Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Hari Lahir Yang Elok Sebagai Ucapan Selamat Dalam Islam

Hari kelahiran seseorang adalah antara hari yang paling bermakna dalam hidupnya. Ia membawa seribu erti dan telah mencipta pelbagai kenangan buat seseorang itu dan juga orang di sekelilingnya.

Apabila mereka di sekeliling kita menyambut hari kelahiran, adalah elok jika kita ucapkan kata-kata yang baik dan doakan mereka dengan doa yang mengandungi makna-makna yang elok.

Doa Hari Lahir Yang Elok Sebagai Ucapan Selamat

Berikut adalah doa untuk majlis sambutan hari lahir daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah:

Doa dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah

Highlighted

Kredit gambar: web.facebook.com/jomsolah?_rdc=1&_rdr
Kredit gambar: www.moe.gov.my/korporat/jabatan/jabatan-pendidikan-negeri-kedah

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim,

Dengan penuh rasa kesyukuran, kami berhimpun pada pagi ini, untuk meraikan sambutan hari lahir _________ , sebagai tanda kasih dan sayang kami kepadanya maka kami memohon kepadaMu agar Engkau panjangkanlah umurnya dalam rahmat, iman yang mantap, tenaga yang kuat, pemikiran yang hebat, rezeki yang tak kunjung sejat dan penuh berkat.

Ya Allah Ya Sami’u Ya ‘Alim,

Kami menitipkan doa ini, dengan bersungguh harap agar engkau kurniakan kepada saudara kami ini hati yang suci, sentiasa berbudi murni, tekad dan semangat yang tinggi, amalan yang terpuji agar dengannya dapatlah dia menjadi insan yang cemerlang duniawi dan ukhrawi serta mampu menghadapi cabarannya tanpa goyah jati diri.

Ya Allah Ya Karim,

Sejahterakanlah kehidupan saudara kami ini, bahagiakanlah dirinya agar kesejahteraan dan kebahagiaannya menjadi tempias berharga kepada kesejahteraan keluarga, agama, bangsa dan negara. Amin Ya Rabbal Alamiin.

Kredit gambar: www.moe.gov.my/korporat/jabatan/jabatan-pendidikan-negeri-kedah

Dalam perkongsian lain, doa selamat ini juga elok untuk dibacakan:

“Ya Allah!
Rasa kesyukuran kami terhadap nikmat ihsan dan rahmatMu, pada hari ini kami zahirkan dengan penuh kehambaan. Kami bersyukur kepadaMu atas kurniaan kehidupan di dunia ini dengan penuh nikmat dan anugerah yang begitu banyak dariMu jua.

Ya Allah!
Bersempena sambutan hari lahir kami hari ini, limpahkanlah rahmat dan berkatMu kepada kedua ibu bapa kami yang telah melahirkan dan membesarkan kami sehingga menjadikan kami golongan yang berjaya pada hari ini.

Kau gantikanlah setiap titisan darah dan kesakitan ibu ketika melahirkan kami dengan nikmat tidak terhingga di dalam syurgaMu nanti. Kau gantikanlah setiap titisan keringat dan keperitan ayah ketika membesarkan kami dengan nikmat bersenang lenang di dalam syurgaMu nanti.

Ya Allah!
Seandainya ibu dan ayah kami telah pergi meninggalkan kami buat selamanya, Kau jadikanlah alam kubur mereka sebagai sebahagian daripada taman-taman syurgaMu, Ya Allah. Kurniakanlah kepada mereka nikmat kedamaian dan ketenangan di alam persemadian mereka.

Seandainya ibu dan ayah masih bersama kami, Kau hulurkanlah rahmat dan keberkatanMu kepada kedua-duanya sebagaimana mereka menyayangi kami sejak kami masih dalam kandungan lagi.

Ya Allah!
Dalam meniti usia yang semakin dewasa ini, pimpinlah kami dengan hidayah dan taufikMu agar kami tidak terpesong akidah, tidak melanggar syari’at, tidak merosak akhlak. Bantulah kami menjadi hambaMu yang bersyukur walau dengan nikmat yang sedikit, menjadi hambaMu yang bersabar dengan dugaan dan cabaran, menjadi hambaMu yang kuat melawan godaan syaitan dan nafsu.”

Selain daripada itu, terdapat juga beberapa doa lain yang bagus untuk kita ucapkan kepada mereka yang menyambut ulang tahunnya:

1. Doa untuk hari lahir kanak-kanak

Telah diriwayatkan daripada Aisyah R.A., Rasulullah S.A.W. telah mendoakan kanak-kanak:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ بَاسا [بَارًا] رَشِيدًا وَأَنْبِتْهُ فِي الإِسْلَامِ نَبَاتًا حَسَنًا

Maksudnya: “Ya Allah! Aku bermohon Engkau jadikan anak ini anak yang baik, berani dan cergas, serta besarkanlah ia dalam Islam dengan baik.”

2. Doa untuk hari lahir bayi

Walaupun doa ini didoakan untuk bayi lelaki, kita boleh juga mendoakan yang lain dengan doa ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أُعِيذُهُ بِكَ وَذُرِّيَّتَهُ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan untuknya dan zuriatnya daripada syaitan yang direjam.”

Jika untuk perempuan pula:

اللَّهُمَّ إِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan untuknya dan zuriatnya daripada syaitan yang direjam.”

Maksudnya adalah sama tetapi yang berbeza cuma kata nama orang yang didoakan dalam Bahasa Arab. Doa ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W., daripada Abu Hurairah R.A.:

قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: «مَا مِنْ بَنِي آدَمَ مَوْلُودٌ إِلَّا يَمَسُّهُ الشَّيْطَانُ حِينَ يُولَدُ، فَيَسْتَهِلُّ صَارِخًا مِنْ مَسِّ الشَّيْطَانِ، غَيْرَ مَرْيَمَ وَابْنِهَا» ثُمَّ يَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ: {وَإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ} [آل عمران: 36] “

Maksudnya: “Tiada seorang pun daripada anak Adam yang dilahirkan melainkan dia disentuh oleh syaitan saat dilahirkan, lalu dia berteriak kerana sentuhan syaitan itu, selain Maryam dan anaknya.” Kemudian Abu Hurairah membacakan ayat 36 Surah Ali Imran: Sesungguhnya aku memohon perlindungan untuknya dan zuriatnya daripada syaitan yang direjam.”Riwayat al-Bukhari (no.3431) dan Muslim (no.2366)

3. Doa perlindungan untuk cucu Rasulullah S.A.W.

Daripada Ibn Abbas, Rasulullah S.A.W. pernah berdoa untuk cucunya, Hasan dan Hussein:

إِنَّ أَبَاكُمَا كَانَ يُعَوِّذُ بِهَا إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya moyang kalian (yakni Nabi Ibrahim) pernah memohon perlindungan untuk (anaknya) Ismail dan Ishak (alaihimussalam): “Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah dari segala syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat.” – Riwayat al-Bukhari (no.3371) dan Ibn Hibban (no.1012) dalam Sahih-nya

Jadi doa untuk lelaki:

أُعِيْذُهُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّآمَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَآمَّةٍ  وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَآمَّةٍ

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah dari segala syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat.”

Untuk perempuan pula:

أُعِيْذُهَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّآمَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَآمَّةٍ  وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَآمَّةٍ

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan untuknya dengan kalimat-kalimat Allah dari segala syaitan, kesusahan, dan pandangan yang jahat.”

Kredit gambar: istockphoto

Doakan Saudara Islam Kita Dengan Doa Yang Elok Maknanya

Bukan sahaja doa-doa di atas, kita juga digalakkan mendoakan saudara seagama kita dengan doa-doa lain yang baik maknanya.

InsyaAllah, semoga Allah kabulkan doa kita dan melihat kita semua dengan penuh kasih sayangNya..