Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling digemari oleh semua umat Islam di dunia kerana ia adalah bulan yang paling suci dan bulan yang paling diberi rahmat atas segala amal ibadah yang dilakukan sepanjang bulan puasa.
Lepas dah seharian berpuasa, mestilah kita tidak sabar untuk berbuka. Tetapi bagaimanakah sebenarnya doa buka puasa yang betul dan lengkap?
Ini adalah panduan ringkas doa buka puasa secara bersendirian dan beramai-ramai dan juga sangat mudah untuk diajar kepada anak-anak yang mula belajar berpuasa.
Doa Buka Puasa Bersendirian
Allahumma Lakasumtu Wabika Aamantu Wa’alaa Rizqika Afthortu Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin
Maksudnya:
Ya Allah kerana Mu aku berpuasa, Dengan Mu aku beriman, kepada Mu aku berserah dan dengan rezeki Mu aku berbuka (puasa) dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.
Doa Buka Puasa Beramai-ramai
Doa buka puasa beramai-ramai adalah sama sahaja dengan doa bersendirian, cuma diubah “tu” kepada “na” untuk membawa maksud “aku” kepada “kami”
Allahumma Lakasumna Wabika Aamanna Wa’alaa Rizqika Afthorna Birohmatika Yaa Arhamar Roohimiin
Maksudnya:
Ya Allah kerana Mu kami berpuasa, Dengan Mu kami beriman, kepada Mu kami berserah dan dengan rezeki Mu kami berbuka (puasa) dengan Rahmat Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.
Tips dan Adab Semasa Berbuka Puasa
Pengambilan makanan di bulan puasa tidak seharusnya berbeza daripada bulan-bulan yang lain.
Semasa berbuka, pastikan kita mengambil makanan yang bernutrisi, kaya dengan vitamin dan mineral yang sepatutnya untuk membekalkan tenaga selepas seharian berpuasa.
Makan Secara Sihat
Makan secara sihat di bulan puasa adalah penting untuk menghindari beberapa masalah kesihatan yang biasa berlaku semasa berpuasa seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, pedih ulu hati, dan kandungan gula rendah dalam darah.
Oleh itu, makanlah secara sederhana dan pastikan pengambilan makanan yang seimbang untuk kekal sihat di bulan yang mulia ini.
Makan Mengikut Kumpulan Makanan Yang Betul
Pastikan menu berbuka anda terdiri daripada kumpulan-kumpulan makanan berikut:
- Nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin.
- Buah-buahan dan sayur-sayuran.
- Ikan, ayam, daging dan kekacang.
- Susu dan produk tenusu.
- Sedikit minyak, lemak, gula dan garam.
Makan Dalam Kuantiti Yang Sederhana
Jangan makan secara berlebihan sewaktu berbuka ya Mama! Hal ini adalah kerana setelah seharian berpuasa, aktiviti gastrik di dalam perut akan menurun pada tahap yang minimum.
Apabila kita mengambil makanan semasa berbuka puasa, aktiviti gastrik akan meningkat.
Mengikut Sunnah
Berbuka mengikut Sunnah, seperti mengambil 3 biji buah kurma sebagai makanan pertama adalah amat digalakkan. Kurma yang kaya dengan serat, vitamin, dan mineral dapat memberikan tenaga sejurus anda berbuka.
Elakkan Makanan Berat Pada Waktu Malam
Makan malam yang lebih berat adalah digalakkan sebaik sahaja selepas mengerjakan solat Maghrib.
Hidangan makan malam yang disarankan ialah 1 ½ cawan nasi putih, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur. Jika boleh, elakkan makanan yang berminyak dan bersantan.
Hidangan lewat malam atau moreh, boleh diambil jika perlu. Tetapi, cuba untuk elakkan daripada moreh makanan yang berat. Cukuplah sekadar snek ringkas seperti kacang, sandwic, yogurt, roti, biskut, 1 atau 2 ketul kuih dan 1 gelas susu.
Jangan lupa juga untuk lebihkan pengambila air kosong ya!
Walaupun kita tidak boleh melancong atau berpuasa di luar negara, disini saya kongsikan beberapa perbezaan masa, makanan, dan sebagainya semasa berpuasa di Malaysia dan di beberapa buah negara yang lain.
Ramadan di Malaysia VS Luar Negara
Perbezaan masa berbuka dan sahur
Di Malaysia, jangka masa berpuasa adalah lebih kurang selama 13-14 jam.
Perbezaan garisan lintang dan bujur bagi setiap negara menyebabkan sesebuah negara itu mengalami tempoh berpuasa yang berlainan antara satu sama lain.
Dalam erti kata lain, umat Islam yang menetap di hemisfera utara akan berpuasa lebih lama berbanding mereka yang tinggal di negara yang hampir dengan garisan Kutub Selatan.
Jom kenali 5 bandar tempoh berpuasa paling panjang di sini:
1) Murmansk, Rusia (21 jam 41 minit)
Murmansk merupakan bandar yang terletak di barat laut Rusia dan merupakan ibu negeri di wilayah Murmansk.
Waktu bersahur bagi umat Islam di Murmansk adalah sekitar pukul 1.22 pagi dan mereka berbuka puasa pada pukul 11.13 malam.
2) Lulea, Sweden (20 jam 20 minit)
Lulea adalah bandar terbesar dan terletak di utara Sweden serta sangat hampir dengan Garisan Artik.
Waktu bersahur bagi umat Islam di Lulea adalah selewat-lewatnya pukul 1.31 pagi dan berbuka pada pukul 9.51 malam.
3) Reykjavik, Iceland (19jam 57 minit)
Pusat Kajian Pew dari Amerika Syarikat (AS) menganggarkan penduduk Islam di bandar tersebut hanyalah kira-kira 1,000 orang.
Waktu bersahur bagi umat Islam di Reykjavik adalah sekitar pukul 2.33 pagi dan mereka berbuka pada pukul 10.34 malam.
4) Fairbanks, Alaska (19 jam 47 minit)
Umat Islam di Fairbanks bersahur pada pukul 3.10 pagi dan berbuka pada pukul 11.03 malam.
Namun, Pusat Komuniti Islam Anchorage di Alaska, menasihatkan umat Islam untuk mengikuti waktu berbuka puasa Makka selepas berunding dengan ulama.
5) Oslo, Norway (19 jam 6 minit)
Oslo merupakan ibu negeri dan kota terbesar di Norway, dan bandar ketiga terbesar di negara-negara Skandinavia.
Islam di Norway adalah agama minoriti dan agama kedua terbesar di Norway selepas Kristian.
Sementara itu, umat Islam di Oslo bersahur pada pukul 2.37 pagi dan berbuka pada pukul 9.46 malam.
Perbezaan makanan berbuka puasa di negara luar
Menu Iftar tradisional adalah merangkumi buah-buahan, jus, susu, kurma dan air. Nabi Muhammad hanya memakan tiga biji kurma ketika baginda berbuka puasa.
Walau bagaimanapun, makanan ruji pula adalah berbeza dari satu tempat ke tempat lain. Jom kita ketahui perbezaan makanan berbuka puasa di negara kita sendiri dan di beberapa negara luar.
Malaysia
Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis makanan yang boleh didapati di bazaar ramadhan ataupun dimasak sendiri di rumah.
Antara menu popular semasa berbuka (selain nasi dan lauk-pauk) adalah bubur lambuk, roti john, kuih-muih, murtabak, serunding daging atau ayam, nasi kerabu, nasi ayam, dan lain-lain.
Afghanistan
Makanan Iftar di Afghanistan cenderung merangkumi sup dan kari daging berasaskan bawang, kebab dan pulao.
Pakistan
Makanan seperti jalebis, haleem, parathas, kari daging, salad buah, kebab dan piyajoo adalah makanan berbuka yang terkenal di Pakistan.
Kerala
Di Kerala, umat Islam yang berpuasa sering dilihat berbuka puasa dengan hidangan yang dipanggil Kanji Nombu. Ia merupakan sejenis hidangan yang disediakan dengan daging, sayur-sayuran, dan bubur.
Sebenarnya, sangat seronok untuk kembali berada dalam bulan Ramadan. Bulan ini sangat istimewa dan sangat mulia, jadi gunakan peluang ini untuk menambahkan amalan-amalan ibadah dan mendekatkan diri denganNya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan selamat menjayakan ibadah puasa diucapkan kepada semua!