Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Panduan Lengkap Beserta Dalil Doa Bulan Rejab Yang Mulia

doa bulan rejab

Kredit gambar: ecentral.my

Tatkala melangkah masuk ke bulan Rejab, kita disunnahkan untuk membaca doa bulan rejab. Bulan rejab antara salah satu bulan yang dianggap mulia sepertimana yang telah dinyatakan oleh Nabi Muhammad S.A.W iaitu:

Daripada Sayidina Abi Bakrah r.a, Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (ZulKaedah, ZulHijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Malah Allah S.W.T turut berfirman yang bermaksud:

إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ

Maksudnya:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati…”

(Surah at-Taubah 36)

Petikan Doa Bulan Rejab

Highlighted

Kredit gambar: muslimmatters.org

Oleh itu, sempena menyambut kedatangan bulan Rejab yang bakal tiba, amalkan lafaz doa masuk bulan Rejab seperti yang telah dikongsikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu:

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ (وَبَلِّغْنَا) لَنَا فِي رَمَضَانَ

Maksudnya:

“Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah (pertemukan kami dengan bulan Ramadhan) kepada kami pada bulan Ramadhan.”

Berpandukan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga, antara kitab-kitab yang menyebut lafaz doa seperti di atas adalah:

Di dalam Musnad Imam Ahmad: Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi Muhammad S.A.W apabila masuknya bulan Rejab, Baginda S.A.W bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: “اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ”. وَكَانَ يَقُولُ: ” لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ غَرَّاءُ، وَيَوْمُهَا أَزْهَرُ”.

Maksudnya:

“Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah kepada kami pada bulan Ramadhan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”.

(Musnad Imam Ahmad, no. Hadith 2228)

Imam Ibn Sunni, Imam al-Baihaqi, Imam al-Bazzar dan Abu Nu’aim juga menyebut hadith ini di dalam kitab mereka: Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW apabila masuknya bulan Rejab, Baginda S.A.W bersabda:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ قَالَ: “اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ”. قَالَ: وَكَانَ يَقُولُ: “إِنَّ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ لَيْلَةٌ غَرَّاءُ، وَيَوْمَهَا يَوْمٌ أَزْهَرُ”.

Maksudnya:

“Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau pertemukan kami dengan bulan Ramadhan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”.

(Ibn Sunni, Amal al-Yaum wa al-Lailah, 1:610, al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, 5:348, no. Hadith 3534, al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, 13:117, no. Hadith 6496 dan Abu Nu’aim, Hilyah al-Awliya’, 6:269)

Amalan-amalan Pada Malam Rejab

Kredit gambar: www.learning-quran.com

Berikut merupakan amalan-amalan yang boleh anda lakukan pada malam rejab iaitu:

  • Melakukan solat sunat Tahajjud dua, lapan atau dua belas rakaat.
  • Melakukan solat sunat Tasbih, Taubat dan juga Witir.
  • Memperbanyakkan istighfar iaitu sebanyak tujuh puluh kali, seratus kali ataupun lebih.
  • Memanjatkan doa kepada Allah S.W.T.
  • Memohon keampunan untuk diri sendiri dan kedua ibu bapa
  • Memperbanyakkan selawat, berzikir dan bertasbih sehinggalah terbitnya fajar Subuh.

Semoga dengan kelebihan bulan rejab ini, Allah S.W.T menerima semua ibadah yang kita lakukan, InsyaAllah!


Tingkatkan ilmu agama dan kerohanian dengan panduan berguna di SINI.