Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Segalanya Tentang Darah Nifas Yang Mommy dan Daddy Perlu Tahu

darah nifas

Kredit gambar: istockphoto

Setiap wanita yang pernah bersalin tentu tahu serba sedikit tentang darah nifas kan? Bila merasai sendiri proses keluarnya darah nifas ni, tentunya faham lah juga serba sedikit.

Apa Itu Darah Nifas?

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, darah nifas adalah darah yang keluar selepas kosongnya kesemua rahim dari kandungan.

Tidak kiralah dalam bentuk segumpal darah (alaqah) ataupun segumpal daging (mudghah), ia keluar dalam tempoh sebelum berlalunya sekurang-kurangnya selepas kelahiran selama 15 hari.

Jika melepasi waktu ini dan barulah darah keluar, itu tidaklah dikira nifas.

Sama seperti yang dinyatakan oleh Imam Hajar al-Haitami:

Nifas ialah darah yang keluar setelah kosong rahim daripada kandungan walaupun dalam bentuk mudghah (segumpal daging) atau alaqah (segumpal darah) dan ianya berlaku sebelum berlalu tempoh 15 hari (daripada kelahiran).

Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj, 1/383

Bilakah Tempoh Darah Nifas Keluar Untuk Yang Bersalin Normal, Secara Pembedahan Ataupun Keguguran?

Menurut Imam Hajar al-Haitami dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj, tidak ada had bagi tempoh minimum keluarnya darah nifas:

Tidak ada had bagi tempoh minimum bagi nifas, iaitu tidak dapat diukur, ia dilihat sekadar apa yang telah didapati, sekalipun nifas itu sangat sedikit, tetapi kadar yang lebih sesuai bagi tempoh minimum ialah sedetik. Dan sebanyak-banyak nifas ialah 60 hari, dan kebiasaan tempoh nifas ialah 40 hari, iaitu ianya didapati melalui istiqra’ (kajian) sebagaimana yang telah disebutkan.

Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj, 1/413

Berdasarkan petikan ini, Mufti Wilayah Persekutuan telah menyimpulkan bahawa, tempoh minimum keluarnya darah nifas ialah sedetik. Manakala tempoh kebiasaan dan tempoh maksimum pula adalah selama 40 hari dan 60 hari.

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Tetapi, bagaimana pula jika darah yang keluar itu, melebihi tempoh maksimum 60 hari ni? Menurut perkongsian yang sama, terdapat dua pengertian yang Mommy boleh fahamkan untuk darah yang keluar melebihi 60 hari selepas hari kelahiran:

  1. Jika darahnya keluar bersambung dan tidak terhenti walaupun sedetik, ia dikira sebagai darah istihadah.
  2. Jika darahnya terhenti walaupun sedetik, darah yang keluar selepas itu ia dihukumkan sebagai darah haid.

Kalau untuk Mommy yang bersalin melalui pembedahan pula, sama je sebenarnya tau. Katakanlah, selepas Caesar, ada darah yang keluar melalui faraj, itu adalah darah nifas.

Jika tiada pula, maka tiadalah darah nifas bagi Mommy dan dikira suci. Melalui penjelasan Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, yang menentukan Mommy bernifas ataupun tidak adalah jika keluarnya darah nifas dari faraj, bukanlah kaedah melahirkan ya.

Untuk Mommy yang diuji dengan keguguran, mazhab Syafi’e berpandangan sedemikian:

Asalkan telah disahkan keluarnya janin dari rahimnya, tidak kiralah janin itu meninggal atau hidup, sempurna atau tidak sempurna sifatnya, maka jika ada darah yang keluar melalui faraj wanita tersebut selepas itu, itu dikira darah nifas.

Apakah Hukum Wanita Dalam Keadaan Nifas?

Dalam perkongsian risalah oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, perkara yang diharamkan ketika seseorang itu berada dalam nifas adalah sama seperti hukum ketikanya dalam haid.

Apakah Tanda Darah Nifas Sudah Habis?

Kredit gambar: istockphoto

Antara tanda-tanda yang Mommy boleh perhatikan untuk menandakan darah nifas sudah berada di hujung-hujung dan nak habis dah ialah:

  1. Warna darahnya menjadi lebih cerah.
  2. Pada hari terakhir, akan turut keluar cecair putih.
  3. Jika dimasukkan kain kapas putih ke dalam faraj, ia kering daripada warna darah.

Apakah Lendir Kuning Yang Keluar Selepas Darah Nifas?

Macam mana pula dengan lendir kuning yang keluar selepas warna darah, apakah masih dikira darah nifas?

Darah nifas ni ada beberapa tahap ya Mommy:

#1. Lochia Rubra

Warna darah nifas yang keluar pada tahap ini adalah berwarna merah gelap yang berlanjutan sekitar 4 hari. Ia kelihatan seperti warna darah segar yang bercampur dengan sel pelapis rahim.

#2. Lochia Serosa

Pada tahap Lochia Serosa pula, warna darahnya macam merah jambu dan kecoklatan gitu. Ia keluar dalam tempoh kurang dari 10 hari, tetapi sekitar 5 hari ke atas.

#3. Lochia Alba

Pada tahap ini, darah nifas yang keluar adalah berwarna kekuningan yang keluar sekitar 10 sehingga 16 hari.

Kita harus cakna tentang hal ini atas faktor ibadah dan kesihatan.

Kredit gambar: istockphoto

Mommy dan Daddy perlulah cakna tentang darah nifas, terutamanya tempoh keluar dan habisnya darah ini. Selain daripada untuk menghilangkan keraguan dalam beribadah, ia juga untuk memantau kesihatan Mommy selepas bersalin.

Semoga semuanya baik-baik sahaja. Jom baca cara-cara untuk menjaga jahitan bersalin semasa di rumah.