Dah selesai bertunang, kini bakal pengantin akan sibuk menguruskan persiapan kahwin pula. Banyak benda nak buat ni. Risau pula kalau ada yang tertinggal atau terlambat rancang.
20 Checklist Kahwin Daripada 12 Bulan Sebelum Sehingga Ke Hari Majlis
Jom, Motherhood kongsikan 20 checklist kahwin yang penting daripada 12 bulan sebelum sehingga ke hari majlis, khas untuk bakal pengantin semua!
12 bulan – 6 bulan sebelum majlis
#1. Buat tentatif majlis secara details
Setahun sebelum kahwin ni, kena ada clear picture terus tentang perancangan hari perkahwinan nanti. Ataupun kalau ada malam berinai, dari hari sebelumnya lagi. Itu bergantung kepada bakal pengantin lah.
#2. Tentukan bajet untuk kesemuanya
Yang ini berkait dengan tentatif majlis ya. Selain daripada menetapkan jumlah mas kahwin, bajet keseluruhan perlu dirangka terus. Sebaiknya, putuskan terus anggaran kos belanja untuk persiapan kahwin.
Biar perancangan nanti seiring dengan keadaan kewangan bakal pengantin kedua-duanya.
#3. Tempah wedding hall dan katering
Kalau rancang nak buat kenduri di dewan atau di taman tertutup ke, memang kena tempah awal-awal. Risau nanti tarikh majlis kita dah ada orang booked. Sebab itulah kena bincang awal-awal, nak buat majlis di mana.
Kalau di rumah pengantin perempuan, tak apalah. Kalau nak buat di tempat lain dan nak gabungkan majlis antara belah pengantin perempuan dan lelaki, memang kena pilih wedding venue dan tempah secepatnya.
Jangan lupa juga untuk buat food testing untuk hidangan makanan di majlis nanti ya.
#4. Tempah pakej kahwin
Setiap orang biasanya akan ada impian tersendiri tentang hari perkahwinan mereka. Haa.. sekarang lah masanya untuk realisasikan. Tapi kena cepat-cepat cari pakej idaman dan tempah terus ya.
Dari busana pengantin, pelamin, meja berhias, pakej mekap dan berinai serta macam-macam lagi ni kena tentukan terus tau!
#5. Tempah jurugambar
Antara perancangan lain yang tak boleh lengah-lengahkan juga adalah, tempah slot untuk jurugambar. Mereka memang sibuk ya, bukan sahaja dengan majlis perkahwinan tetapi events lain juga.
Jadi, rancang awal-awal slot untuk indoor dan outdoor photoshoot, sesuai dengan perancangan yang lain.
#6. Buat pilihan barang hantaran
Masa ni juga, bincangkan dan tetapkan terus barang hantaran yang diinginkan. Bukannya apa, nak cari barang dah satu hal, nanti nak hias tapak hantaran lagi. Kalau ada masalah apa-apa, sekurang-kurangnya tak kalut sangat.
Pilih terus dan pastikan semua barang yang diinginkan memang ada di pasaran. Nanti tunggu nak grab je.
Kalau hantaran yang barang mudah rosak seperti kek dan buah ke, itu boleh rancang dan tempah awal lah. Nanti sehari dua nak kahwin boleh fokus hias yang tu je.
Jangan lupa tempah slot untuk gubah hantaran kalau nak upah orang atau kedai tertentu ya?
5 bulan sebelum majlis
#7. Urus dokumen permohonan kahwin
Biasanya kurang setengah tahun sebelum tarikh yang dirancang, pengantin akan sibuk naik turun di pejabat majlis agama untuk uruskan dokumen permohonan kahwin.
#8. Buat test HIV
Masa ni juga, kena buat test HIV sebabnya, test ni lulus untuk beberapa bulan selepas tarikh test dibuat je tau. Jadi nak buat pemeriksaan awal-awal pun tak boleh.
Tapi tak perlu risau, kejap dan murah je caj pemeriksaan HIV ni.
#9. Selesaikan barang hantaran
Pilihan barang hantaran dah ada dan jelas sebelum ni, terus beli je pada waktu ini. Online atau di kedai, mana-mana pun okay. Dah beli tu, bolehlah gubah terus.
Ini sebenarnya kalau nak buat awal-awal sebelum 5 bulan sebelum majlis pun boleh. Cumanya kena pastikan ia selamat dan terjaga, sarungkan plastik dengan kemas ke supaya tak berhabuk dan rosak gubahannya.
Bergantung lah ya!
3 bulan sebelum majlis
#10. Selesaikan dokumen pernikahan
Dokumen pernikahan ni, dari permohonan, penetapan tarikh dan sebagainya, akan ada beberapa susulan yang perlu dibuat. Jadi memang kena naik turun pejabat agama masing-masing ya.
Setiap negeri pula cara pengurusannya berbeza. Jadi adalah lebih baik pengantin kena rajin follow-up dan selesaikan awal-awal segala urusan dokumen pernikahan ni.
Tambah-tambah lagi kalau yang pasangannya bukan warganegara Malaysia, prosesnya mungkin lebih rumit yang memerlukan maklumat tentang VISA dan kelulusan daripada negara pasangan.
#11. Design dan bermadah kad kahwin
Masa ni juga, adalah masa yang sesuai untuk buat kad kahwin dan bermadah kepada para tetamu. Bila tarikh dah tetap dan lokasinya pun booked semua, lebih senang untuk buat kad kahwin ni.
#12. Selesaikan pakej perkahwinan dan katering
Sebelum ni dah buat apa yang patut, bila dah 3 bulan sebelum kahwin ni, pastikan semuanya dah jelas dan sedia. Masa ni hanya untuk tambah dan kurangkan apa yang patut je tau.
#13. Pilih goodies dan asingkan terus bajet
Biasanya akan ada door gift lah sebagai kenang-kenangan dan tanda kesyukuran daripada pihak pengantin di atas kesudian tetamu untuk datang memeriahkan majlis.
Pilih yang mana berkenan dan sesuai dengan bajet ya. Kemudian terus asingkan wang peruntukan untuknya. Kalau goodies yang kering dan tahan lama, nak buat terus masa ni pun boleh. Asalkan ada ruang untuk simpan dan terjaga elok, tak ada masalah.
Lagilah bagus bila kesemuanya siap awal.
#14. Tempah slot berinai dan mekap
Tak semua pakej perkahwinan yang ada sediakan pakej berinai dan mekap. Kalau bakal pengantin ambil pakej yang macam ni, kenalah cari pakej berinai dan mekap yang lain.
Sekarang ni dah ramai artist mekap dan inai, tak macam dulu-dulu. Mak andam sorang dua je sekampung kan. Tapi kenalah book awal-awal ya.
Selewat-lewatnya 3 bulan sebelum majlis.
1 bulan sebelum majlis
#15. Follow-up pejabat agama
Seperti yang dijelaskan di atas, bakal pengantin perlu follow-up dari masa ke semasa urusan permohonan kahwin semua ni. Jadi ketika sebulan sebelum, kena semak status kesemuanya.
2 minggu sebelum majlis
#16. Sahkan tarikh dengan tok imam dan saksi
Beberapa minggu lagi nak kahwin, kena sahkan kehadiran tok imam dan para saksilah. Biar tarikh, masa dan tempat akad nikah jelas untuk kedua-duanya.
#17. Sediakan wang upah
Masa ni juga, selitkan terus duit upah untuk jurunikah, saksi dan yang lain-lain dalam sampul terus ya.
#18. Hias bilik raja sehari
Kalau ada perancangan untuk hias bilik pengantin, boleh dah hias ketika seminggu dua sebelum majlis. Kemas dan hias terus, jangan bagi siapa-siapa masuk pula ya. Risau kanak-kanak ke bermain nanti.
#19. Sahkan kesemua pakej dan tempahan kahwin
Dari pakej perkahwinan, lokasi majlis, slot berinai, mekap, pelamin, katering; sahkan kesemuanya pada waktu ini. Untuk beberapa hari sebelum tarikh majlis nanti, pengantin hanya perlu adjust apa-apa yang patut je kalau ada perubahan atau kecemasan.
1 hari sebelum majlis
#20. Berinai
Masa ni lah yang paling sesuai untuk berinai. Nanti inai cantik dan tak luntur, sesuai juga untuk pengantin rehat-rehat dan dimanjakan sehari sebelum majlis.
20 Checklist Kahwin Daripada 12 Bulan Sebelum Sehingga Ke Hari Majlis
Sebenarnya, checklist kahwin ni subjektif tau. Bergantung atas kesesuaian, citarasa dan perancangan bakal pengantin, ia boleh disesuaikan mengikut perancangan dan jadual masing-masing.
Yang penting, enjoy the moment dan semoga segala urusan untuk menjadi raja sehari dipermudahkan!
Jom baca 5 idea gubahan mas kahwin khas untuk bakal pengantin!