Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Koleksi Doa Belajar Dan Doa Penerang Hati, Serta Adab-adab Menuntut Ilmu

Menuntut ilmu adalah suatu perkara yang sangat dititikberatkan dalam Islam dan ia adalah amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya.

Bukan semua orang berpeluang untuk menuntut ilmu, tetapi bila diberikan peluang untuk belajar, ada pula cabarannya tersendiri.

Untuk memudahkan pembelajaran sesiapa sahaja, kita digalakkan untuk mengamalkan doa belajar supaya bukan sahaja ilmu mudah diperoleh, tetapi juga diberkati Allah s.w.t.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11:

Nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat

Selalunya doa belajar digandingkan dengan doa penerang hati bagi kebanyakan orang sebelum menuntut ilmu atau memulakan sesuatu sesi pembelajaran.

Highlighted


Ada beberapa pilihan bacaan doa belajar sesuai dalam sunnah dalam Islam seperti berikut.

5 Pilihan Doa Belajar

1. Doa Mudah Belajar

Bacaan dalam RUMI:

Allahummaftah ‘alaina hikmata wansyur ‘alainaa min khozaa ini rahmatika yaa arhamarraahimiin

Maksud:

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmat-hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

2. Doa Sebelum Belajar

Bacaan dalam RUMI:

Allahummaftah ‘alaina hikmata wansyur ‘alaina min khozaa inirahmatika yaa arhamarraahimiin. Robbish rahlii sodri wayassirlii amrii wahlul ‘ukdatammilithaani yafqauhuu qauli

Maksud: 

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmat-hikmatMu dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu, wahai yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku tugasku, dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku.

3. Doa Supaya Dipermudahkan Pembelajaran

Bacaan dalam RUMI:

Rabbanaa aatina milladunka rahmah wahayyik lanaa min amrinaa roshadaa

Maksud: 

Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu, dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini).

4. Doa Penerang Hati

Bacaan dalam RUMI:

Robbish rahlii sodri wayassirlii amrii wahlul ‘ukdatammilithaani yafqauhuu qauli

Maksud:

Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku tugasku, dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku.

5. Doa Kuatkan Ingatan Untuk Menghafal

Bacaan dalam RUMI:

Subhaana man laa yanaamu wa laa yashuu. Allahumma dzakkirnii maa nasiit

Maksud:

Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lalai, Wahai Tuhanku, ingatkanlah aku apa-apa yang aku lupa.

Kebaikan Membaca Doa Belajar Sebelum Menuntut Ilmu

Menuntut sesuatu ilmu yang Halal sudahpun dikira sebagai sesuatu ibadah. Ditambahkan pula dengan doa-doa yang dilafazkan sebelum memulakan pembelajaran, tentu manis sekali proses menuntut ilmu itu.

Dalam membaca doa sebelum belajar, seseorang boleh mendapat keterangan hati, justeru mempunyai kemudahan dalam menuntut ilmu.

Kredit gambar: Getty Images

Orang yang menuntut ilmu itu dijanjikan darjat yang tinggi di sisi Allah s.w.t.

Bila menuntut ilmu itu mendapati berkat, ilmu yang ada pada seseorang itu pasti akan menjadi bantuan kepadanya untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Pengamalan ilmu yang dimiliki juga, terutamanya yang berfaedah untuk diri sendiri dan masyarakat sudah tentu dapat membantu orang-orang di sekeliling penuntut ilmu tersebut.

Ilmu juga dapat diturunkan pula kepada anak-anak dan akan jadi bekalan kepada mereka dan juga kita sendiri di akhirat kelak.

Adab-adab Menuntut Ilmu

Untuk ilmu yang dituntut dan proses untuk memperolehinya diberkati dan diredhai Allah s.w.t., ada beberapa adab yang wajar diikuti disamping membaca doa belajar.

1. Bersihkan diri daripada dosa yang diketahui serta akhlak yang tercela. Ini adalah kerana maksiat itu umpama racun dalam diri orang yang beriman, manakala ilmu itu cahaya dan menghidupkan.

Dengan bertaubat dan beristighfar sebelum menuntut ilmu, insyaAllah mudah ilmu yang bersifat cahaya itu untuk masuk ke dalam diri penuntut ilmu itu.

Kredit gambar: Getty Images

2. Pasang niat untuk belajar kerana Allah s.w.t. dan ilmu yang dituntut tidak akan disalahgunakan. Tidak kira asal-usul sesuatu ilmu itu, ia selalunya boleh digunakan untuk sesuatu yang berfaedah atau yang memudaratkan.

Niatkan kerana Allah s.w.t. dan tuntut ilmu ini untuk Allah s.w.t. Nescaya ia akan diredhai, dipermudahkan prosesnya, dan dapat memberikan manfaat kepada orang lain.

3. Ambil wudhu’ sebelum menuntut ilmu. Selepas hati sudah dibersihkan, badan juga digalakkan untuk dibsersihkan terlebih dahulu sebelum memulakan proses pembelajaran.

Ia bukan sahaja dapat menyegarkan badan dan minda anda, tetapi kebersihan itu juga penting kerana ia merupakan sebahagian daripada iman.

4. Belajar dengan bersungguh-sungguh dan dalam pada masa yang sama merendahkan diri juga. Jangan bermalas-malasan ketika belajar, dan jangan pula riak dan menunjuk-nunjuk.

Apabila menuntut ilmu juga, lakukannya dengan kadar sederhana dan jangan tergesa-gesa. Bersabar dengan ilmu yang dipelajari dan juga cabaran-cabaran yang datang dengannya.

5. Jika menuntut ilmu dengan seseorang guru, hormat guru tersebut. Walaupun pada zaman sekarang ini banyak perkara senang untuk dipelajari melalui banyak sumber seperti buku dan video online, menuntut ilmu secara berguru masih menjadi sumber utama kebanyakan orang.

Kredit gambar: Getty Images

Menghormati guru bukan sahaja dari segi hormat percakapan, tetapi hormat juga masa guru tersebut, dan mudahkan pengajarannya dengan membuat ‘research‘ tentang apa yang akan dipelajari, supaya tidak membazir masa guru untuk menerangkan setiap perkara satu per satu.


Menuntut ilmu itu amat penting bagi setiap individu, terutamanya yang mempunyai kemudahan dan sumber untuk memperolehinya.

Dengan melafazkan niat dan membaca doa belajar serta doa penerang hati, insyaAllah proses menuntut ilmu itu dapat dipermudahkan dan akan mendatangkan faedah kepada penuntut ilmu dan orang di sekelilingnya.

Semoga bermanfaat.