Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Bacaan Doa Awal Tahun Hijrah Yang Boleh Diamalkan Umat Islam Pada Setiap Tahun

Kredit gambar: Adobe Stock

Setiap perkara ada permulaannya, dan salah satu perkara besar dalam kehidupan seseorang ialah permulaan sesuatu tahun baru.

Secara amnya kebanyakan individu akan tetapkan temu janji atau apa-apa yang melibatkan tarikh berdasarkan kalendar Gregorian yang digunakan secara berpiawai di seluruh dunia.

Sebagai umat Islam pula, kita sering menggunakan kalendar Islam untuk tarikh-tarikh penting dalam Islam sebagai rujukan dan panduan.

Highlighted

Kredit gambar: Adobe Stock

Kalendar Islam atau dipanggil tahun Hijrah bermula dengan bulan Muharram dan berakhir dengan bulan Zulhijjah.

Awal Muharram

Tahun baru Hijrah pada tahun 2022 bersamaan dengan 1444H, atau juga disebut Awal Muharram jatuh pada 30 Julai.

Setelah bermulanya tahun baru kalendar Islam, atau setelah bermulanya tahun baru Hijrah, umat Islam disunatkan untuk membaca doa awal tahun dan digandingkan dengan selawat.

Doa Awal Tahun

Maksud:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Segala pujian itu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammas berserta keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Ya Allah! Engkaulah Tuhan yang kekal untuk selama-lamanya sedia ada lagi tiada permulaan. Kelebihan-Mu Maha Agung dan kemurahan-Mu amat melimpah yang sangat-sangat diharapkan. 

Tibalah sudah tahun baru ke atas kami, kami mohon kepada-Mu perlindungan pada tahun ini daripada syaitan yang direjam dan konco-konconya serta bala tenteranya.

Kami juga memohon kepada-Mu pertolongan mengalahkan runtunan nafsu yang mendorong ke arah kejahatan, dan kami memohon kepada-Mu kerja-kerja yang boleh mendampingkan diri kami kepada-Mu, wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.

Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad berserta keluarga dan sahabat-sahabatnya. Dan segala pujian itu bagi Allah Tuhan pentabir seluruh alam. 


Sesiapa yang membaca doa awal tahun ini, Syaitan berkata: “Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”

Kredit gambar: Adobe Stock

Doa awal tahun dan juga akhir tahun adalah suatu amalan yang baik dan sangat digalakkan untuk anda amalkan setiap tahun walaupun ia bukanlah sesuatu yang wajib dilakukan.

Selain membaca doa awal tahun, di antara kemuliaan bulan Muharram ini adalah disunatkan berpuasa.

Abu Hurairah dalam hadith marfu’ telah berkata:

Nabi ditanya; apakah solat yang lebih afdhal selepas solat fardhu? Dan apakah puasa yang lebih afdhal selepas puasa Ramadhan?

Maka jawab Nabi: Sebaik-baik solat selepas solat yang difardhukan ialah solat pertengahan malam dan sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan-bulan Allah (bulan-bulan haram).

Hadith riwayat Imam Muslim, Abu Daud, Al-Tirmizi, Al-Nasai’e dan Ibn Majah

Dengan itu, umat Islam disunatkan untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram yang dinamakan hari ‘Asyura’ mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri.

Tarikh 9 Muharram pula dikenal sebagai ‘mukhalafah’ yang bermaksud ‘membezakan’ di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.

Waktu Membaca Doa Awal Tahun

Anda digalakkan untuk membaca doa awal tahun Hijrah sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib pada awal Muharram di tahun Hijrah, dan perbanyakkan berselawat sehingga masuknya waktu Isyak.

Untuk pengetahuan anda, berdasarkan kalendar Islam atau Hijrah, pertukaran hari atau tahun Hijrah bermula selepas masuknya waktu Maghrib.

Semoga bacaan doa awal tahun ini dapat membantu anda mempertingkatkan amal ibadah, melawan nafsu dan Syaitan yang menyeru kejahatan, dan diberkati Allah s.w.t. Jom kita baca doa akhir tahun hijrah pula!