Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Doa Keluar Tandas Yang Boleh Di Amalkan

Sumber: Adobe Stock

Sebelum ini Motherhood pernah berkongsi tentang doa masuk tandas beserta adab-adab masuk tandas. Kali ini kami berkongsi pula doa keluar tandas yang boleh diamalkan.

Memang tidak dinafikan lagi tandas adalah satu bahagian yang agak kotor, walaupun kerap dibersihkan.

Kalau di rumah, senanglah untuk menjaga kebersihannya sedikit, betul tak? Tapi kalau di tempat awam, bayangkan berapa banyak orang yang menggunakannya dalam sehari sebelum tandas itu dicuci!

Selain kekotoran fizikal, sebagai umat Islam kita juga perlu berwaspada dengan kekotoran atau gangguan syaitan di dalam tandas.

Jadi eloklah kalau anda amalkan doa memasuki dan keluar tandas. Ia amat ringkas dan memang senang untuk dihafal.

Highlighted

Kredit gambar: Getty Images

Doa Keluar Tandas

Bacaan dalam RUMI:

Ghufroonakal hamdulillaahil lazii azhaba ‘annil azaa wa’aafaanii

Maksud:

Aku memohon keampunanMu, segala puji milik Allah yang telah menghilangkan dariku sesuatu yang menyakiti dan menyihatkan aku.

Adab Masuk Tandas

Islam adalah agama yang amat menyeluruh sehinggakan untuk memasuki tandas pun ada adabnya tersendiri. Kalau sebelum ini anda tidak pernah tahu tentang adab masuk tandas, berikut adalah adab-adab umum yang sering diamalkan oleh umat Islam.

1. Menutupi Kepala

Umat Islam disunatkan untuk menutupi kepala ketika memasuki tandas atau bilik air untuk urusan membuang air.

2. Mendahului Dengan Kaki Kiri

Umat Islam juga disunatkan untuk mendahului atau memasuki tandas dengan kaki kiri dahulu.

Ini adalah berdasarkan daripada hadis Saiditina Aishah R.anha yang bermaksud:

 “Daripada Aisyah R.anha berkata bahawa tangan kanan Rasulullah SAW dipergunakan dalam bersuci dan makan. Adapun tangan kiri, digunakan untuk membersihkan bekas kotoran dari buang hajat dan perkara-perkara yang najis”

3. Membaca Doa Masuk Tandas

Doa masuk tandas seperti diatas tadi disunatkan untuk dibaca untuk memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan.

Kredit gambar: Getty Images

4. Tidak Membawa Ayat Suci al-Quran

Anda dinasihatkan untuk tidak membawa ayat dan kitab Al-Quran kerana bahan bacaan sebegini adalah suci. Ini termasuk juga bahan-bahan yang mengandungi ayat-ayat suci Al-Quran seperti yang ada pada tasbih dan sebagainya.

5. Memakai Alas Kaki

Pemakaian alas kaki seperti selipar dapat menghindarkan jangkitan kuman pada kaki dan ia menjadi salah satu daripada adab ketika masuk ke tandas.

6. Berjimat Dengan Penggunaan Air

Penjimatan air sudah tentu menjadi adab ketika berada di bilik air kerana pembaziran adalah amalan syaitan. Jadi apa-apa urusan yang menggunakan air, anda perlulah berjimat dengan penggunaannya.

Kredit gambar: Getty Images

7. Beristinjak Menggunakan Tangan Kiri

Istinjak merujuk kepada menyucikan diri daripada kotoran najis selepas membuang air kecil atau pun besar. Kita diarahkan untuk beristinjak dengan menggunakan tangan kiri seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abdillah bin Abi Qatadah daripada ayahnya serta daripada Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Apabila seseorang kamu kencing, maka janganlah dia memegang zakarnya dengan tangan kanannya, dan jangan beristinjak dengan tangan kanannya, dan jangan bernafas dalam bekas minuman”

Hadis Riwayat al-Bukhari

8. Elakkan Bercakap Atau Bersembang

Kita tidak digalakkan untuk bercakap atau bersembang dalam tandas kerana ia boleh menjadikan kita leka dan lalai. Ia menjadi salah satu adab ketika berada dalam tandas supaya kita tidak berada terlalu lama di dalamnya, memandangkan ia merupakan tempat yang kotor. Tambahan pula, jika kita sedang lalai, malapetaka juga boleh berlaku dan kita selalu sentiasa berwaspada, terutamanya di dalam tandas yang licin.

9. Tidak Menjawab Salam

Kita sama sekali tidak digalakkan untuk menjawab salam ketika berada di dalam tandas, walaupun menjawab salam itu adalah wajib. Menjawab salam ketika berada dalam tandas ialah makruh.

10. Jaga Kebersihan Tandas

Kebersihan adalah sesuatu yang sering dipertengahkan dalam Islam, jadi menjaga kebersihan tandas sudah tentu menjadi suatu kepentingan bagi umat Islam. Amalan menjaga kebersihan walau berada di mana pun adalah menunjukkan keperibadian seseorang yang beragama Islam. Jadi jagalah kebersihan tandas sebelum dan selepas menggunakannya, dan cuci tandas secara mendalam dengan kerap.

Kredit gambar: Getty Images

Semoga perkongsian doa ini bermanfaat buat pembaca dan rajin diamalkan.