Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Istikharah Yang Lengkap Bersama Tatacaranya Dan Waktu Yang Terbaik

Sumber: akuislam.com

Dalam apa jua keputusan yang ingin dibuat, jika timbul sebarang keraguan dan ketidakpastian, kita sebagai umat Islam dianjurkan untuk melakukan solat sunat istikharah sebagai usaha untuk mendapatkan petunjuk dari Allah S.W.T..

Apakah Makna Istikharah?

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, perkataan istikharah berasal dari perkataanخير yang bermaksud kebaikan. Kemudian ditambahkan padanya huruf Alif, Sin dan Ta yang menjadi استخار , yang membawa makna memohon pilihan.

Apakah Hukum Solat Sunat Istikharah?

Hukum solat sunat istikharah adalah sunat. Rasulullah S.A.W. menggalakkan para sahabatnya untuk berusaha melakukannya, sesuai dengan hadis baginda:

Di antara kebahagiaan anak Adam ialah Solat Istikharah (minta pilih) daripada Allah Taala dalam segala urusannya dan di antaranya kecelakaan anak Adam ialah meninggalkan solat Istikharah daripada Allah pada segala urusannya.

Bilakah Waktu Terbaik Untuk Solat Sunat dan Doa Istikharah?

Sebaik-baik waktu untuk mengerjakannya adalah pada waktu malam sebelum anda tidur. Jika anda memilih untuk melakukannya pada waktu tengah atau sepertiga malam selepas daripada bangun tidur, itu adalah lebih baik.

Kalau boleh, lakukanlah terlebih dahulu solat tahajjud, diikuti dengan solat hajat dan solat istikharah.

Kepentingan Melaksanakan Solat Sunat Istikharah Dan Berdoa

Pernah tak terdetik dalam hati anda bahawa perkara yang membuatkan anda keliru ini hanyalah perkara kecil dan tidak perlu pun untuk anda melaksanakan solat sunat istikharah dalam membuat keputusan?

Sheikh Abdurrahman al-Mubarakfuri berpendapat bahawa:

tidak harus bagi seseorang memperkecilkan apa-apa perkara walaupun ianya nampak remeh. Lalu dia meninggalkan istikharah. Berkemungkinan, perkara yang diremehkannya itu nanti pada masa akan datang menjadi mudarat baginya.” – Tuhfah al-Ahwazi Syarah Jami’ al-Tirmizi (2/482)

Al-Aini di dalam Umdah al-Qari pula menyatakan bahawa walaupun mahu memilih tali kasut, tetap perlu untuk meminta petunjuk Allah melalui solat istikharah.

Begitu pentingnya solat dan doa istikharah ini, sebaiknya kita sentiasa lakukan dan jadikan amalan. Ia merupakan antara sunnah yang diajarkan oleh Nabi kita berdasarkan riwayat daripada Jabir bin Abdullah:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ ، يَقُولُ : إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفَرِيضَةِ ، ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي ، وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ ، قَالَ : وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ.

Maksudnya: “Rasulullah saw pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda : Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah : Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda : sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda : Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.” – Riwayat al-Tirmizi (480),Ibnu Majah (1383).

Cara Melakukan Solat Sunat Istikharah Dan Berdoa

Menurut Imam Nawawi (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/54), solat sunat istikharah hendaklah dilaksanakan seperti berikut:

  1. Rakaat pertama: baca surah Al-Fatihah dan Al-Kafirun
  2. Rakaat kedua: baca surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas
  3. Berdoa sesudah solat dengan doa daripada Nabi pada hadis di atas ataupun doa-doa yang lain

Selain itu, anda boleh juga tambahkan bacaan tasbih ini dalam sujud akhir yang dibaca sebanyak 40 kali:

Highlighted

Sumber: shafiqolbu.wordpress.com

Maha Suci Dikau yang tiada ilmu bagi kami kecuali apa yang Dikau ajarkan (tunjukkan) kepada kami. Sesungguhnya Dikau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana!

Juga, jangan lupa untuk memohon doa tentang apa yang diinginkan petunjuk kepadanya ketika masih dalam sujud terakhir. Doa pada waktu ini adalah mustajab ya.

Doa Istikharah Selepas Selesai Solat Sunat Istikharah

Sumber: wadah.amru.com

“Ya Allah, aku memohon agar memilih mana yang baik menurut Engkau ya Allah.

Aku juga memohon diberikan kepastian dengan ketentuanMu dan aku memohon dengan kemurahanMu Tuhan yang Maha Agung.

Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Berkuasa, sedangkan aku tidak tahu. Engkau Tuhan yang amat mengetahui segala sesuatu yang masih tersembunyi.

Ya Allah! Jika menurut pendapatMu urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi kebaikan bagiku untuk agamaku, kehidupanku, dan pekerjaanku, maka takdirkanlah ia bagiku dan berkatilah ia padaku.

Jika menurut pengetahuanMu bahawa urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi keburukan bagiku untuk agamaku, kehidupanku dan pekerjaanku, maka ku mohon agar Engkau jauhkan ia daripadaku dan kurniakanlah bagiku hanya kebaikan di mana sahaja aku berada. Jadilah aku orang yang redha atas anugerahMu.”

Sumber: istockphoto

InsyaAllah, semoga usaha anda untuk menunaikan solat istikharah ini diberkati dan letaklah sepenuhnya keyakinan kepada Allah S.W.T. untuk membimbing anda kepada jalan yang benar dan yang terbaik. Jom kita baca panduan solat taubat pula!