berjaya ditewaskan.

Puteri Ungu kemudian bernikah dengan Sultan Abdul Ghafur dan dikurniakan anak yang diberi nama Puteri Kuning.

Puteri Kuning menaiki takhta menggantikan bondanya dan berkahwin dengan Sultan Johor. Di bawah pemerintahan Puteri Kuning, Patani telah mempunyai 43 tanah jajahan . Puteri Kuning memerintah selama 14 tahun dan kemudian mangkat pada 1649 tanpa meninggalkan sebarang pewaris.


Hebat betul cerita puteri untuk kanak-kanak ini kan? Cerita-cerita ini dan juga cerita dongeng pendek yang lain sangat sesuai dijadikan teladan untuk anak-anak kecil kerana menunjukkan sesiapa sahaja boleh berjaya dalam kehidupan dengan usaha yang gigih.

Terutama sekali buat anak-anak perempuan, cerita-cerita ini dapat memberikan keyakinan dan semangat bagi mereka. Semoga anak Mommy gembira dan seronok mendengar mana-mana cerita teladan yang disebutkan tadi.