Waktu dhuha adalah waktu yang diberkati dan sering dikatakan sebagai waktu untuk menjemput rezeki. Pandangan sebegini tidaklah pelik kerana sejajar dengan hadis Rasulullah S.A.W.:
Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluan hidupmu. Sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkah dan keberuntungan. (Riwayat at-Tabrani dan al-Bazzar)
Bilakah Waktu Dhuha?
Kebiasaannya, waktu dhuha dikira dalam sekitar 30 minit selepas terbitnya matahari. Ia berakhir pula kira-kira dalam 10 minit sebelum masuknya waktu zuhur.
Dalam tempoh inilah, umat manusia digalakkan untuk berusaha mencari rezeki dan lakukan solat sunat dhuha yang diiringi dengan doa dhuha.
Keutamaan Solat Dhuha
Telah berkata Anas bin Malik R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
Barang siapa solat fajar (solat Subuh) berjemaah di masjid kemudian, tetap duduk berzikir mengingati Allah hingga terbit matahari lalu, solat dua rakaat (solat duha), maka, seakan-akan ia mendapatkan pahala haji dan umrah dengan sempurna, sempurna dan sempurna. (Riwayat at-Tirmizi)
Besarnya ganjaran solat sunat dhuha ini, Rasulullah juga telah berpesan tentang keutamaan perlaksanaannnya kepada Abu Hurairah R.A. Beliau telah berkata:
أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
“Kekasihku telah berpesan kepadaku terhadap tiga perkara. (Iaitu) berpuasa sebanyak tiga hari dalam sebulan, dua rakaat solat dhuha, dan supaya aku melakukan solat witir sebelum aku tidur.” (Riwayat Muslim)
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dua rakaat solat sunat dhuha ini bersamaan dengan sedekah kepada 360 sendi di dalam badan kita.
Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W. daripada Abi Zar RA:
يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى
Maksudnya: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” [Riwayat Muslim (720)]
Solat Sunat dan Doa Dhuha
Solat sunat dhuha tidaklah begitu berbeza dengan solat sunat yang lain. Lafaz niatnya adalah:
“Usolli sunnatad-dhuha rak’ataini lillahi ta’alaa”
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah ta’ala.
Kemudian, solat sunat dhuha diteruskan dengan bacaan al fatihah dan diikuti dengan surah pilihan pada rakaat pertama dan kedua.
Kebiasaannya, surah pilihan pada rakaat pertama ialah surah Asy-Syams manakala pada rakaat kedua, surah Ad-Dhuha.
Pada sujud terakhir sebelum anda bangun tahiyat, adalah disyorkan untuk anda membaca tasbih ini sebanyak 40 kali:
Maksudnya: “Berikan kepadaku, wahai Tuhan Yang Maha Memberi akan ilmu dan hikmah dan murahkanlah rezeki kepadaku, wahai Tuhan Yang Maha Pemberi Rezeki jadikan ia mudah bagiku.”
Selesainya memberi salam, berdoalah kepada Yang Maha Esa, doa dhuha ini:
Maksudnya:
Ya Allah
Sesungguhnya Waktu Dhuha itu Dhuha-Mu
Kecantikannya Kecantikan-Mu
Keindahannya Keindahan-Mu
Kekuatannya Kekuatan-Mu
Kekuasaannya Kekuasaan-Mu
Perlindungannya Perlindungan-Mu
Ya Allah
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi, keluarkanlah
Jika sukar, per-Mudahkanlah
Jika haram, sucikanlah
Jika jauh, dekatkanlah
Berkat waktu Dhuha
Kecantikan-Mu, keindahan-Mu
Kekuatan-Mu, kekuasaan-Mu
Limpahkan kepadaku segala
Yang Engkau telah limpahkan
Kepada hamba-hamba-Mu yang soleh
Manakala berdasarkan perkongsian daripada Islam Itu Indah, terdapat juga bacaan doa dhuha yang lain. Telah berkata Aisyah R.A. bahawa selesainya Rasulullah S.A.W. solat sunat dhuha, baginda telah mengucapkan:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ
“Allahummaghfirlii wa tub ‘alayya, innaka antat tawwaabur rahiim”
Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”
(HR. Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 619. Syaikh Al-Albani berpendapat bahawa sanad hadis ini adalah sahih.)
Telah diriwayatkan bahawa, baginda membaca doa ini sebanyak seratus kali.
Jika anda mahukan bacaan doa ini yang lebih panjang pula, ia adalah seperti berikut:
رَبِّي اغْفِرْلِي وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَابُ الرَّحِيْم
اَللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَصْبَحْتُ عَبْدَك وَعَهْدَك وَوَعْدَك أَنْتَ خَلَقْتَنِيْ وَلَمْ أَكُ شَيْئًا أَسْتَغْفِرُكَ لِذَنْبِيْ فَإِنَّهُ قَدْ أَرْهَقَتْنِيْ ذُنُوْبِي وَأَحَاطَتْ بِيْ إِلاَّ أَنْ تَغْفِرَهَا لِيْ فَاغْفِرْهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Maksudnya:
“Ya Tuhanku ampunkan dosaku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
Ya Allah bagi-Mu segala pujian, aku di waktu pagi sebagai hamba-Mu dan atas perjanjian dengan-Mu dan apa yang Kamu janjikan, Kamu menciptakanku dan tiadalah aku sesuatu, aku beristighfar kepada-Mu dari segala dosaku kerana sesungguhnya ia telah membelenggu dosa-dosaku dan meliputiku kecuali Engkau mengampuninya, maka ampunkanlahnya hai Tuhan yang bersifat Maha Rahmat dan Kasih Sayang.”
Amalkan Solat Sunat dan Doa Dhuha
Begitu banyak fadhilah solat sunat dhuha, tambah-tambah lagi waktunya adalah di waktu pagi yang merupakan waktu yang penuh dengan keberkatan.
Lakukanlah solat sunat dhuha sebagai tanda kesyukuran anda dan berdoalah meminta kepada Allah S.W.T.. Lebih afdhal jika anda turut mengamalkan doa selepas wuduk sejurus selesai berwuduk untuk solat sunat dhuha. InsyaAllah, semoga ibadah anda akan diberkati dan doa-doa anda akan dimakbulkanNya.