Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa-Doa Iftitah Menurut Hadis Dan Hukum Bacaannya Dalam Solat

bacaan doa iftitah

Kredit gambar: istockphoto

Doa iftitah dibacakan selepas mengangkat takbir dalam solat, yang bermaksud pembuka dan dibacakan dalam setiap solat.

Hukum Membaca Doa Iftitah

Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang hukum doa iftitah ini. Boleh ke tinggalkan dalam solat? Apakah hukumnya dalam Islam ya?

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Imam al-Nawawi telah mengatakan:

واعلم أن هذه الأذكار مستحبّة في الفريضة والنافلة

“Ketahuilah bahawa semua doa-doa ini (pelbagai versi doa iftitah dalam hadis) hukumnya sunat dalam solat wajib mahupun solat sunat.” (Lihat al-Azkar, 1/107).

Jelaslah bahawa hukumnya adalah sunat, tidak kiralah dalam solat fardhu ataupun solat sunat.

Bacaan Doa-Doa Iftitah Menurut Hadis

Dalam hadis yang telah diriwayatkan, sebenarnya terdapat banyak bentuk doa iftitah yang disarankan untuk dibaca. Antaranya adalah:

Bacaan Doa Iftitah Yang Pertama

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ، كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ المَشْرِقِ وَالمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah aku dengan kesalahanku, sebagaimana Engkau telah jauhkan antara Timur dan Barat. Ya Allah, sucikanlah aku daripada kesalahan, sebagaimana Engkau mensucikan salju putih daripada kotoran. Ya Allah, bersihkanlah kesalahanku dengan air, salju dan embun”

(Riwayat al-Bukhari, no. 744)

Bacaan Doa Iftitah Yang Kedua

وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا، وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي، وَنُسُكِي، وَمَحْيَايَ، وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ، اللهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي، وَأَنَا عَبْدُكَ، ظَلَمْتُ نَفْسِي، وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا، إِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، وَاهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ، لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ، وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ، أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ، تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

Maksudnya: “Aku hadapkan wajahku kepada Zat yang Maha Pencipta langit dan bumi sebagai Muslim yang ikhlas dan aku bukan termasuk dalam kalangan orang yang mensyirikkan Allah. Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Oleh kerana itu, aku patuh kepada perintah-Nya, dan aku termasuk dalam kalangan orang yang aku berserah diri. Ya Allah, Engkaulah Maha Penguasa. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau dan Maha Terpuji. Engkaulah Tuhanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku telah menzalimi diriku sendiri dan akui dosa-dosaku. Maka, ampunilah semua dosa-dosaku. Sesungguhnya, tidak ada yang boleh mengampuni segala dosa melainkan Engkau. Tunjukilah aku akhlak yang paling terbaik. Tidak ada yang dapat menunjukkannya melainkan hanya Engkau. Jauhkanlah dariku akhlak yang buruk. Kerana sesungguhnya tidak ada yang sanggup menjauhkannya melainkan hanya Engkau. Aku patuhi segala perintahMu, dan aku tolong agama-Mu. Segala kebaikan berada di tangan-Mu. Sedangkan kejahatan tidak datang daripada-Mu. Aku berpegang teguh denganMu dan kepada-Mu. Maha Suci Engkau dan Maha Tinggi. Kumohon ampun dariMu dan aku bertaubat kepada-Mu.”

(Riwayat Muslim, no. 201)

Bacaan Doa Iftitah Yang Ketiga

اللَّهِ أَكْبَرُ وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ وَبِحَمْدِكَ

Maksudnya: “Aku hadapkan wajahku kepada Zat yang Maha Pencipta langit dan bumi sebagai Muslim yang ikhlas dan aku bukan termasuk dalam kalangan orang yang mensyirikkan Allah. Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Maka aku patuh kepada perintah-Nya, dan aku termasuk dalam kalangan orang yang awal berserah diri. Ya Allah, Engkaulah Maha Penguasa. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau dan Maha Terpuji.”

(Riwayat al-Nasa’ie, no. 898)

Bacaan Doa Iftitah Yang Keempat

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ. اللَّهُمَّ اهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَعْمَالِ وَأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ، وَقِنِي سَيِّئَ الْأَعْمَالِ وَسَيِّئَ الْأَخْلَاقِ لَا يَقِي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Sesungguhnya solatku, sembelihanku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Maka, aku patuh kepada perintah-Nya, dan aku termasuk dalam kalangan orang yang aku berserah diri. Ya Allah, tunjukilah aku amal dan akhlak yang terbaik. Tidak ada yang dapat menunjukkanku kepadanya kecuali Engkau. Jauhkanlah aku dari amal dan akhlak yang buruk. Tidak ada yang dapat menjauhkanku darinya kecuali Engkau.”

(Riwayat al-Nasa’ie, no. 896)

Bacaan Doa Iftitah Yang Kelima

Telah dikatakan bahawa Saidina Umar al-Khattab pernah membacakan doa iftitah ini dengan kuat dalam solatnya:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، تَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: “Maha suci Engkau, ya Allah. Ku sucikan nama-Mu dengan memuji-Mu. Nama-Mu penuh keberkatan. Maha Tinggi Engkau. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau”

(Riwayat Muslim, no. 52)

Bacaan Doa Iftitah Yang Keenam

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرَكَ»، ثُمَّ يَقُولُ: «لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ» ثَلَاثًا، ثُمَّ يَقُولُ: «اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا» ثَلَاثًا

Maksudnya: “Maha Suci Engkau, ya Allah. Ku sucikan nama-Mu dengan memuji-Mu. Nama-Mu penuh keberkatan. Maha tinggi Engkau. Tidak Tuhan yang berhak disembah selain Engkau, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah (3x), Allah Maha Besar (3x)”

(Riwayat Abu Daud, no. 775)

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Bacaan Doa Iftitah Yang Ketujuh

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Allah Maha Besar dengan segala kebesaran, segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, Maha Suci Allah, baik waktu pagi dan petang”

(Riwayat Muslim, no. 150)

Bacaan Doa Iftitah Yang Kelapan

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, pujian yang terbaik dan pujian yang penuh keberkatan di dalamnya”

(Riwayat Muslim, no. 129)

Bacaan Doa Iftitah Yang Kesembilan

اللَّهُمَّ لَكَ الحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ مَلِكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ الحَقُّ وَوَعْدُكَ الحَقُّ، وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ، وَقَوْلُكَ حَقٌّ، وَالجَنَّةُ حَقٌّ، وَالنَّارُ حَقٌّ، وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ، وَمُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ، وَالسَّاعَةُ حَقٌّ، اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ، وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ، وَبِكَ خَاصَمْتُ، وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ، فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، أَنْتَ المُقَدِّمُ، وَأَنْتَ المُؤَخِّرُ، لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, segala puji bagi Engkau. Engkau pemelihara langit dan bumi serta orang-orang yang berada di dalamnya. Segala puji bagi Engkau. Engkau memiliki kerajaan langit, bumi dan siapa saja yang berada di dalamnya. Segala puji bagi Engkau. Engkau adalah cahaya bagi langit, bumi dan siapa saja yang berada di dalamnya. Segala puji bagi Engkau. Engkau Raja langit dan bumi dan Raja bagi siapa saja yang berada di dalamnya. Segala puji bagi Engkau. Engkaulah al-Haq. Janji-Mu pasti benar, firman-Mu pasti benar, pertemuan dengan-Mu pasti benar, firman-Mu pasti benar, syurga itu benar adanya, neraka itu benar adanya, para nabi itu membawa kebenaran, dan Muhammad SAW itu membawa kebenaran, hari kiamat itu benar. Ya Allah, kepada-Mu lah aku berserah diri. Kepada-Mu lah aku beriman. Kepada-Mu lah aku bertawakal. Kepada-Mu lah aku bertaubat. Kepada-Mu lah aku mengadu. Dan kepada-Mu aku berhukum. Maka ampunilah dosa-dosaku. Baik yang telah aku lakukan maupun yang belum aku lakukan. Baik apa yang aku sembunyikan maupun yang aku nyatakan. Engkaulah Pemula dan Pengakhir. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau”

(Riwayat al-Bukhari, no. 1120)

Bacaan Doa Iftitah Yang Kesepuluh

اللهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan malaikat Jibril, Mikail, dan Israfil. Pencipta langit dan bumi. Yang mengetahui hal ghaib dan juga nyata. Engkaulah hakim di antara hamba-hamba-Mu dalam hal-hal yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku kebenaran dalam apa yang diperselisihkan, dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk menuju jalan yang lurus, kepada siapa saja yang Engkau kehendaki.”

(Riwayat Muslim, no. 200)

Bacaan Doa Iftitah Yang Kesebelas

Bacaan doa iftitah yang kesebelas ini menurut kepada riwayat hadis berikut:

Telah bertanya Rabi’ah al-Jurasyi kepada Aisyah R.A.:

Apakah yang telah dibaca oleh Nabi SAW sekiranya Baginda bangun beribadah di malam hari? Dengan apakah Baginda beriftitah?

Aisyah R.A. telah menjawab:

كَانَ يُكَبِّرُ عَشْرًا، وَيُسَبِّحُ عَشْرًا، وَيُهَلِّلُ عَشْرًا، وَيَسْتَغْفِرُ عَشْرًا، وَيَقُولُ: «اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي» عَشْرًا، وَيَقُولُ: «اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الضِّيقِ يَوْمَ الْحِسَابِ» عَشْرًا

Maksudnya: “Baginda bertakbir sepuluh kali, bertasbih sepuluh kali, tahlil sepuluh kali dan beristighfar sepuluh kali, kemudian membaca doa‘اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي sepuluh kali, kemudian membaca اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الضِّيقِ يَوْمَ الْحِسَابِ sepuluh kali.”

(Riwayat Ahmad, no. 24250)

Bacaan Doa Iftitah Yang Keduabelas

اللَّهُ أَكْبَرُ ذُو الْمَلَكُوتِ وَالْجَبَرُوتِ، وَالْكِبْرِيَاءِ وَالْعَظَمَةِ

Maksudnya: “Allah Maha Besar. Yang memiliki kerajaan besar, kekuasaan, kebesaran, dan keagungan”

(Riwayat Ahmad, no. 23375)

Bacaan Doa Iftitah Manakah Yang Lebih Afdal?

Kredit gambar: istockphoto

Berdasarkan perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga, bacaan doa iftitah yang paling afdal bagi para ulama’ Syafi’iyyah adalah bacaan doa iftitah yang kedua.

Imam Al-Nawawi pula berkata, ini diikuti dengan bacaan doa iftitah yang pertama. Gabungan ini adalah digalakkan jika tiada kekangan masa dan sebagainya.

Tetapi jika anda menjadi imam, adalah elok jika bacaan doa iftitah yang kedua dipendekkan sehingga (وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ) – (Lihat al-Majmu’, 3/ 321).

Yang kebiasaan kita dengar dan amalkan adalah bacaan doa iftitah seperti dalam perkongsian Aku Islam ini kan:

Kredit gambar: akuislam.com

Maksudnya:

Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah.

Maha Suci Allah pagi dan petang.

Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam.

Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan.

Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya.

Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.

Amalan Membaca Doa Iftitah Untuk Kesempurnaan Solat

Meskipun hukumnya adalah sunat, doa iftitah digalakkan untuk dibaca untuk mencapai kesempurnaan solat itu. InsyaAllah, marilah kita sama-sama amalkan dan sesungguhnya, hanya Allah S.W.T. mengetahui yang terbaik.