Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Himpunan Doa Keluar Rumah Untuk Perlindungan Diri Dalam Perjalanan Dan Urusan Luar

Kredit gambar: Adobe Stock

Semenjak dilanda wabak COVID-19 dua tahun lepas, pergerakan orang awam terhad dan ramai yang terpaksa bekerja dari rumah.

Kini, walaupun kehidupan sudah kembali kepada norma baharu secara perlahan-lahan, setiap individu masih perlu berhati-hati apabila bertemu dengan sesiapa sahaja.

Kalau sebelum ini Mommy atau seisi keluarga belum pernah mengamalkan doa keluar rumah, ia sebenarnya dapat menjadi pelindung buat diri sendiri ketika berada di luar.

Highlighted

Kredit gambar: Getty Images

Terdapat beberapa pilihan doa keluar rumah yang Mommy boleh amalkan sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Tak kira lah sama ada untuk keluar bekerja, hantar anak ke sekolah, membeli barang dapur, bercuti, dan sebagainya.

Dengan izin Allah s.w.t, doa ini dapat menjadi pelindung dan senjata terhadap apa-apa musibah supaya kita selamat pergi dan selamat pulang ke rumah.

Bacaan dan Doa Keluar Rumah Yang Boleh Diamalkan Selalu

1. Doa Sebelum Keluar Rumah

Bacaan dalam RUMI:

Bismillahi tawakkaltu ’alallah, laa haula wa laa quwwata illaa billaah

Maksud:

Dengan nama Allah (aku keluar). Aku bertawakal (berserah diri) kepada Allah, tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah.

(Hadis Riwayat Tirmidzi dari Anas bin Malik)

2. Doa Ketika Keluar Rumah

Bacaan dalam RUMI:

Allahumma inni a-‘udzu bika an adhilla aw udholla, aw azilla aw uzalla, aw azhlima aw uzhlama, aw ajhala aw yujhala ‘alayya

Maksud:

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu, janganlah sampai aku tersesat atau disesatkan (syaitan atau orang jahat), tergelincir atau digelincirkan orang lain, menganiaya atau dianiaya orang lain, dan berbuat bodoh atau dibodohi orang lain

(Hadis Riwayat Abu Dawud dan At Tirmidzi)

Anda juga digalakkan untuk membaca ayat Kursi sebelum atau ketika hendak keluar rumah dan memulakan perjalanan.

Amalan ini pernah dipesan oleh Rasulullah s.a.w. kepada Saidina Ali supaya tujuan perjalanan pembaca tercapai.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

Maksud:

Wahai Ali, jika kamu keluar dari rumah untuk hajat yang sangat penting maka bacalah ayat al-Kursi nescaya hajat kamu akan tercapai dengan keizinan Allah s.w.t.

 

3. Ayat Kursi (Surah Al-Baqarah: Ayat 255)

Maksud:

“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhlukNya); tidak mengantuk dan tidak tidur. KepunyaanNya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izinNya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

4. Doa Menaiki Kenderaan (Surah Al-Zukhruf: Ayat 13-14)

Bacaan dalam RUMI:

Subhanal ladzi sakhora lana hadza wa ma kunna lahu muqrinina wa inna ila ila rabbana la munqalibun

Maksud:

Segala puji bagi Allah, Maha suci tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya.

5. Doa Agar Selamat Dalam Perjalanan

Bacaan dalam RUMI:

Subhanal ladzi sakhora lana hadza wa ma kunna lahu muqrinina wa inna ila ila rabbana la munqalibun. Allahumma inna nas aluka fi safarna hadzal birra wat taqwa wa minal ‘amali ma tardla. Allahumma hawwin ‘alaina safarana hadza wa’thu ‘anna bu’dahu. Allahumma antash shokhibu fis safari wal kholifatu fil ahli. Allahumma inni a’udzubika min wa’tsais safari wa kabatil mundhori wa suil munqolabi fil mali wal ahli

Maksud:

“Maha suci Allah yang telah menundukkan (kenderaan) ini untuk kami, padahal kami sebelumnya tidak mempunyai kemampuan untuk melakukannya, dan sesungguhnya hanya kepada Rabb kami, kami akan kembali.

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikan, taqwa dan amal yang Engkau redhai dalam perjalanan kami ini.

Ya Allah mudahkanlah perjalanan kami ini, dekatkanlah bagi kami jarak yang jauh. Ya Allah, Engkau adalah pendamping dalam perjalanan dan pengganti di tengah keluarga.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kesukaran perjalanan, tempat kembali yang menyedihkan, dan pemandangan yang buruk pada harta dan keluarga.”


Kredit gambar: Getty Images

Doa ini elok untuk diamalkan bukan sahaja untuk kepentingan dan keselamatan diri sendiri, tetapi ia juga mengajar kita sebagai umat Islam untuk memperingati Allah s.w.t. dan bertawakal kepadaNya dalam setiap perkara yang kita lakukan.

Semoga perkongsian doa keluar rumah ini bermanfaat buat Mommy dan dapat diamalkan setiap kali Mommy ingin keluar untuk apa-apa urusan.