Ibu, Bayi & Kanak Kanak

8 Tips Untuk Rekaan Deko Ruang Tamu Kecil Supaya Nampak Luas

Kredit gambar: Adobe Stock

Ruang tamu adalah salah satu bahagian penting di rumah. Di sinilah ahli keluarga dapat bersantai bersama dan di sini jugalah selalunya tetamu akan meluangkan masa.

Jika ruang tamu rumah Mommy agak kecil, adalah penting untuk mendapatkan rekaan deko ruang tamu kecil yang sesuai dan betul supaya nampak luas. Terdapat beberapa faktor yang Mommy boleh pertimbangkan dalam deko ruang tamu kecil Mommy.

Berikut merupakan beberapa strategi ‘designer‘ yang boleh diterapkan untuk deko ruang tamu kecil Mommy menjadi lebih luas dan cantik.

8 Tips Deko Ruang Tamu Kecil Supaya Kelihatan Luas

1. Letakkan Cermin Di Tempat Yang Strategik

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Menghias ruang tamu dengan cermin bukan sahaja boleh menjadikannya kelihatan lebih besar, tetapi juga membuatkan ruang itu nampak ‘classy‘.

Cermin dapat memantulkan cahaya jika ditempatkan di tempat yang strategik. Kalau salah tempat, pantulan cahaya itu boleh menjadi silau pula!

Kalau boleh, pilihlah cermin yang bersaiz besar yang akan merangkumi seluruh dinding untuk mencipta ilusi ruang tamu yang nampak dua kali lebih besar dari saiz asalnya!

Meletakkan cermin juga adalah salah satu tips deko ruang tamu kecil yang sangat efektif dalam menambah pencahayaan dan kecerahan. Mommy boleh menaikkan seri dengan memilih bingkai cermin yang sesuai dengan deko keseluruhan ruang tamu Mommy.

2. Pilih Skema Warna Yang Simple

Sumber: Getty Images

Setiap orang tentu ada warna kegemaran tersendiri, kan? Kalau Mommy jenis suka warna yang terang atau ‘hot‘, Mommy mungkin kena fikir dua kali sebelum menggunakan warna tersebut untuk ruang tamu Mommy.

Walaupun warna kegemaran Mommy mungkin warna yang terang dan menarik perhatian, idea warna ruang tamu Mommy akan lebih terserlah jika Mommy menghiasnya berdasarkan rona monokromatik dan tona yang lebih earthy dan muted.

Warna cerah seperti putih, kuning air, atau mana-mana warna yang lebih lembut akan membuatkan ruang tamu Mommy nampak lebih terang, justeru memberi ilusi kelapangan.

Selain itu, gunakan warna-warna dalam ton palet warna yang sama supaya aliran warna tersebut lebih padu dan tak nampak serabut.

Menggunakan warna yang terlalu berbeza antara satu sama lain (jika menggunakan lebih daripada satu warna) akan membuatkan ruang tamu nampak divided dan lebih kecil.

3. Gunakan Tekstur-tekstur Menarik

Sumber: Adobe Stock

Bila warna minimalis digunakan untuk ruang tamu kecil, ada pula risiko untuk nampak pucat dan steril!

Untuk mengatasi masalah ini, Mommy boleh manfaatkan penggunaan tekstur sebagai deko ruang tamu kecil yang mewah tetapi tidak memakan ruang secara visual.

Sebagai contoh, Mommy boleh menggunakan perabot yang mempunyai aluran kayu yang dramatik, permaidani kulit biri-biri palsu, kusyen baldu, dan apa-apa lagi yang sesuai.

Selain itu, Mommy boleh menggunakan teknik ‘layering‘, seperti meletakkan pokok tumbuhan pada ketinggian yang berbeza untuk tidak nampak berterabur sambil menggunakan ruang dengan strategik.

4. Memanipulasi Lapisan Pencahayaan

Sumber: Adobe Stock

Bercakap tentang ‘layering‘, teknik ini juga boleh digunakan dalam pencahayaan. Melapisi ketinggian pencahayaan adalah penting supaya tiada ruang yang nampak terlalu malap.

Mommy boleh menggunakan lampu gantung di siling, lampu di dinding, dan lampu tambahan yang boleh diletakkan di atas lantai.

Lampu dinding yang boleh dikawal untuk menuju ke arah atas dan bawah juga dapat membuatkan ruang tamu Mommy kelihatan lebih tinggi.

Tona lampu juga boleh berbeza-beza sedikit untuk menaikkan lagi impak lapisan pencahayaan ini.

5. Gunakan Perabot Yang Minimalis

Sumber: Adobe Stock

Untuk membuat ruang tamu kecil nampak lebih besar, elakkan daripada menggunakan perabot yang besar dan nampak berat. Perabot jenis ini dapat memalapkan lagi sesuatu ruang, terutamanya ruang tamu yang kecil.

Pilih perabot yang mempunyai reka bentuk minimalis, seperti meja atau kerusi yang mempunyai kaki tirus dan meja kopi yang mempunyai bingkai nipis.

Penggunaan kaca pada perabot juga boleh dipertimbangkan, seperti kaca untuk bahagian dalam meja kopi, dan juga pintu kaca pada rak paparan.

Pilih warna perabot atau bahan-bahan yang menggunakan elemen dan kemasan semula jadi seperti rotan, kayu, dan juga batu marmar.

Ini dapat menjadikan ruang tamu yang kecil nampak cerah dan luas.

6. Pilih Langsir Yang Ringan, Cerah, dan ‘Airy

Sumber: Adobe Stock

Langsir memainkan peranan yang penting dalam sesebuah ruang tamu. Apabila langsir ditutup, ia menjadi salah satu ‘focal point‘ atau tumpuan yang besar pada ruang tersebut.

Langsir yang nampak ringan, cerah, dan ‘airy‘ akan serta merta membuatkan ruang tersebut berasa lapang dan nyaman.

Kalau langsir yang tebal dan gelap digunakan, tentulah ruang tersebut akan berasa berat dan gelap! Ini akan mewujudkan suasana yang lebih muram di ruang tamu.

Corak pada langsir juga boleh memainkan peranan tau Mommy. Jangan pilih corak yang terlalu berat rekaannya dan serabut. Sebaliknya, Mommy boleh pilih corak halus untuk memberikan ilusi yang tenang.

7. Manfaatkan Rak Pameran

Sumber: Getty Images

Jika Mommy mempunyai banyak barangan hiasan yang ingin dipamerkan seperti cenderahati semasa bercuti, gambar-gambar istimewa, atau tumbuhan kecil, Mommy boleh manfaatkan penggunaan rak pameran.

Penyimpanan secara vertikal ini menjimatkan banyak penggunaan ruang sambil mengalihkan fokus daripada satu perkara sahaja.

Dengan menyusun barang-barang unik di atas rak secara sporadik atau mempunyai sediki jarah, ia boleh membuatkan deko ruang tamu kecil Mommy nampak lebih stylish dan bukan sekadar tempat penyimpanan biasa sahaja.

Selain itu, Mommy juga boleh gunakan coffee table dengan ruang simpanan. Bolehlah Mommy simpan barang-barang lain di dalamnya dan tidaklah terlalu banyak barang di ruang tamu.

8. Gunakan Permaidani/Karpet Besar

Sumber: Getty Images

Menggunakan permaidani atau karpet yang besar adalah salah satu tips penting untuk menjadikan ruang tamu kecil nampak luas.

Permaidani kecil atau rug selalunya akan membuatkan sesebuah ruang tamu itu nampak terbahagi, jadi ia tak sesuai sebagai deko ruang tamu kecil.

Dengan memilih permaidani besar yang sesuai dengan saiz ruang tamu Mommy, ia boleh menjadi ‘anchor‘ di mana hiasan dan deko lain boleh berdasarkan permaidani tersebut.


Kalau Mommy mempunyai ruang tamu yang kecil, Mommy bolehlah mencuba mana-mana tips dan strategi yang disebut tadi. Siapa kata bahagian rumah yang kecil seperti ruang tamu dan bilik mandi tak boleh nampak cantik?

Mommy cuma perlu pandai membuat pilihan yang bijak!

Kalau tak yakin nak buat sendiri, Mommy bolehlah dapatkan perkhidmatan pereka bentuk dalaman yang sesuai dengan bajet Mommy. Bila ruang tamu sendiri dah cantik, tentu tak sabar pula nak panggil tetamu datang!