Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Hari Jumaat Yang Makbul Dan Istimewa

doa hari Jumaat

Kredit gambar: istockphoto

Doa Hari Jumaat Untuk Umat Islam

Hari Jumaat merupakan penghulu kepada segala hari yang istimewa dan agung di sisi Allah. Seperti sabda Rasulullah S.A.W., daripada Abi Lubabah bin Abd al-Munzir:

إِنَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ سَيِّدُ الْأَيَّامِ، وَأَعْظَمُهَا عِنْدَ اللَّهِ، وَهُوَ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ، فِيهِ خَمْسُ خِلَالٍ، خَلَقَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ، وَأَهْبَطَ اللَّهُ فِيهِ آدَمَ إِلَى الْأَرْضِ، وَفِيهِ تَوَفَّى اللَّهُ آدَمَ، وَفِيهِ سَاعَةٌ لَا يَسْأَلُ اللَّهَ فِيهَا الْعَبْدُ شَيْئًا إِلَّا أَعْطَاهُ، مَا لَمْ يَسْأَلْ حَرَامًا، وَفِيهِ تَقُومُ السَّاعَةُ، مَا مِنْ مَلَكٍ مُقَرَّبٍ، وَلَا سَمَاءٍ، وَلَا أَرْضٍ، وَلَا رِيَاحٍ، وَلَا جِبَالٍ، وَلَا بَحْرٍ، إِلَّا وَهُنَّ يُشْفِقْنَ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu kepada segala hari dan seagung-agung hari di sisi Allah yang mana keagungannya itu di sisi Allah lebih agung berbanding hari raya Aidiladha dan juga Aidilfitri. Ini kerana, pada hari tersebut terdapat lima perkara besar iaitu: Padanya diciptakan, diturunkan ke bumi dan diwafatkan Nabi Adam. Padanya juga terdapat satu masa apabila seseorang itu meminta sesuatu kepada Allah pasti akan diberikan kepadanya selagimana dia tidak meminta sesuatu yang haram. Padanya juga akan berlakunya Kiamat dan pada hari itu juga (hari Jumaat) tidak ada malaikat yang dekat dengan Allah, di langit, bumi, angin, gunung dan laut melainkan takut dengan keagungan hari Jumaat.” – Riwayat Ibn Majah (1084), Riwayat Ahmad (15548)

Dalam perkongsian oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis pula, keistimewaan hari Jumaat telah dijelaskan dalam sabda Rasulullah S.A.W.:

Highlighted

Kredit gambar: muftiperlis.gov.my/

Maksudnya: “Sebaik-baik hari yang mana matahari terbit padanya ialah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam A.S., pada hari itu dia dimasukkan ke dalam syurga, pada hari itu dia dikeluarkan dari syurga. Tidak akan berlaku hari qiamat melainkan pada hari Jumaat.” – Hadis Riwayat Muslim

Waktu Berdoa Yang Makbul Pada Hari Jumaat

Hari Jumaat memang mempunyai banyak keistimewaan tetapi yang sering diperkatakan adalah waktu makbulnya berdoa ketika hari Jumaat ni.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, makbulnya doa pada hari Jumaat telah dijelaskan dalam hadis berikut:

Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ

Maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu.” – Riwayat al-Bukhari (6400)

Yang menjadi persoalan adalah, bilakah waktu doa makbul itu? Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan dengan terperinci tentang dua pendapat yang kuat berkenaan dengannya menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah:

Pendapat pertama

Iaitu pada waktu semasa khatib duduk di atas mimbar sehinggalah selesainya solat. Ini disokong oleh hadis sahih daripada Abu Musa al-Asy’ari yang telah mendengar sabda Rasulullah S.A.W. apabila ditanya oleh Ibn Umar berkenaan waktu mustajabnya doa pada hari Jumaat:

أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ شَيْئًا؟ قَالَ: نَعَمْ سَمِعْتُهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ”.

Maksudnya: “Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadith daripada Rasulullah S.A.W. berkenaan satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat?”. “Ya, aku pernah mendengarnya”. Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Ia adalah di antara duduknya imam sehingga selesainya solat didirikan.” – Riwayat Muslim (853)

Selain daripada hadis ini, ada juga beberapa hadis lain yang menyokong pendapat pertama ini.

Kredit gambar: istockphoto

Pendapat kedua

Manakala pendapat kedua ialah, iaitu ketika selepas waktu Asar. Pendapat ini adalah lebih kuat berbanding pendapat yang pertama.

Hujah yang menyokong pendapat ini adalah hadis berikut:

Daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah S.W.T. akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah S.W.T. akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas asar.” – Riwayat Ahmad, (7688)

Manakala hadis lain pula, daripada Jabir bin Abdillah R.A., sabda Rasulullah S.A.W.:

يَوْمُ الْجُمُعَةِ اثْنَتَا عَشْرَةَ سَاعَةً، لَا يُوجَدُ فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا إِلَّا آتَاهُ إِيَّاهُ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Hari Jumaat mempunyai 12 jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah S.W.T. akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas asar. ” – Riwayat al-Nasa’ie, (1389)

Selain daripada 2 hadis ini, terdapat juga beberapa hadis lain yang menyokong pendapat bahawa waktu makbulnya doa pada hari Jumaat ialah pada waktu selepas waktu Asar. Pendapat ini merupakan pendapat sebahagian besar salaf.

Ia juga dikuatkan oleh amalan Said bin Jubair iaitu ketika beliau menunaikan solat Asar, beliau tidak akan bercakap dengan siapa pun sehinggalah terbenamnya matahari.

Pendapat yang dipilih

Kerana dalil dan hujah kepada pendapat kedua lebih kuat dan banyak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lebih menjurus kepada pendapat ini iaitu pada waktu selepas waktu Asar.

Doa Hari Jumaat

Secara umumnya, tidak ada doa yang khas untuk doa pada hari Jumaat. Tetapi kita haruslah memanfaatkan keistimewaan hari ini dengan berdoa dengan doa yang baik untuk di dunia dan di akhirat kita.

Antara doa utama yang bagus untuk diamalkan ialah doa memohon keampunan dan keredhaan Allah terhadap kita kerana jika Allah redha pada kita dan mengampuni segala dosa kita, maka beruntunglah kita di dunia dan di akhirat.

Jika anda mahu berdoa dengan senarai doa-doa yang elok, bolehlah tengok kumpulan doa dari doa harian dan doa selepas solat fardhu ini.

Kredit gambar: istockphoto

Jangan lupa untuk berdoa dengan doa yang kerap dibacakan oleh Rasulullah S.A.W.:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu.”

Bukan sahaja pada waktu selepas Asar, tetapi sepanjang hari Jumaat, perbanyakkanlah selawat kepada baginda Rasulullah S.A.W.. Sabda Rasulullah S.A.W.:

Kredit gambar: muftiperlis.gov.my/

Maksudnya: “Perbanyakkan selawat kepadaku pada setiap Jumaat. Ini kerana selawat umatku akan diperlihatkan padaku pada setiap Jumaat. Sesiapa yang banyak berselawat kepadaku, dialah yang paling dekat denganku.” – Hadis Hasan lighairihi, Riwayat Al-Baihaqi