Golongan penjenayah pedofilia yang kemaruk melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak didapati semakin bertambah setiap tahun di negara ini.
Sebagai ibu bapa, penting untuk anda mengetahui apa itu child grooming dan berikan pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang salah laku seksual yang sering terjadi kepada kanak kanak pada zaman kini.
Hal ini sebagai langkah pencegahan supaya anak tidak terjerumus dalam tindakan negatif yang akan memberikan kesan buruk pada anak.
Kes pedofilia sangat berkait rapat dengan penyalahgunaan internet. Pemangsa akan mengeksploitasi kanak-kanak yang belum matang dari segi fizikal, mental dan emosi.
Ini terbukti apabila Polis Bukit Aman merekodkan 2,436 kes jenayah fizikal dan bukan fizikal dilakukan golongan ini terhadap kanak-kanak sejak tiga tahun lalu.
Apa itu Pedofilia?
Highlighted
Pedofilia adalah penyakit mental kronik yang menyebabkan penghidapnya berasa ghairah apabila melihat kanak-kanak atau gambar mereka.
Pedofilia ini adalah suatu perbuatan yang dianggap sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ini kerana pedofilia atau child grooming ini melibatkan kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa dijadikan sebagai hamba seks bagi seseorang yang mempunyai nafsu yang tidak normal.
Pedofil mungkin tertarik kepada kanak-kanak lelaki, perempuan, atau kedua-duanya, dan mereka mungkin tertarik kepada golongan remaja.
Apa itu Child Grooming?
Grooming adalah apabila seorang dewasa membina hubungan emosi dengan seorang kanak-kanak untuk mendapatkan kepercayaan mereka untuk tujuan penderaan seksual, eksploitasi seksual atau pemerdagangan.
Kanak-kanak dan remaja mungkin diperalatkan pemangsa sama ada secara atas talian atau secara bersemuka, oleh orang yang tidak mereka kenali atau oleh seseorang yang mereka kenali.
Kanak-kanak lelaki atau perempuan yang berumur 13 tahun kebawah dan remaja antara likungan 13-15 tahun yang sering menjadi tumpuan pemangsa pedofilia.
Tanda-tanda Grooming
Tanda-tanda grooming mungkin berbeza untuk setiap kanak-kanak, berikan perhatian yang sepenuhnya kepada pembesaran anak Mommy.
Sekiranya seorang kanak-kanak sedang diperalatkan pemangsa child grooming, mereka mungkin:
- Menjadi sangat perahsia, termasuklah tentang apa yang mereka lakukan dalam talian
- Mempunyai teman lelaki atau teman wanita yang lebih tua
- Pergi ke tempat asing untuk bertemu rakan-rakan
- Mempunyai barang baru seperti pakaian atau telefon bimbit yang mereka tidak boleh atau tidak akan menerangkan sumbernya
- Mempunyai akses kepada dadah dan alkohol
Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) diwujudkan bertujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada kegiatan eksploitasi seksual, selain mengambil kira kemajuan teknologi dan kewujudan media sosial.
Tips Mengajar Kanak-Kanak Mengenai Salah Laku Seksual
1. Ajar anak nama bahagian sulit tubuh badan
Mommy perlu ajar anak-anak tentang bahagian tubuh badan pada awal tumbesarannya dan tidak perlu berselindung atau berlapik dengan mereka.
Pastikan Mommy memilih nama yang sesuai atau mungkin gunakan terma dan istilah bahagian tubuh yang betul.
Elakkan guna perkataan salah yang boleh menimbulkan salah faham.
2. Ajar anak bahagian sulit tubuh badan adalah peribadi
Mommy perlu ajar anak untuk mengenali bahagian tubuh badan yang sulit dan tidak patut didedahkan kepada individu lain. Ajar mereka untuk tidak memberikan sesiapa melihat bahagian sulit tersebut selain ibu bapa.
Tegaskan kepada anak anda bahawa tiada siapa boleh mengambil foto atau video bahagian sulit mereka.
3. Ajar anak untuk tidak berahsia dengan anda
Mommy perlu mengajar anak untuk tidak berahsia walau dalam apa jua situasi. Sebagai ibu bapa, anda harus mengetahui apa yang berlaku kepada anak-anak terutama kepada mereka yang berdepan dengan masalah salah laku seksual.
4. Ajar anak anda mengetahui batasan
Ibu bapa biasanya akan ajar anak agar tidak membenarkan sesiapa menyentuh bahagian sulit mereka. Namun, anak-anak juga perlu diajari untuk tidak menyentuh bahagian sulit individu atau kanak kanak lain.
Ini kerana dalam kebanyakan kes salah laku seksual, pelaku meminta mangsa menyentuh tubuh badan mereka atau individu lain.
5. Ajar anak untuk mengelakkan atau melarikan diri
Apabila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali dan meminta melakukan sesuatu yang tidak elok, ajarkan anak Mommy untuk larikan diri apabila merasa tidak selamat.
Sekiranya individu terbabit tidak membenarkan mereka pergi, beritahu anak anda untuk menjerit bagi mendapatkan bantuan individu dewasa lain.
Pastikan Mommy mengajar anak-anakmengenai personal safety, iaitu bahagian mana yang langsung tidak boleh disentuh oleh orang lain. Seperti bibir, dada, punggung dan kemaluan.
Ini sangat penting untuk membuat mereka lebih mengenali dan memahami perbuatan seks sekali gus dapat mengelak salah laku seksual.
Semoga perkongsian ini dapat membantu Mommy Daddy untuk lebih ambil perhatian dan serius terhadap pendidikan seksual kepada kanak-kanak.
Dapatkan lebih banyak tips yang bermanfaat tentang penjagaan kanak-kanak di SINI.