Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Cara Cukur Jambul Bayi: Panduan Menurut Hukum dan Adat

cukur jambul

Kredit gambar: www.korbanaqiqah.com.my

Dalam Islam, kelahiran cahaya mata ini dianggap sebagai penyambung zuriat dan amanah terbesar dari Allah. Justeru itu, sudah pastilah sebagai ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak yang baru lahir ini.

Bagi menyambut dan meraikan kedatangan orang baru ini, tradisi cukur jambul adalah antara tradisi yang sering dilakukan selepas kelahiran bayi.

Namun, apakah sebenarnya amalan cukur jambul ini? Apakah hukumnya di sisi Islam? Kenapa perlu cukur jambul?

Ingin tahu lebih banyak mengenai cukur jambul ini, pastikan Mommy baca sampai habis untuk mengetahui apakah itu cukur jambul.

Apakah yang dimaksudkan dengan cukur jambul?

Cukur jambul atau cukur rambut bayi adalah suatu amalan sunat yang dilakukan selepas kelahiran bayi.

Amalan ini ialah suatu amalan di mana rambut bayi yang baru lahir dicukur lalu ditimbang rambut tersebut.

Kemudian, kadar jumlah dari timbangan rambut tersebut haruslah dinilaikan dengan timbangan emas atau perak.

Selepas itu, nilai tersebut perlu disedekahkan kepada mereka yang memerlukan.

Seperti sabda Rasulullah S.A.W kepada Saidatina Fatimah R.A yang bermaksud:

زِنِي شَعْرَ الْحُسَيْنِ وَتَصَدَّقِي بِوَزْنِهِ فِضَّةً، وَأَعْطِي الْقَابِلَةَ رِجْلَ الْعَقِيقَةِ

Maksudnya:

“Timbanglah rambut Hussein, dan sedekahkanlah dengan kadar timbangan itu dengan perak dan hadiahkan kepada bidan kaki binatang akikah itu.”

Hadis riwayat Hakim dan al-Baihaqi

Namun, ingat ya Mommy dan Daddy! Jika ingin mencukur jambul atau rambut bayi haruslah dicukur kesemuanya.

Jangan dicukur separuh-separuh yang mana perbuatan mencukur separuh-separuh tersebut dikenali sebagai qaza’.

Perbuatan ini dilarang oleh Rasulullah S.A.W. seperti yang terdapat dalam hadis riwayat al-Bukhari, daripada Abdullah bin Dinar r.a:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ القَزَعِ

Maksudnya:

Bahawa Rasulullah S.A.W. melarang daripada perbuatan qaza`.

Hadis riwayat al-Bukhari

Menurut Islam, amalan mencukur rambut bayi ini afdal atau sebaiknya dilakukan pada hari ketujuh kelahiran.

Namun, menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukum mencukur rambut bayi pada hari ketujuh adalah sunat.

Sebenarnya, adalah sebaiknya untuk melakukan aqiqah terlebih dahulu sebelum mencukur jambul atau rambut bayi.

Namun, pahala sunat tersebut masih lagi dikira sekiranya Mommy dan Daddy mencukur jambul/rambut bayi sebelum aqiqah dilakukan.

Bergantung kepada kewangan Mommy dan Daddy samada untuk mencukur sebelum atau selepas aqiqah.

Kenapa Perlu Cukur Rambut Bayi

Highlighted

Kredit gambar: islamdigest.republika.co.id

Pastinya ramai Mommy di luar sana yang tertanya-tanya kenapa perlu cukur jambul/rambut bayi ini? Hal ini kerana, terdapat bayi yang lahir dengan rambut yang sudah sememangnya cantik.

Namun, ketahuilah Mommy dan Daddy, Islam tidak akan membuat sebarang peraturan atau saranan yang tidak membawa kebaikan kepada umatnya.

Ternyata cukur rambut bayi ini adalah untuk menjaga kebersihan dan melindungi bayi dari sebarang penyakit yang tidak diingini.

Semasa berada di alam rahim, si manja Mommy diselaputi dengan darah. Oleh itu, mencukur rambut bayi sama seperti kita menyingkirkan benda kotor dari tubuh badan bayi yang mungkin tidak baik untuk anak Mommy.

Jangan risau Mommy, kerana rambut si manja akan tumbuh semula dan mungkin lebih cantik dari sebelum ini.

Cara Cukur Jambul/Rambut Bayi

Kredit gambar: majoriti.com.my

Terdapat beberapa cara untuk mencukur jambul/rambut bayi. Antara caranya adalah seperti berikut:

  1. Isikan air di dalam 1 bekas.
  2. Cuci kepala dan rambut bayi menggunakan syampu khas bayi terlebih dahulu.
  3. Gunakan pisau cukur yang bersih, tajam dan sebaiknya adalah pisau cukur yang baru.
  4. Cukur secara perlahan-lahan dan setiap kali mencukur celupkan ke dalam bekas berisi air yang disediakan.
  5. Cukur sehingga selesai dan kemudian lap bersih kulit kepala bayi. Kemudian lumurkan sedikit bedak sejuk.
  6. Ambil sehelai tisu dan letakkan di dalam penapis air. Ini bertujuan untuk menapis rambut yang terdapat di dalam bekas air tersebut.
  7. Biarkan penapis tersebut kering dan lipat tisu yang terdapat rambut tersebut dengan rapi. Kemudian letakkan di dalam bekas sebelum ditimbang.

Namun sebelum mencukur rambut bayi, disunatkan untuk membaca doa cukur rambut ini terlebih dahulu.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ الْحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ أَللهم نُوْرُ السَّمَاوَاتِ وَنُوْرُالشَّمْسِ وَالْقَمَرِ اللهم سِرُّ اللهِ نُوْرُ النُّبُوَّةِ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillhi robbil ‘alamin. Allahumma nurus samawati wa nurusy syamsyi wal qamari. Allahumma sirrullahi nurun nubuwwati rosulullahi shollallahu ‘alaihi wa sallama wal hamdu lillahi robbil ‘alamina.

Maksudnya:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Ya Allah, cahaya langit, matahari dan bulan. Ya Allah, rahsia Allah, cahaya kenabian Rasulullah SAW, dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.”

Lalu disudahi pula dengan doa di bawah setelah siap mencukur dengan meniup lembut ke ubun kepala bayi iaitu:

للَّهُمَّ إِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Allâhumma innî u’îdzuhâ bika wa dzurriyyatahâ minasy syaithânir rajîm

Maksudnya:

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan untuk dia dan keluarganya dari syaitan yang terkutuk.”

Tips Cukur Jambul/Rambut Bayi Agar Tidak Melukai Kepala Bayi

Kredit gambar: maimaik.blogspot.com

Tidak dinafikan ramai Mommy dan Daddy yang agak gugup dan takut untuk mencukur rambut bayi kerana kulit kepala bayi yang lembut dan halus.

Namun, itu tidak akan berlaku sekiranya tips berikut diikuti:

  1. Sediakan peralatan mencukur rambut yang mencukupi.
  2. Pastikan sebelum mencukur kesemua peralatan yang hendak digunakan adalah mencukupi seperti pisau cukur yang tajam, tuala, bekas berisi air, bedak sejuk atau losyen sekiranya perlu.
  3. Pastikan persediaan berikut dilakukan sebelum mencukur.
  4. Cuci tangan dengan bersih untuk elakkan sebarang jangkitan kuman pada kulit kepala bayi sekiranya terdapat luka selepas mencukur.
  5. Bertenang dan jangan terlalu takut dan gementar kerana ianya akan memberi kesan semasa proses mencukur.
  6. Pastikan bayi Mommy juga tenang dan selesa atau sebaiknya lakukan semasa si manja sedang tidur.
  7. Mommy dan Daddy perlu bekerjasama untuk tenangkan bayi sekiranya si kecil Mommy sedang berjaga.
  8. Pastikan bayi mengenakan pakaian yang sesuai dan buatkan dirinya selesa.
  9. Pastikan bayi Mommy kenyang dan mendapat rehat sebaiknya untuk mengelakkan si kecil Mommy meragam semasa proses mencukur.
  10. Potong rambut bayi sependek mungkin terlebih dahulu sebelum mencukur.
  11. Mulakan cukuran dari bahagian atas ke bawah bagi mendapatkan cukuran yang lancar.

Tips Timbang Rambut Bayi

Kredit gambar: Facebook @Kedah Kini

Bagi Mommy dan Daddy yang baru pertama kali bergelar ibu bapa, ini tips untuk menimbang rambut bayi Mommy Daddy:

  • Mulakan timbangan dengan menimbang beg plastik kosong.
  • Kemudian masukkan rambut yang dicukur ke dalam plastik tersebut dan timbang.
  • Dapatkan berat rambut dengan menolak berat rambut yang ditimbang dengan berat plastik kosong.
  • Kemudian, untuk mendapatkan nilai rambut tersebut darabkan berat yang diperolehi sebentar tadi dengan nilai emas semasa sekiranya mampu. Jika tidak mampu boleh didarabkan dengan nilai perak.

Kesimpulannya, banyak kebaikan dari mencukur jambul atau rambut ini.

Tujuannya utamanya ialah untuk menjaga kebersihan dan melindungi bayi dari sebarang penyakit yang mungkin ada pada rambut yang telah diselaputi darah semasa berada dalam kandungan.

Kebaikan yang kedua ialah boleh membantu mereka yang memerlukan dengan pemberian hasil dari timbangan rambut yang dicukur.

Oleh itu, jangan ragu-ragu untuk mencukur jambul/rambut bayi Mommy walaupun hukumnya hanyalah sunat.


Ikuti pelbagai lagi info dan panduan ibadah yang lain di SINI!