Membaca kepada anak-anak adalah suatu pengalaman istimewa buat ramai ibu bapa. Mata anak yang mengikut pergerakan tangan Mommy serta ekspresi wajah mereka menantikan apa yang akan berlaku seterusnya dalam cerita tersebut boleh membuat Mommy tersenyum.
Ada banyak pilihan buku yang boleh didapati di pasaran yang sesuai untuk kanak-kanak, tapi kadang kala Mommy mesti tak sempat nak pilih buku untuk dibaca.
Kalau perkara tersebut terjadi, Mommy boleh kongsikan cerita sebelum tidur untuk kanak-kanak yang bermoral seperti koleksi kisah dongeng pendek yang popular.
Tanpa buku, anak Mommy tentu akan teruja mengimaginasikan watak-watak atau adegan-adegan yang diceritakan itu.
Berikut adalah beberapa cerita sebelum tidur untuk kanak-kanak yang sudah popular sejak berkurun lamanya. Mommy jangan lupa untuk selitkan pengajaran daripada cerita-cerita ini selepas habis bercerita ya!
7 Cerita Sebelum Tidur Untuk Kanak-Kanak
1. Singa Dan Arnab
Pada suatu hari, seekor singa yang sudah beberapa hari tidak makan ternampak seekor arnab yang sedang tidur di bawah pokok. Singa tersebut berfikir, “Akhirnya! Sesuatu yang lazat untuk aku makan!”.
Apabila menghampiri arnab tersebut, si singa ternampak pula seekor rusa yang sedang lalu berhampirannya. Si singa pun berfikir, “Rusa ni nampak lebih menyelerakan! Baik aku mengejarnya!”.
Si singa pun beralih arah dan meluru untuk membaham si rusa. Bunyi tersebut membuatkan si arnab terbangun dan setelah menyedari apa yang sedang berlaku, dia pun lari untuk menyorok daripada singa tersebut.
Malangnya bagi si singa, rusa tersebut juga berjaya lari dari pandangannya, lalu si singa gagal menangkap rusa tersebut. Si singa berfikir dia masih ada si arnab tadi untuk dijadikan makanan, akan tetapi arnab tadi pun sudah tiada!
Pengajaran: Jangan jadi tamak atau anda boleh kehilangan segalanya.
2. Semut Dengan Merpati
Pada suatu hari yang panas, seekor semut sedang mencari air untuk diminum. Setelah lama berjalan, si semut pun terjumpa sebuah kolam.
Ketika hendak mengambil air dari kolam tersebut, si semut tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam! Seekor burung merpati yang sedang bertenggek di atas pokok ti tepi kolam tersebut ternampak apa yang terjadi dan cepat-cepat menolong semut tersebut dengan menghulurkannya sehelai daun supaya semut itu dapat panjat ke atasnya.
Daun itu hanyut ke tebing sungai dan semut pun dapat naik ke tebing kolam. Pada masa yang sama, seorang pemburu terlihat si burung merpati dan melemparkan jeratnya ke arah merpati.
Si semut menggigit kaki si pemburu itu dan melepaskan jeratnya dan si merpati berjaya terbang untuk menyelamatkan diri.
Pengajaran: Perbuatan baik akan dibalas baik juga.
3. Anjing Yang Tamak
Pada suatu hari, ada seekor anjing yang berasa amat bangga kerana telah mendapat seketul tulang yang besar dari pasar. Ia menggonggong tulang itu sambil berlari ke tempat yang selamat untuk memakan tulang itu.
Anjing tersebut sampai ke sebatang air sungai yang mempunyai air yang sangat jernih. Ia mula berjalan dengan perlahan-lahan untuk menyeberangi sungai tersebut. Tiba-tiba, ia ternampak bayangannya di dalam sungai yang jernih itu memandang dirinya dan menyangka itu adalah anjing lain yang menggonggon tulang juga!
Anjing itu berfikir tulang itu nampak lebih besar, jadi ia mahu mengambilnya. Anjing itu pun membuka mulutnya untuk merampas tulang daripada “anjing lain” itu, malangnya tulang tersebut jatuh ke dalam sungai dan dibawa pergi oleh arus sungai. Bayangan anjing tersebut dalam sungai itu pun hilang.
Pengajaran: Jangan tamak dan bersyukur dengan apa yang ada.
4. Burung Gagak Yang Pandai
Pada suatu hari yang panas terik, seekor burung gagak berasa sangat dahaga dan ingin mencari air untuk diminum.
Setelah lama mencari air, burung gagak tersebut terjumpa sebuah botol berisi air. Ia melihat ke dalam botol tersebut dan mendapati ia mempunyai air.
Walau bagaimanapun, kepala botol itu terlalu sempit untuk burung gagak tersebut memasukkan mulut ke dalamnya. Setelah berfikir sebentar, burung gagak itu mula mengambil batu yang kecil satu demi satu dan memasukkannya ke dalam botol tersebut.
Lama-kelamaan, paras air di dalam botol tadi mula meninggi kerana ditolak oleh ketulan batu tadi. Akhirnya, si burung gagak pun dapat meminum air tersebut.
Pengajaran: Usaha yang gigih dapat membuahkan hasil lumayan.
5. Pengembala Biri-Biri
Pada suatu ketika dahulu, ada seorang budak yang bekerja sebagai pengembala biri-biri. Setiap hari, dia akan membawa sekumpulan biri-biri ke lembah rumput yang besar untuk makan.
Suatu hari, budak tersebut berasa bosan dan menjerit, “Tolong! Serigala! Serigala memakan biri-biri!”. Penduduk kampung terdengar jeritannya dan segera bergegas untuk menolong. Budak tersebut ketawa sahaja kerana menganggapnya lucu.
Penduduk kampung memberi amaran untuk tidak bergurau seperti itu lagi. Keesokan harinya, ketika biri-birinya sedang makan, budak tersebut sekali lagi bergurau dengan menjerit “Tolong! Serigala!”, dan sekali lagi penduduk kampung bergegas untuk menolong. Tetapi budak tersebut hanya mentertawakan mereka.
Penduduk kampung berasa sangat marah. Suatu hari, ketika kambing biri-birinya sedang makan, seekor serigala muncul dan membaham beberapa ekor biri-biri!
Budak tersebut menjerit, “Tolong! Serigala!” tetapi tiada satu penduduk pun yang muncul kerana menganggap budak itu sedang menipu lagi.
Pengajaran: Jangan menipu kerana orang tidak akan percaya lagi walaupun bercakap benar.
6. Batu Besar Di Atas Jalan
Suatu ketika dahulu, seorang raja di sebuah negeri memerintahkan pekerja-pekerjanya untuk meletakkan satu batu besar di atas jalan.
Setelah batu itu diletakkan, raja tersebut bersembunyi ditepi jalan untuk melihat siapa yang akan menolong mengalihkan batu besar tersebut.
Golongan orang kaya dan pedagang yang lalu tidak melakukan apa-apa untuk mengalihkannya, sebaliknya hanya melihat dan mengadu tentang keadaan tersebut dan menyalahkan raja negeri itu kerana tidak membuat apa-apa.
Selepas beberapa ketika, seorang petani yang miskin yang sedang membawa beban di atas bahunya berhenti dan bertungkus lumus untuk menolak batu besar tersebut untuk memudahkan orang lain berjalan di atasnya.
Kemudian dia ternampak satu beg kecil di mana batu tadi berada, dan mendapati di dalamnya mempunyai syiling emas dan nota daripada raja tadi yang menyatakan emas tersebut adalah pemilik sesiapa yang menolong mengalihkan batu tersebut.
Pengajaran: Halangan di jalan dapat membantu kita menjadi lebih baik dan menolong sesiapa akan dibalas dengan sesuatu yang lumayan.
7. Arnab Dan Kura-Kura
Pada zaman dahulu di sebuah rimba, tinggal beberapa jenis haiwan termasuk arnab dan kura-kura. Si arnab sering berlari ke sana-sini dengan laju dan mengejek kura-kura kerana terlalu lembap! Si kura-kura berkata, “Memang betul aku lembap! Tapi aku ingin mencabar kau untuk berlumba!”.
Si arnab setelah mendengar cabaran kura-kura itu mula ketawa terbahak-bahak dengan kuat. Haiwan-haiwan lain terdengar ketawa si arnab itu dan bertanyakan kenapa dan si arnab pun menerangkan kepada mereka.
Mereka bersetuju untuk melihat perlumbaan tersebut dan menjadi saksi kepada pemenangnya. Malam itu kura-kura tidur awal untuk mendapatkan rehat yang cukup, manakala si arnab yang terlebih yakin itu terus bermain-main dan tidur lewat.
Keesokan harinya setelah perlumbaan bermula, si arnab lari dengan pantas dan berasa penat, lalu berehat di bawah pokok kerana yakin dia akan menang dan si kura-kura tidak akan mengatasinya.
Sementara si arnab tidur nyenyak, kura-kura yang berjalan itu, walaupun perlahan, tetapi tidak berhenti dan berjaya melepasi arnab yang masih tidur di bawah pokok.
Selepas beberapa ketika, si arnab terjaga dan menyedari bahawa dia tertidur terlalu lama dan si kura-kura hampir ke garisan tamat!
Si arnab pun cepat-cepat berlari tetapi sering terlanggar batu-bata, pokok, dan macam-macam lagi, dan akhirnya kura-kura pun berjaya melintasi garisan penamat sebelum si arnab dan memenangi perlumbaan tersebut.
Pengajaran: Jangan angkuh dengan bakat sendiri dan mengejek kelemahan orang lain.
Cerita-cerita yang disebutkan di atas tadi amat popular bukan sahaja sebagai cerita dongeng melayu, tetapi ia juga menjadi cerita-cerita yang selalu digunakan diseluruh pelosok dunia sebagai cerita sebelum tidur untuk kanak-kanak.
Melalui cerita-cerita ini juga, Mommy boleh mengajar anak-anak membaca buku.
Semoga anak-anak Mommy seronok mendengar cerita-cerita tersebut dan dapat mengambil teladan dan pengajarannya.