Sama ada bakal ibu adalah pekerja kerajaan atau swasta, bakal ibu tidak akan lari daripada cuti bersalin.
Bukan sahaja ia diwajibkan oleh undang-undang, tetapi bakal ibu sangat memerlukan cuti bersalin yang mencukupi untuk menjaga kesihatan diri dan bayi, walaupun anda seorang yang workaholic!
Berapa lamakah cuti bersalin yang anda akan dapat? Sebelum ini, kerajaan telah memutuskan cuti bersalin bagi sektor kerajaan sebanyak 90 hari. Menurut belanjawan 2020 yang diumumkan pula, sektor swasta juga telah menikmati cuti bersalin sebanyak 90 hari mulai tahun 2021 ini.
Cuti Bersalin Bagi Sektor Kerajaan
Kerajaan Malaysia amat prihatin terhadap golongan pekerja wanita untuk mendapat keselesaan sewaktu bersalin sehinggalah selesai segala urusan pantang dan memberikan tumpuan kepada bayi di awal kelahiran.
Beberapa perkara penting yang perlu diketahui berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam adalah seperti berikut.
1. Pekerja sektor kerajaan diberi fleksibiliti untuk memilih sendiri tempoh cuti bersalin antara 60 ke 90 hari bagi setiap kelahiran.
Bilangan hari cuti adalah terhad kepada 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan. Contohnya Ibu melahirkan anak setiap dua tahun sewaktu dalam perkhidmatan, dan setiap kelahiran Ibu mengambil cuti 90 hari, ia hanya boleh di ambil untuk empat kelahiran.
90 hari (cuti bersalin setiap kelahiran) x 4 anak
= 360 hari (terhad)
2. Bakal ibu yang telah melahirkan anak selepas 22 minggu mengandung, sama ada bayi itu hidup atau meninggal dunia, layak untuk diberi cuti bersalin memandangkan tubuh badan ibu telah mengalami perubahan fizikal dan memerlukan cuti bersalin bagi tujuan pemulihan.
3. Secara umumnya, cuti bersalin akan bermula pada tarikh bakal ibu bersalin. Tetapi, bakal ibu boleh mula bercuti 14 hari lebih awal dari jangkaan tarikh kelahiran bayi bakal ibu.
4. Sewaktu bakal ibu mengambil cuti bersalin yang dipohon dalam lingkungan 60 hari minimum ke 90 hari maksimum, bakal ibu akan dibayar gaji penuh.
5. Ketua Jabatan boleh meluluskan bilangan hari yang kurang dari bilangan hari dipohon untuk cuti bersalin jika ada kekurangan tenaga kerja di jabatan tersebut.
6. Sekiranya bakal ibu telah menggunakan kelayakan maksimum 360 hari cuti bersalin, bakal ibu tidak boleh menggunakan cuti sakit. Sebaliknya bakal ibu boleh menggunakan cuti tanpa gaji.
7. Jika sebelum ini bakal ibu adalah pekerja kontrak dan telah menggunakan kemudahan cuti bersalin, kemudian dilantik pula ke jawatan tetap, cuti bersalin tersebut akan diambil kira sebagai sebahagian daripada kemudahan cuti bersalin 360 hari.
8. Bakal ibu tidak boleh meminda tempoh cuti bersalin yang telah diluluskan oleh ketua jabatan bakal ibu.
9. Jika bakal ibu sedang mengambil cuti belajar tapi dalam tempoh yang sama telah bersalin, bakal ibu tidak berkelayakan untuk menggunakan kemudahan cuti bersalin kerana secara prinsipnya, tiada dua kemudahan digunakan dalam satu masa.
10. Bagi guru-guru pula, semasa penggal sekolah, bakal ibu hendaklah menggunakan cuti bersalin separuh gaji hingga 14 hari. Jika masih tidak mencukupi, cuti bersalin tanpa gaji digunakan. Semasa cuti penggal sekolah pula, guru yang bersalin dianggap dalam cuti bergaji penuh.
11. Tempoh cuti bersalin adalah termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan, hari kelepasan am, dan cuti penggal. Walaubagaimanapun, pengiraan cuti rehat dalam tempoh cuti bersalin adalah tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.
12. Bagi kaum bapa, kemudahan cuti isteri bersalin diberi selama tujuh hari kepada anggota Perkhidmatan Awam lelaki sebagai cuti tanpa rekod untuk membantu urusan ketika isteri sedang bersalin. Cuti ini bermula pada tarikh isteri anggota bersalin atau pada hari berikutnya jika isteri bersalin selepas waktu pejabat. Kemudahan ini dihadkan kepada lima kali sepanjang tempoh perkhidmatan.
Contoh borang kemudahan cuti bersalin seperti di bawah ini boleh dimuat turun disini.
Kemudahan Bagi Sektor Swasta
Bermula tahun 2021, cuti bersalin bagi pekerja sektor swasta telah dipanjangkan dari 60 hari ke 90 hari. Majikan swasta yang enggan memberi cuti bersalin selama 90 hari kepada pekerja wanita yang bersalin boleh dikenakan tindakan.
Menurut Menteri Sumber Manusia, majikan swasta perlu mematuhi cuti bersalin selama 90 hari untuk mengikuti standard antarabangsa.
Berdasarkan Akta Kerja 1955, Bahagian 9 membincangkan tentang Perlindungan Bersalin serta syarat-syarat perlindungan bersalin. Antara perkara-perkara yang dibincangkang di dalam seksyen 37 ke 44 adalah seperti berikut.
1. Pekerja wanita swasta berhak menerima elaun bersalin untuk tempoh yang bersesuaian dari majikannya jika wanita tersebut telah diambil bekerja dalam tempoh empat bulan sebelum cuti bersalin.
2. Pekerja wanita swasta yang bersalin setelah mengandung selama 22 minggu layak menerima cuti bersalin berbayar seperti wanita mengandung 28 minggu.
3. Pekerja wanita swasta yang layak mendapat elaun bersalin berhak menerima (daripada majikan) elaun bersalin dengan kadar gaji biasa untuk satu hari (untuk setiap hari tempoh cuti bersalin), atau pada kadar yang ditetapkan oleh Menteri Sumber Manusia.
4. Pekerja wanita swasta yang bekerja dengan kadar gaji bulanan akan dianggap telah menerima elaun bersalinnya sekiranya dia terus menerima gaji bulanannya semasa dia tidak bekerja dalam tempoh cuti bersalin. Majikan tidak perlu memberi elaun bersalin tambahan.
5. Adalah menjadi satu kesalahan jika majikan menamatkan perkhidmatan seseorang pekerja wanita semasa tempoh cuti bersalin melainkan atas sebab penutupan syarikat.
6. Kelayakan cuti bersalin yang dibayar elaun adalah dihadkan sehingga lima orang anak sahaja.
7. Cuti bersalin tidak boleh dimulakan lebih awal daripada tempoh 30 hari tepat sebelum bersalin atau lebih lewat daripada hari selepas bersalin melainkan mendapat pengesahan daripada pegawai perubatan atau pakar sakit puan.
8. Jika pekerja wanita yang bersalin telah memberi notis atau memohon cuti bersalin, dan selepas bersalin meninggal dunia dari sebab apa pun dalam tempoh cuti bersalin, majikan tetap bertanggungjawab untuk membayar apa-apa elaun bersalin kepada sesiapa yang telah dicalonkan oleh pekerja wanita tersebut.
9. Cuti bersalin adalah hak pekerja wanita yang bersalin, sama ada wanita tersebut sudah berkahwin atau pun tidak.
10. Untuk mendapat kelayakan faedah cuti bersalin yang ditetapkan di dalam kontrak pekerjaan, pekerja wanita perlu memberi notis kepada majikan tentang kehamilan sekurang-kurangnya empat bulan dari tarikh jangkaan bersalin anda. Secara umumnya, notis ini perlu dihantar kepada majikan dan juga jabatan sumber manusia syarikat di mana bakal ibu bekerja.
11. Kaum suami dan bakal bapa juga dapat menikmati cuti isteri bersalin, bergantung kepada majikan. Secara umumnya, si suami akan mendapat sekurang-kurangnya tiga hari cuti bersalin. Syarikat besar atau korporat seperti CIMB dan IKEA Malaysia adalah antara yang terawal menawarkan cuti bersalin selama satu bulan kepada pekerja lelaki mereka untuk menjaga isteri yang bersalin. Ada juga yang menawarkan cuti paternity selama tiga bulan seperti Google Malaysia jika isteri melahirkan anak kembar. Jadi ia terpulang kepada syarikat di mana suami bakal ibu bekerja.
Cuti ini adalah sangat penting untuk kesihatan mental dan fizikal seorang bakal ibu yang baru bersalin, bayinya, dan tidak lupa juga suaminya.
Walaupun Malaysia jauh lagi untuk menikmati cuti bersalin yang panjang seperti enam bulan ke setahun untuk kedua-dua ibu bapa seperti beberapa negara lain, kita masih dapat menikmati cuti tersebut yang mencukupi untuk beberapa bulan pertama bayi.
Sudah tentu Ibu dan Ayah tak sabar nak menikmati waktu-waktu bonding dengan bayi baru lahir yang semestinya bau seperti syurga.